Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLabirin dalam Helaian kali ini menampilkan Saat Omar. Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil.03/2024. Cari dan telaah buku pilihan dan pengalaman bacaan Saat.
Buku yang dibaca sekarang | Saya sedang membaca balik Karl Ove Knausgaard, My Struggle 1: A Death in the Family. Seronok. Penulisannya mudah. Membaca bacaan daripada penulis macam Knausgaard bagi saya seolah-olah mengajar saya untuk bernafas semula. Kerana apa? Kerana tenangnya dia menyusun ayat. Ini benar! Percaya atau tidak kalau saya rasa gementar, tak tenteram, saya akan capai mana-mana buku yang baik lalu membacanya. Aliran ayat daripada penulis yang baik mampu memberikan ketenangan dengan lirikan ayat yang teratur dan disusun baik.
Buku yang digemari sepanjang zaman | The Outsider oleh Albert Camus. Tapi buku yang saya baca ialah terjemahan bahasa Melayu, diterjemahkan oleh Ainon Muhammad dengan judul Orang Terasing, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Tanya saya seribu kali pun saya akan jawab yang sama. Buku ini membuatkan saya rasa saya boleh menulis. Yang perlu ada ialah idea dan juga ketakutan untuk dikongsi bersama. Tapi saya tak selalu membaca bukunya secara ulangan. Mungkin kerana saya takut semakin lama terasa Meursault itu semakin hampir pada diri saya.
Penulis kegemaran sepanjang zaman | Kebanyakannya penulis kawan-kawan yang saya kenal juga, tapi yang anehnya, di hadapan mereka saya tak pernah beritahu yang saya sukakan tulisan mereka. Mereka semua ada kualiti yang saya rasa saya tak akan capai. Jadi saya menulis sesuatu yang mereka belum sentuh.
Penulis kegemaran saya, selain penulis-penulis mapan yang biasa disebut, terdiri daripada penulis pojok, penulis skrip pentas, penulis lirik lagu, penulis skrip filem, penulis sitkom, dan sebagainya. Antaranya termasuk Bidin Subari, Syed Alwi, Hatta Azad Khan, M. Nasir, Osman Abadi, Larry David, David Webb Peoples, Morrissey, Lana Del Rey, Bob Dylan, dan banyak lagi.
Watak dalam karya sastera yang digemari | Mungkin Alang dalam Alang Rentak Seribu. Dia jadi orang tengah antara penduduk kampung dengan orang Filem Negara. Dia cuba satukan tradisi dan juga kemodenan. Dalam majlis bual dengan Syed Alwi pada tahun 2005 dulu, Syed Alwi datang membawa Alang yang sebenar untuk kami lihat dan dengar ceritanya. Ternyata, Alang sebenar mempunyai karakter yang lebih besar.
Genre penulisan yang seronok dibaca sekarang | Koleksi surat. Inilah antara genre baharu yang saya terokai. Minat ini lahir kerana penulisannya tidak terikat dengan naratif yang panjang, jadi kita boleh baca secara santai. Antara buku surat yang saya tekuni sekarang ialah koleksi surat Slyvia Plath. Dari situ, saya tahu betapa rapatnya dia dengan ibunya dan betapa kasihnya dia kepada Ted Hughes. Antara buku koleksi surat tempatan yang baik dan menarik termasuk Luman-Luman Zaihasra: Bingkasan Setulusnya kepada Sahabat dan koleksi surat Sasterawan Negara Anwar Ridhwan. Kini, saya sedang cari koleksi surat Anton Chekov dan para penulis romantis, tapi masih belum ketemu. Di kedai buku pun patut ada rak koleksi surat. Saya mengimpikan lebih banyak lagi koleksi surat penulis dibukukan, tapi oleh sebab kebanyakan penulis kita tidak menulis surat tangan lagi pada zaman ini, mungkin sukar untuk menerbitkan koleksi surat ini sekarang.
Buku yang selalu diulang baca | Bukan novel atau buku tetapi cerpen-cerpen (eceran) para penulis mapan. Terutamanya cerpen Anton Chekov. Setiap kali membacanya timbul kekaguman baharu. Karyanya juga membuatkan saya rasa rendah diri kerana saya tahu saya takkan dapat menulis sebegitu baik.
Selain itu ialah novel-novel Kazuo Ishiguro. Membaca Ishiguro dengan flow dan pengulangan perkataannya adalah seperti dia meletakkan bantal pada kepala kita yang nak tidur. Dia cermat dan hormat pada ayat. Kalau penulis menangani penulisan dengan penuh hormat, kita pembaca pun perlu telus membacanya.
