Oleh Marsli N.O
10 November 2023, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O mengutarakan secebis pengalamannya ketika mula menulis, dan mengapa adab dan pendirian amat penting sebagai ramuan berdaya tahan dalam dunia penulisan yang serba mencabar.

Beberapa waktu saya bolak-balik berfikir dan berasa malu kepada diri sendiri kerana sedar betapa selama ini saya hanyalah seorang penulis parasit.

Sewaktu bertatih puluhan tahun dulu sebagai pemula yang berniat dan ingin mulai menulis, menulis itu sebenarnya tidak mudah. Namun dalam banyak bengkel dan pertemuan penulis yang dihadiri, kononnya sebagai rangsangan kepada diri pemula yang berminat menulis dan bercita-cita mahu jadi penulis, kenyataan ini diubah dengan tembang yang mendodoikan, betapa menulis itu sebenarnya mudah.

Kesukaran itulah yang diri hadapi. Sebab itu, apabila setiap kali mendengar ocehan yang disebut oleh pembimbing atau penceramah dalam setiap bengkel dan kursus menulis yang dihadiri, betapa menulis itu sebenarnya mudah, automatik secara diam-diam diri menempiknya sebagai “Omong kosong!”

Saat itu, saya berfikir, betapa seenak mulutnya sahaja para pembimbing dan penceramah ini (sebahagian mereka hari ini sudah pun bergelar sebagai Sasterawan Negara) berbicara.

Sedangkan saya, sebagai pemuda yang baru menginjak usia muda dan akan menjengah dewasa, sudahlah masih belum begitu faham segala istilah dan jargon seni serta sastera, hendak memulakan penulisan itu sendiri pun sentiasa bagaikan dihadang oleh sebuah tembok gelap dan hitam, entahkan apa.

Selain berdepan soal bagaimana hendak bermula dan memulai, soal lain yang tidak kurang menduga juga turut menyukarkan diri dan perasaan.

Memang aneh dan mustahil kedengaran. Namun itulah hakikatnya kesukaran yang dihadapi oleh seorang pemuda yang berniat dan bercita-cita mahu menulis ketika itu.

Hidup diri dikelilingi pelbagai isu dan soal dunia, manusia dan masyarakat. Namun apabila setiap kali mahu memulakan penulisan, muncul soalan yang mengganggu diri, “Apakah yang mahu aku tulis?”

Inilah soalan yang selalu terngiang-ngiang dan menjadi halangan setiap kali mahu memulakan penulisan.

Pada usia muda dan mulai menjengah dewasa ketika itu, tidak pernah pun terfikir betapa menulis itu sebenarnya ialah proses dalam kehidupan. Seperti keperluan terhadap makan, minum, tidur, dan bernafas. Sesuatu yang sifatnya alamiah dan tidak perlu dipaksa-paksa.

Beberapa tahun kemudian, gangguan dan hadangan itu akhirnya terlerai juga.

Dalam satu bengkel penulisan, seorang penceramah, yang juga bekas guru semasa saya di sekolah rendah berkata, “Menulis itu amat mudah. Ideanya ada di mana-mana. Apa yang kita baca di akhbar antaranya boleh dijadikan bahan penulisan. Namun yang paling mudah sekali, kita tunggu apa yang orang tulis terlebih dahulu. Selepas itu kita sambung. Sama ada hendak kita sokong atau bantah pendapatnya dalam tulisan tersebut.”

Sebagai seorang pemuda yang datang dari pedalaman dan hanya mampu mendapat pendidikan di sekolah rendah (namun bercita-cita mahu jadi penulis), pendapat dan ajaran bekas guru saya di sekolah rendah ini telah benar-benar memberikan saya pencerahan.

Saya akui ajaran ini sangat membantu dan tanpa malu saya akhirnya mengaku, “Benar. Menulis itu sebenarnya amat mudah!”

Maksudnya, untuk memulakan penulisan, saya tidak perlu terlalu memerah otak untuk berfikir. Saban waktu, memadai saya menunggu apakah yang dituliskan oleh orang lain dan saya tinggal meneruskan, sama ada menyokong atau membantahnya.

Demikianlah beberapa waktu saya menulis dengan ajaran sedemikian rupa. Beberapa teman seusia yang sama mengikuti bengkel penulisan tersebut pun kelihatan mengamalkan teknik yang sama.

Akan tetapi, sampai bila? Demikian pada suatu pagi menjelang subuh, ketika mahu “mendebatkan” pendapat seorang penulis sebagai tulisan, pertanyaan ini menjengah fikiran.

Saya agak lama tercenung.

‘Sampai bila saya mahu menjadi penulis parasit yang menumpang idea milik orang lain, sedangkan saya juga dianugerahkan Tuhan akal dan fikiran sihat? Kenapa saya tidak berfikir bebas dan memulakan tulisan daripada idea milik saya sendiri?’ Soalan ini bertalu-talu berkumandang dalam fikiran.

Niat mahu mulai mendebatkan pendapat penulis berkenaan segera saya urungkan.

Beberapa waktu saya bolak-balik berfikir dan berasa malu kepada diri sendiri kerana sedar betapa selama ini saya hanyalah seorang penulis parasit.

Akhirnya, saya membuat kesimpulan dan menemukan jawapan sendiri.

Sebagai seorang penulis, saya perlu memiliki jiwa yang merdeka dan berani serta mampu untuk berfikir untuk dirinya sendiri. Tidak mudah terpengaruh dengan pendapat orang lain dan mengikut arus menulis hanya tentang apa-apa yang sedang disukai dan popular ketika itu.

Dengan jiwa yang merdeka, saya berhak dan perlu menentukan arah, hala tuju dan teknik penulisan saya sendiri.

Dengan jiwa yang merdeka, saya perlu menghormati hak berfikir dan menyatakan pendapat orang lain.

Mungkin pendapat orang lain itu salah atau kurang tepat atau berbeza dengan kehendak fikiran saya. Namun begitu, saya tidak perlu membantahnya semula dalam bentuk tulisan secara per se dengan menyebut secara jelas siapa penulisnya.

Jika pun terlalu mendesak dan perlu juga untuk dibantah, sebelum hendak saya bantah, perlu dilihat dan dikaji siapa yang mahu saya bantah itu — setinggi mana pengalaman dan ilmunya. Atas ketinggian ilmu dan usianya, saya perlu hormati dan jika perlu menolaknya juga, biarlah saya menolaknya secara diam-diam dan menjadikannya sempadan agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Menghayati semangat jiwa yang merdeka, saya perlu menghormati dan menjaga adab dalam penulisan saya: tidak mencerca dan memfitnah peribadi dan karya seseorang sehingga ke tahap mengaibkan yang empunya diri. Apalagi jika cercaan itu berselindung dengan hujah kritikan yang amat longgar dan palsu.

Terutamanya, kerana menulis dengan jiwa merdeka, saya tidak tergiur atau berasa perlu mencemuh peribadi dan karya orang lain, semata-mata kerana karya dan peribadi tersebut dirasakan telah mengatasi pencapaian pengkaryaan dan kepenulisan saya.

Dalam usaha menulis dengan jiwa merdeka, saya hanya ingin meraikan dan bergembira dengan karya milik saya sendiri, tanpa perlu berasa sedih dan kecewa, meski di mata penilaian orang lain, apa-apa yang telah dan sudah saya tulis itu hanyalah karya sampah!

Kredit Foto: Mahtab Naghedi/Unsplash

_________________________

Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian. E-mel beliau: [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.