21 Mac 2024, 10:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sempena Hari Puisi Sedunia pada 21 Mac, Raja Yusoff Ariffin menganggap yang penyair di Malaysia bertuah kerana selain menyambut Hari Puisi Kebangsaan, Hari Puisi Malaysia dan turut menyertai Hari Puisi Nasional, mereka turut meraikan Hari Puisi Sedunia.

Barangkali tidak keterlaluan kalau penulis mengatakan bahawa penganjuran Hari Puisi Kebangsaan ialah usaha yang besar dan serius.

Selepas Hari Puisi Nasional (HPN) yang kadang-kadang diadakan setiap dua tahun sekali di berlainan negeri di seluruh Malaysia, sejak HPN pertama pada tahun 1971 di Pantai Kundur, Melaka; ada pula Hari Puisi Malaysia (HPM) yang bermula pada 13 Jun 2021 dan Hari Puisi Kebangsaan (HPK), sejak 12 Julai 2022.

Tarikh penganjuran HPN tidak tetap dan berlangsung dalam masa dua atau tiga hari, sama ada pada awal, pertengahan ataupun penghujung tahun. Penganjurannya berbeza daripada HPM dan HPK, yang telah dipastikan tarikhnya agar tidak berubah-ubah.

Biasanya, HPN dengan tema tertentu menerima penyertaan kira-kira 100 hingga 200 orang peserta mengikuti perbincangan menerusi pembentangan kertas kerja (wacana) dan forum oleh tokoh-tokoh undangan yang relevan, serta pelancaran buku, penganugerahan tokoh penyair dan baca puisi.

HPN dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan persatuan penulis negeri yang menjadi tuan rumah, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

HPM pula dianjurkan oleh Persatuan Pemuisi Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama DBP. Lazimnya, sambutan diadakan menerusi acara baca puisi di DBP, Kuala Lumpur atau di luar ibu kota.

Penganjuran HPK oleh GAPENA dan DBP serta persatuan penulis negeri, diilhamkan daripada tarikh lahir Sasterawan Negara (SN) ketiga, Allahyarham Datuk (Dr.) Usman Awang pada setiap 11 Julai.

Jadi, walaupun berasaskan puisi, ketiga-tiga hari puisi ini berbeza. Dengan 13 Jun dan 12 Julai bererti HPM dan HPK boleh disambut dengan sekadar menyebut, atau turut dimeriahkan oleh pelbagai acara berkaitan.

Barangkali tidak keterlaluan kalau penulis mengatakan bahawa penganjuran HPK ialah usaha yang besar dan serius. Hal ini dikatakan sedemikian kerana para penganjur turut mengadakan Anugerah Tokoh Puisi Kebangsaan (TPK) bagi peringkat negara dan peringkat negeri.

Apabila diimbau semula, sambutan HPK yang pertama dimeriahkan dengan beberapa acara tertentu. Pelancarannya telah disempurnakan pada 12 Julai 2022 di Rumah GAPENA, Bukit Petaling, Kuala Lumpur oleh Dr. Tan Awang mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (ketika itu), Datuk Hajah Saraya Arbi.

Bersempena dengan pelancaran HPK 2022, turut diadakan Anugerah TPK 2022. SN ke-12/2013, Dato’ Baha Zain (Baharuddin Zainal), dan SN ke-15/2022, Dato’ Rahman Shaari diangkat sebagai TPK 2022.

Seperti yang disebutkan tadi, terdapat juga Anugerah TPK Peringkat Negeri. Anugerah tersebut diadakan dari 13 Julai hingga 31 Julai 2022, meskipun entah kenapa tidak diadakan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, dan Labuan. Menariknya, ada dua orang TPK untuk Perak.

Penyair-penyair yang terpilih sebagai TPK 2022 Peringkat Negeri termasuklah:

  • Datuk Jasni Matlani untuk Sabah, melalui Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA).
  • Leo A.W.S. (Kelantan/Persatuan Penulis Kelantan [PPK]).
  • Pyanhabib (Kuala Lumpur/Persatuan Penulis Nasional Malaysia [PENA]).
  • Haji Saie Driss (Sarawak/Persatuan Karyawan Sarawak [PEKASA]).
  • Haji Aladdin Mohamad (Melaka/Ikatan Penulis Melaka [IPM]).
  • Mohd. Rosli Bakir (Johor/Persatuan Penulis Johor [PPJ]).
  • Hilmi Rindu (Terengganu/Persatuan Sasterawan Terengganu [PELITA]).
  • Chai Loon Guan dan Onn Abdullah (Perak/Lembaga Pembangun Sastera Perak [LEPAS]).
  • Dr. Hj. Ahmad Razali Yusof (Selangor/Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor [KEMUDI]).
  • Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hj. Mohd. Mansor@Ismail Abdullah atau nama penanya, M. Ashikin (Pahang/Dewan Persuratan Melayu Pahang [DPMP]).

Menariknya, daripada 11 orang penyair yang terpilih, Pyanhabib dan M. Ashikin berasal dari Perak, bukan anak jati negeri terbabit.

Tanpa sebarang pengumuman mengenai sebab penguncupan anugerah TPK, ramai yang berpendapat bahawa faktor kewangan atau peruntukan menjadi punca, oleh sebab itu lebih banyak negeri tidak mengumumkan TPK masing-masing untuk HPK 2023.

Setahu penulis, hanya penyanyi, penulis lirik dan komposer terkenal, Sani Sudin pernah diangkat sebagai TPK, iaitu bagi Kuala Lumpur (juga oleh PENA). Tiada pula sesiapa yang dipilih sebagai TPK 2023.

