Oleh Hidayyah AT Mizi
13 Oktober 2023, 15:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hidayyah AT Mizi memberikan reaksi terhadap tulisan Dr. Mohamad Shaidan tentang lambakan puisi yang kurang menyengat.

Kualiti karya antara penyair baharu melawan penyair mapan, penyair aliran perdana melawan penyair aliran indie sentiasa mewujudkan pertikaian. Dan kita juga sedia maklum, seseorang penyair itu sememangnya membesar bersama-sama tulisannya. Seharusnya, pertikaian tentang amanat dalam puisi tidaklah perlu dijadikan jarum yang mencucuk jari, sebaliknya diraikan.

Salah satu ciri sebuah puisi ialah, apabila dibaca, pembaca menjadi lebih bijaksana. Oleh itu, menjadi tanggungjawab penulis untuk memastikan puisi yang dicipta mempunyai dasar gagasan yang mendalam. Secara asasnya, struktur puisi ada dua, iaitu struktur fizikal dan struktur batin.

Esei terdahulu Mohamad Shaidan telah pun mengupas struktur puisi secara panjang lebar. Elemen-elemen dalam struktur fizikal puisi ialah tipografi, diksi, imej, gaya bahasa, dan rima. Manakala elemen-elemen dalam struktur batin puisi pula ialah tema atau makna (sense), rasa, nada dan suasana, perasaan dalam puisi, dan amanat. Gabungan kedua-dua struktur ini diperlukan dalam pembinaan sesebuah puisi yang baik.

Walau bagaimanapun, puisi akan menjadi sebuah puisi apabila seseorang mengatakan ia puisi; sama ada penulis, pembaca mahupun pengkritik. Sesebuah puisi dinilai dengan dua cara. Pertama, diselami maknanya. Kedua, dibincangkan. Kebanyakan khalayak akan berhenti pada tahap pertama—memahami apa yang ingin penulis sampaikan. Sebilangan kecil yang lain, akan mula membicarakannya.

Tugas memberi makna pada sesebuah puisi bukanlah tugas penyair, tetapi datangnya daripada pembaca dan pengkritik. Jika tidak dibincangkan, sebagus mana pun sesebuah puisi itu ditulis; ia akan “mati” dalam helaian buku.

Sesebuah puisi yang bagus kadang-kadang dibina daripada sebaris dua ayat atau makna puisi yang menyengat; sehinggalah keseluruhan teks puisi itu menjadi tarikan. Tarikan ini biasanya “tanda” yang ditinggalkan oleh penulis. Dan, tarikan inilah yang selalunya akan diberikan makna dan penghujahan, sehingga meninggalkan kesan kepada khalayak.

Tentu sahaja, sekiranya isu penulis mediokriti ini tidak dibincangkan secara serius—dunia sastera negara akan berdepan dengan lambakan karya yang “mediocre”, yang kurang menyengat. Malangnya, hal ini bukanlah isu baharu. Keresahan sebegini sentiasa wujud dalam setiap kitaran generasi.

Kualiti karya antara penyair baharu melawan penyair mapan, penyair aliran perdana melawan penyair aliran indie atau counter culture (budaya saingan) sentiasa mewujudkan pertikaian. Dan kita juga sedia maklum, seseorang penyair itu sememangnya membesar bersama-sama tulisannya. Seharusnya, pertikaian tentang amanat dalam puisi tidaklah perlu dijadikan jarum yang mencucuk jari, sebaliknya diraikan.

Diraikan dalam konteks mengubah sisi pandang kritikan. Contohnya, meskipun penyair menuliskan hal-hal sepele (remeh) tentang keresahan diri dan patah hati sebagai amanat dalam puisi, namun jika puisinya ditulis dengan baik maka gagasannya akan dicakna oleh khalayak. Capaian khalayak ini perlu kerana gagasan dalam puisi bukan semata-mata berdiri dalam tema nasionalisme atau isu keresahan dan kebangkitan rakyat; ia sepatutnya perlu meliputi isu-isu yang mendidik individu dan masyarakat.

