Oleh Marsli N.O
19 Januari 2024, 07:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O bermuhasabah dengan dirinya tentang rasa ghairah dan kerisauan menulis sajak.

Sehingga akhirnya, yang terkesan hanyalah hasrat diriku yang terlalu ingin menunjuk-nunjuk kepada dunia, mesti tanpa teriak, ‘Dunia, lihatlah diriku. Sang penulis sajak!’

Sesudah hampir dua tahun bersantai dan tidak mengganggu diriku dengan tulisan demi tulisan yang kukatakan sebagai sajak, suatu malam, aku kembali menjadi ghairah menulis tentang apa yang kukatakan sebagai sajak.

Tentu sahaja aku berbuat demikian agar dikatakan orang, terutamanya, bahawa aku masih tetap dan terus menulis. Lalu seperti dulu-dulu juga, mulai malam itu dan malam-malam seterusnya, aku menuliskan satu demi satu tulisan yang aku katakan sebagai sajak.

Setelah seminggu berbuat demikian, dengan perasaan dan rasa ghairah yang datang entah dari mana, aku kembali menjadi letih dan terfikir, betapa semberono dan sia-sianya aku dengan apa yang telah aku lakukan selama seminggu itu. Aku kembali merenung. Lama dan lama.

Ternyata waktu tidak banyak mengasuh dan mematangkan diriku sebagai seorang penulis sajak. Meski sudah hampir dua tahun berehat, ternyata apa-apa yang aku tuliskan itu tetap juga seperti tulisanku beberapa tahun sebelumnya.

Ternyata, apa yang aku tuliskan dan katakan sebagai sajak itu terlalu sarat dengan hasrat dan kehendak yang membeludak dan sebahagian besar yang lain cenderung mahu menampilkan pemikiran dan falsafah, yang tentunya kusangkakan sendiri sebagai hebat.

Tetapi aku sedar. Kerana semuanya tidak dijernihkan dan tegak dengan keperibadian kukuh milik diriku sendiri, semua itu terkesan goyah dan terumbang-ambing.

Sehingga akhirnya, yang terkesan hanyalah hasrat diriku yang terlalu ingin menunjuk-nunjuk kepada dunia, mesti tanpa teriak, “Dunia, lihatlah diriku. Sang penulis sajak!”

Aku sedar. Rasa ghairah yang melulu dan membeludak itu menjadikan diriku mudah terleka dan lalai. Sehingga dengan demikian aku menyangka bahawa perjuangan hidupku yang paling terutama, tidak lain dan tidak bukan ialah menulis sajak demi sajak demi sajak. Cuma itu.

Sedangkan sebenarnya, menulis sajak ialah soal kedua. Bagus atau tidak. Sudah mencapai apa yang dikatakan sebagai sebuah sajak atau tidak, soal kedua.

Hal yang penting dan perlu aku tanyakan terlebih dahulu, sepanjang dua tahun aku menghilang dan menyepi itu ialah, buku apa yang sudah dan sedang kubaca. Aku perlu menjawab soalan ini secara jujur kepada diriku sendiri dan bukan kepada orang lain.

Sajak itu soal nombor dua. Membaca, apa yang aku baca dan bagaimana aku membaca, itu soal yang penting dan terutamanya.

Tetapi itulah yang selalu mengelirukan. Orang yang hendak atau sudah menulis sajak selalu menyangka bahawa menulis sajak itulah yang perlu didahulukan, dan proses lain seperti merenung, menghayati, memahami subjek dan isu secara mendalam, dan tekun membaca, selalu diremeh-remehkan, malah diabaikan.

Hingga kerana itu juga, orang selalu mengabaikan soal keseimbangan mental, jiwa, perasaan, dan pemikiran. Lalu yang terhasil hanyalah segumpal kata-kata compang-camping, tercela, yang memikul beban kebodohan orang yang menulisnya, yang secara tanpa sedar atau sengaja, mengakuinya pula sebagai sebuah sajak.

Atas keghairahan yang melampau dan melulu begitu, aku pun menjadi lupa. Adakah kerana hanya mengenakan pakaian seakan “seniman” dan “penyajak”, berjalan dan pergi ke sana dan ke mari, atau berlagak-lagak kononnya akulah seniman yang menulis sajak, maka setiap yang aku tulis dan bacakan pantas sudah layak disebut sajak, dan aku layak dipanggil penyajak?

Tentu sahaja tidak. Malah, perbuatan sebegitu hanyalah tindakan dungu seorang yang hanya ingin mendapat sesuatu tetapi tidak ingin mengerahkan tenaga jiwa dan otak yang dia miliki secara wajar dan sepatutnya.

Memang semua orang, jika mahu, memang boleh menulis atau mengaku apa-apa yang ditulisnya itu sebagai sajak. Akan tetapi, jika ingin menjadikan tulisannya itu lebih bernuansa seni, asas dan peralatan seni itu mestilah dia kuasai dan diikuti dengan latihan yang berterusan.

Keghairahan yang tidak dikawal, tidak diseimbangkan dengan keseimbangan akal, jiwa dan perasaan serta rasa tanggungjawab, moral dan adab, tidak akan membawa diriku ke mana-mana pun. Kerana itulah aku perlu sentiasa membaca, membaca, membaca, dan terus membaca. Setelah itu, barulah kembali menulis. Dengan lebih teliti dan waspada.

Namun akhirnya, walau apa-apa pun, segalanya terserah kepada diriku sendiri untuk menentukan arah dan jalan hidupku yang bagaimana. Adakah mahu tetap dan terus menulis sajak atau kembali meneruskan kehidupan seperti sayur?

Tulisan ini pun, bukan pasti dengan niat hendak mengajar sesiapa tentang bagaimana hendak menjadi seorang penulis sajak. Hal ini kerana, puluhan tahun dahulu, aku menjadi dan berjaya menulis sesuatu yang akhirnya diterima oleh orang sebagai sajak, sudi disiarkan orang dalam majalah atau akhbar yang dikatakan bersemangat sastera, tanpa komen atau nasihat sesiapa pun.

Kerana aku tidak mahu berhutang dengan sesiapa pun yang bernama manusia secara membuta tuli. Kerana komen-komen dan susah payah mereka memperbetul sajak-sajak atau tulisan merepekku yang aku sangkakan dengan rasa bangga sebagai “sajak”!

Kerana aku mahu tetap menjadi diriku sendiri.

Nota Penulis: Catatan ini disudahkan pada 17 November 2019.

Kredit Foto: Tyler Milligan/Unsplash

_________________________

Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian. E-mel beliau: [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.