Cadangan buku untuk dibaca oleh seorang ahli politik | Until August oleh Gabriel Garcia Márquez. Sebab ini buku baharu. Pesan Gabo sebelum beliau mati ialah manuskrip untuk buku terakhirnya itu patut dibakar, dan hal inilah yang sebenarnya menambah lagi nikmat untuk membaca buku tersebut.
Buku tertentu yang menjadikan saya seorang penulis | Selain buku, sebenarnya lirik-lirik lagu pop, dan saya kagum dengan S. Amin Shahab, Habsah Hassan, Bob Lokman, M. Nasir, dan sebagainya. Saya pernah cuba menulis lirik, tetapi teruk sangat hasilnya, lalu saya berhenti bercita-cita untuk menjadi penulis lirik lagu.
Selain itu, beberapa penulis yang menyorok sebalik nama samarannya, yang menulis cerpen dalam majalah Gila-Gila pada hujung 80-an dan akhir 90-an.
Dunia bacaan ketika kanak-kanak | Saya membaca kisah-kisah daripada Aesop’s Fable, Misteri Surat Dendam, Bercakap Dengan Jin, dan mungkin antara yang manis ialah novel Adibah Amin, Tempat Jatuh Lagi Dikenang. Selain itu, komik-komik Media Seni, majalah Gila-Gila, Batu Api, Gelihati, Bambino, dan Toyol.
Buku bukan fiksyen yang disukai | Art Since 1940: Strategies of Being tulisan Jonathan Fineberg. Masa belajar dulu, buku inilah yang paling kerap saya ulang pinjam di perpustakaan. Sepanjang tahun akhir ketika membuat projek seni tahun akhir, buku ini sentiasa jadi teman di sisi dan rujukan saya.
Selain itu, saya suka baca buku biografi ahli sukan. Buku yang paling saya seronok baca ialah Have A Nice Day! oleh Mick Foley. Sebagai peminat gusti profesional tahun 80-an dan 90-an, saya cuba baca biografi ahli gusti tetapi mereka bukanlah rajin sangat untuk menulis kisah hidup mereka. Buku-buku biografi pemain bola sepak juga antara yang saya cari-cari.
Buku yang biasa sahaja, tetapi tidak bagi orang lain | Ada. Banyak. Biarlah rahsia. Bukan salah buku itu tapi salah saya. Mungkin saya membaca pada waktu yang tidak sesuai. Saya tak mahu menyebutnya di sini tapi kalau dipaksa juga saya akan nyatakan tajuk buku itu: Lord of the Flies. Mungkin saya perlu membaca balik buku itu.
Buku-buku yang teringin dibaca tetapi masih belum sempat | Semua buku penulis gergasi yang dibaca dalam bahasa asal, bahasa ibundanya, baik dalam bahasa Rusia, Perancis, Jerman, Greek, Itali, Jepun, mahupun Inggeris. Ini termasuk Dostoevsky, Nietzsche, Kierkegaard, Plato, Homer, Dante, atau Proust …
Rancangan bacaan yang seterusnya | Buku-buku fantasi hasil tulisan Joe Abercrombie, Tad Williams, Patrick Rothfuss, dan lain-lain. Karya mereka perlu dibaca untuk saya fahami rencah dunia fantasi kerana saya memang ada menyimpan cita-cita untuk menulis novel fantasi.
Rak buku atau pustaka? | Saya menyusun rak buku saya mengikut saiz ketinggian buku tersebut. Kadang-kadang, saya berangan-angan yang semua buku yang saiz tingginya adalah sama. Hal ini mungkin memudahkan saya menyusun buku di almari dengan lebih kemas.
Beli buku tulisan sendiri? | Pernah. Sebab saya kasihan melihatnya.
Selera pembacaan | Sudah tentu selera bacaan saya berubah mengikut perubahan umur saya, tapi saya rasa saya lebih rajin membaca waktu dulu daripada sekarang. Sekarang saya lebih banyak tidur.
Suasana ideal untuk membaca | Meniarap.
Pilih seorang penulis untuk menjadi Sasterawan Negara | Latiff Mohidin
______________________________
Kenali dengan lebih mendalam tentang Saat Omar dalam Dewan Sastera Bil.03/2024. Beli majalah Dewan Sastera Bil.03/2024 versi PDF di sini atau versi bercetak di sini.