Penerbitan Swaterbit Kurang Bermutu?

Cukupkah dengan membaca beberapa buah buku, terus sahaja dikatakan buku mandiri ini tidak bagus?

Zaman sekarang, kita sudah terdedah dengan dunia penerbitan mandiri. Kita bukan lagi ditakuk 10 tahun terkebelakang.

Caknakah kita jika mengatakan buku-buku terbitan mandiri ini teruk dan tidak bagus kerana dikatakan sentuhan editornya kurang mahir?

Berapa banyak antologi puisi yang diusahakan secara mandiri ini telah dibaca untuk kita katakan bahawa usaha sekumpulan penulis membukukan tulisan mereka sebagai sekumpulan penyair yang menulis puisi lemah?

Cukupkah dengan membaca beberapa buah buku, terus sahaja dikatakan buku mandiri ini tidak bagus?

Mengapa pemikiran begini masih subur padahal mengikut logika; siapa yang memegang dana ialah pemegang risiko paling besar berlakunya lambakan produk dan kerugian modal. Dalam konteks ini, sekiranya buku yang dihasilkan tidak bermutu.

Jika benar, mengapa tidak ada pun sesiapa menulis kritikan buruk untuk buku-buku tersebut?

Dengan pemahaman ini, masih tergamakkah kita mengatakan usaha besar ini dilakukan bagai melepaskan batok di tangga? Persoalan-persoalan ini akhirnya akan membawa kita kepada persoalan; siapa sepatutnya menulis kritikan?

Memahami Kritikan dan Teori Sastera

Pengaplikasian teori inilah yang berperanan untuk membantu penyair membina sempadan dalam penulisan pada masa akan datang. Terutamanya bagi penulis pemula, pemahaman terhadap teori ialah langkah penting untuk membina landasan yang kukuh dalam dunia puisi.

Benarkah penyair tidak suka puisinya dikritik? Tetapi, siapa pula suka dikritik? Sebenarnya, apa yang penyair tidak suka ialah kritikan yang tidak jelas.

Penyair seharusnya bukan sahaja perlu memahami cara menulis puisi yang baik, tetapi bagaimana menuliskannya dengan lebih baik. Proses ini seolah-olah sebuah pemeraman yang praktikal. Sekiranya proses ini sudah sebati dalam diri penyair, poetic sense juga akan jadi lebih peka dan tajam. Seterusnya, hal ini akan memudahkan penyair mengesan kesilapan diri semasa proses pembinaan sesebuah puisi. Pemahaman beginilah yang akan membantu penyair untuk mencipta puisi yang lebih ranum pada masa akan datang.

Namun begitu, seperti yang dijelaskan tadi; puisi akan hidup sekiranya dibicarakan. Jadi, kritikan yang menunjukkan kelemahan puisi perlu disertakan dengan pengaplikasian teori; agar penulis, pembaca dan khalayak akan lebih cakna dengan isu yang dibincangkan.

Pengaplikasian teori inilah yang berperanan untuk membantu penyair membina sempadan dalam penulisan pada masa akan datang. Terutamanya bagi penulis pemula, pemahaman terhadap teori ialah langkah penting untuk membina landasan yang kukuh dalam dunia puisi. Adakah seseorang penyair perlu mahir dalam ilmu teori secara keseluruhannya? Tidak juga. Cukuplah kalau memahami beberapa ilmu teori untuk dijadikan rujukan.

