Oleh Marsli N.O
4 April 2024, 08:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O mengingati kerja terjemahan yang diusulkan kepadanya.

Saya yang memang buta bahasa Arab berasa projek ini tidak layak buat saya kerana kekurangan penguasaan bahasa. Saya berasa agak kecewa juga.

Tahun 2000, dengan hasrat untuk terus menambahkan ilmu dalam penulisan, saya pernah mengikuti bengkel dengan satu pihak yang membuka ruang penerbitan untuk peserta anjurannya yang berjaya menyiapkan manuskrip hasil daripada bengkel tersebut.

Setiap minggu, saya turun ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas pada jam 1.00 pagi dan tiba di Kuala Lumpur sekitar jam 5.30 atau 6.00 pagi. Saya tidur di dalam bas dan tanpa mandi, pada jam 7.00 pagi, berkejar menaiki bas ke tempat bengkel.

Setelah beberapa bulan mengikuti bengkel, suatu pagi sewaktu ceramah, peserta diberitahu oleh pihak penganjur yang mereka bercadang untuk memulakan sebuah projek terjemahan kitab-kitab agama berbahasa Arab yang telah menjadi public domain atau telah melebihi tempoh 50 tahun hak ciptanya.

Saya yang memang buta bahasa Arab berasa projek ini tidak layak buat saya kerana kekurangan penguasaan bahasa. Saya berasa agak kecewa juga.

Namun rasa kecewa saya itu berubah dan menampakkan sedikit sinar apabila mendengar penerangan penceramah yang kelihatan amat yakin diri itu.

“Selepas bengkel ini, pakat-pakat pergi ke Wisma Yakin. Pergi cari kitab berbahasa Arab yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia. Kongsi beli. Satu kitab empat atau lima orang kongsi. Selepas itu, bincang elok-elok dan alihkan ke dalam bahasa Melayu Malaysia kita,” begitu kata penceramah itu, memberikan kami petunjuk.

Sejak hari itu, baru saya sedar dan tahu rahsia muslihatnya. Kerja mudah untuk menterjemahkan buku-buku ke dalam bahasa Melayu adalah dengan mencari buku-buku bahasa asing yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia. Buku tersebut dijadikan rujukan pada buku asal, terutamanya yang berbahasa Inggeris, dijadikan rujukan induk, sama ada terjemahan tersebut tepat dan sesuai ataupun tidak.

Lantaran itu, apabila setiap kali melihat buku berbahasa Inggeris yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia, dan ada pula perakuan kononnya buku berkenaan turut diterjemahkan, diterbitkan dan dijual di Malaysia, saya yakin itu bukanlah terjemahan asli daripada buku asal berbahasa Inggerisnya, tetapi alih bahasa daripada bahasa Indonesia kepada bahasa Melayu Malaysia.

Sejak projek penterjemahan kitab agama berbahasa Arab ini bermula, saya dimasukkan dalam kumpulan yang di dalamnya termasuk seorang kawan sesama blogger yang saya kenal. Selepas dua kali mengikuti bengkel cara mengerjakan “alih bahasa” tersebut, saya memutuskan untuk tidak lagi mengikutinya.

Saya tidak ingin terlibat. Bagi saya, tindakan mengalihkan bahasa buku yang telah diterbitkan dalam bahasa Indonesia ke dalam bahasa Melayu tanpa kebenaran penerbit asalnya samalah seperti mencuri hasil kerja orang lain.

Secara peribadi, saya tidak bermasalah untuk membaca dan memahami isi kandungan buku yang diterbitkan dalam bahasa Melayu versi Indonesia kerana sejak dalam darjah empat sekolah rendah, saya sudah pun membaca buku terbitan Indonesia. Ketika itu, buku yang saya baca menggunakan ejaan lama dengan ejaan misalnya tjara untuk ‘cara’ atau djalan bagi ejaan ‘jalan’.

Bahasa Melayu Indonesia bagi saya bukanlah bahasa yang sulit untuk difahami oleh sesiapa yang mahir membaca dan menulis dalam bahasa Melayu Malaysia. Induk bahasanya tetap daripada akar Melayu yang jelas dan bukan suatu yang terlalu asing. Malah, kemudahan teknologi maklumat hari ini dapat memberikan jawapan dalam sekelip mata jika berhadapan dengan kesukaran untuk memahami sesuatu perkataan dalam bahasa Melayu Indonesia.

Sebagai seorang penulis, walaupun bukanlah seorang penulis yang terkenal dan hebat, saya berasa bertuah kerana mampu membaca dan memahami buku atau karya yang ditulis dalam bahasa Melayu Indonesia. Khazanah perbendaharaan kata saya bertambah. Apatah lagi dengan bantuan Kamus Besar Bahasa Indonesia (Balai Pustaka, 1990) dan Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, setiap kesukaran memahami kata segera diselesaikan.

Sebagai peserta yang datang dari jauh ke bengkel tersebut, dengan niat hendak menulis dan menerbitkan karyanya, saya tidak ingin ambil peduli soal untung rugi perniagaan. Itu soal mereka. Saya hanya ingin menulis cara saya. Menurut apa-apa yang saya percayai dan yakini. Tidak mengapa jika kerana tidak terlibat dengan projek terjemahan, karya saya tidak diterima untuk diterbitkan. Jika bukan di sini rezeki saya, apa yang mahu saya katakan? Saya percaya, Tuhan Maha Adil dan Mengetahui. Saya boleh ke tempat lain.

Soalnya, bukan kerana saya perasan ingin menjadi manusia suci. Saya tidak ingin menghakimi sesiapa. Apa-apa yang mereka pilih, biarlah menjadi hak mereka.

Dan saya memilih jalan saya sendiri.

Kredit Foto: Matt Artz/Unsplash

_________________________

Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian. E-mel beliau: [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.