          TANDA CINTA

          sepinggan laksa
          sebagai tanda rasa cinta
          kepada kekasihku

          dengan sekuntum bunga kantan
          aku melamarnya
          menikmati masakanku
          sampai tua.
                        (Hidayyah AT Mizi, 2022)

Contohnya, terdapat enam unsur dalam strukturalisme. Perhatikan bagaimana unsur-unsur ini menggerakkan pembinaan puisi di atas:

  1. Struktur Teks: Puisi ini terdiri daripada tujuh baris yang membentuk dua para. Struktur puisi ini sederhana tetapi padat, memberikan fokus pada tanda cinta yang ingin disampaikan.
  2. Tanda dan Simbol: Dalam puisi ini, “sepinggan laksa” ialah tanda cinta yang penting. Ia mewakili pengorbanan dan kasih sayang kepada kekasih. Begitu juga, “bunga kantan” digunakan sebagai simbol cinta dan permintaan untuk perkahwinan.
  3. Bahasa: Bahasa yang digunakan dalam puisi ini adalah sederhana tetapi penuh makna. Metafora “sepinggan laksa sebagai tanda rasa cinta” mencipta hubungan antara makanan dengan perasaan cinta.
  4. Motif dan Tema: Tema utama dalam puisi ini ialah cinta yang mendalam dan keinginan untuk berumah tangga. Motif makanan digunakan untuk menyampaikan cinta melalui tindakan memberi makanan.
  5. Konflik: Walaupun puisi ini pendek dan konflik penceritaannya tidak jelas, tetapi wujud unsur ketegangan yang tersirat dalam perjuangan untuk menyatakan cinta dan hasrat untuk berkahwin.
  6. Interpretasi dan Bacaan: Puisi ini mendorong pembaca untuk merenung tentang makna sebenar di sebalik tanda cinta yang disampaikan. Hal ini menggalakkan interpretasi perasaan kasih sayang dan kesetiaan yang terkandung dalam tindakan memberi makanan sepanjang kehidupan.

Berdasarkan contoh di atas, seorang penyair juga sudah dapat menulis puisi dengan lebih baik apabila memahami enam unsur dalam strukturalisme.

Apabila penyair menjawab beberapa soalan ini, sebuah puisi akan berjaya ditulis dengan lebih kemas kerana jawapannya akan menjadi garis panduan kepada penyair dalam usaha membina “dunia” dalam puisi yang ingin ditulis.

  1. Apa yang ingin diceritakan?
  2. Apakah simbol atau imej utama dan signifikan dalam cerita tersebut?
  3. Berikan latar, watak dan citra yang bersesuaian dengan imej di atas.
  4. Memilih tema dan membina konsep.
  5. Ciptakan elemen dramatik dalam cerita (konflik)
  6. Pilih nada atau pemadatan diksi yang bersesuaian.

Adakah ini cara paling baik? Tidak juga. Akan tetapi, apabila penyair memahami apakah yang ingin ditulis, diperkemas lagi dengan pemilihan citra dan pemadatan diksi yang tidak canggung akan memudahkan usaha penyair menghasilkan puisi dengan kualiti yang lebih baik.

Ilmu menulis puisi bukanlah sesuatu yang kaku. Penyair berhak menulis dengan caranya yang tersendiri dan pembaca juga berhak menelaah dan memahami dalam ruang lingkup yang mereka pilih.

Sebagai penutup, sejujurnya, dalam isu menghadapi lambakan puisi yang kurang menyengat ini, ilmu teori dan kritikan merupakan faktor tunjang yang dapat membantu penyair dan khalayak memahami sesebuah puisi dengan lebih baik, malah sudah ada terlalu banyak saranan berkaitan yang sudah pun diberikan.

Akan tetapi, siapa pula yang mahu jadi penggerak? Ilmu-ilmu teori dan kritikan masih bersifat sukar dicapai dan sukar dicakna oleh orang awam. Intellectual critique masih berlegar-legar dalam ranah pendidikan tinggi sahaja. Sedangkan tuntutan memahami teori-teori ini diletakkan pada bahu penulis.

Kalau tidak diajar ilmu berkuda dan diberikan pedang, bagaimana penyair mahu bersiaga di medan perang?

Kredit Foto: Roi Dimor/Unsplash

_________________________

Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.