Ini bermula sejak puisi klasik hinggalah ke puisi moden. Magismenya ini sering memikat hati audien yang telah ‘mengenali’ dan turut pula mencintainya tanpa ragu-ragu lagi. Bayangkan seorang Tok Selampit dengan kesungguhannya berlagu, berkecapi mengisah kisah-kisah bahari.

Bagaimana pula dengan Hari Puisi Antarabangsa atau Hari Puisi Sedunia yang disambut pada 21 Mac setiap tahun?

Dalam tercari-cari idea untuk artikel ini, penulis terjumpa catatan oleh SN ke-11, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Kemala yang menjadi Pengerusi Pengucapan Puisi Kuala Lumpur pertama, yang kemudian dinamakan sebagai Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (PPDKL) daripada buku cenderamata PPDKL tahun 1986.

Bagi penulis, acara PPDKL yang berskala besar dan bertaraf antarabangsa sesuai dikaitkan dengan sambutan Hari Puisi Sedunia di negara kita. Malangnya, acara ini telah lama tidak diadakan. Penulis tidak pasti adakah acara ini memang tidak dapat disambung, walaupun wajar diadakan semula, tanpa menafikan beberapa buah acara lain yang turut “menduniakan” tarafnya dengan mengundang seorang dua penyair luar negara.

Dalam catatan Allahyarham yang diberikan judul “Selejang Terbang”, Kemala menyatakan ada sesuatu kuasa magis yang dikandung oleh puisi dan penyair.

“Ini bermula sejak puisi klasik hinggalah ke puisi moden. Magismenya ini sering memikat hati audien yang telah ‘mengenali’ dan turut pula mencintainya tanpa ragu-ragu lagi. Bayangkan seorang Tok Selampit dengan kesungguhannya berlagu, berkecapi mengisah kisah-kisah bahari,” katanya.

Tambah Kemala, masyarakat desa turut terhibur dan untuk sejenak waktu mengisi waktu lapangnya mengaso selepas seharian berpenat di sawah dan ladang. Apakah ini satu eskapisme? Ilusi dan mimpi tentang keagungan sesebuah kerajaan, keadilan dan kebobrokannya – kejelitaan paras sang puteri dan pesta sayembara putera-putera mahkota yang beradu tuah dan nasib untuk menyuntingi sang puteri ialah kilatan-kilatan iktibar masyarakat tani yang tenteram hidup dalam kesederhanaannya itu.

“Dalam detik transisi dari masyarakat petani ke satu masyarakat industri, gejala nostalgia kepada tradisi yang klasik itu masih sahaja menggayuti para penyair dunia di mana-mana. Unsur-unsur yang klasik atau tradisi itu masih dibawakan bagi memperlihatkan kesahihan identiti negara dan bangsa masing-masing,” ujar beliau lagi.

Seterusnya, Kemala menyatakan bahawa para penyair masih merupakan “sumber sumur” yang jernih sama ada diharapkan keindahan mestika bahasa tinggi ataupun mutiara hijau pemikiran yang bernas untuk dijadikan panduan atau ikutan.

“Sang penyair seperti Tagore, Iqbal, Neruda, Chairil Anwar, T.S. Eliot, dan Baudelaire masih terpandang dan digali isi hatinya, dipelajari puisinya untuk cita-cita kemanusiaan dan perdamaian umat seterusnya untuk cita-cita cinta, dan kerohanian,” tambah beliau.

Akhir sekali, Kemala menegaskan bahawa penyair Malaysia seperti para penyair dunia lainnya semenjak setengah kurun yang lalu ikut menyuarakan aspirasi cinta, kemanusiaan dan cita-cita kerohanian itu.

Antara objektif PPDKL termasuklah mempertemukan dan menggalakkan interaksi para penyair dunia dari Asia, Afrika, Eropah, dan Amerika, selain menyertai acara baca puisi di Kuala Lumpur untuk bertukar-tukar fikiran, berkongsi pengalaman kreatif dengan para penyair Malaysia yang terpilih, berserta masyarakat penyair atau penulis lain.

Antara para penulis yang hadir pada Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur 1996.

Sebagai catatan, PPDKL 2004 mengumpulkan seramai 55 orang penyair dari 30 buah negara. Antaranya dari Bangladesh, Brunei Darussalam, China, India, Jepun, Korea Selatan, Singapura, Thailand, dan Vietnam (Asia); Belgium, Bosnia dan Herzegovina, Croatia, Denmark, Finland, Jerman, Rusia, Sepanyol, Turki, dan United Kingdom (Eropah); Maghribi dan Mesir (Afrika); Kanada dan Mexico (Amerika); serta Australia.

Mungkin ada faktor-faktor besar yang menghalang DBP meneruskan PPDKL. Penulis tidak ingat bila kali terakhir PPDKL diadakan. Adakah PPDKL 2004 itu yang terakhir? Begitu pun, antara rakan penulis Malaysia yang pernah diundang menyertainya ialah Marsli N.O dan Ijamala MN.

Daripada aspek tema pula, bukan aneh jika penyair mengambil isu semasa yang berlaku di seluruh dunia, seperti perang saudara, sesebuah negara yang menyerang negara lain.

Sehubungan itu, penulis fikir penganjuran Festival Antarabangsa R.A – Penyair, Penulis dan Pencinta Buku – Malaysia (RAIPO) yang pertama kali diadakan dari 8 hingga 11 Disember 2023 di Strand Mall, Kota Damansara wajar dialu-alukan, dan diharap menjadi acara tahunan, sekali gus dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh PPDKL.

Bukan menafikan penganjuran Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) yang masih diteruskan (terbaharu ialah PPN XII pada 13 hingga 15 Oktober 2023 di Kuala Lumpur, yang diselenggarakan oleh DBP Malaysia bersama-sama Yayasan PENA dan GAPENA dengan temanya, “Luka. Cinta. Damai”), tetapi acaranya bukan seluruh dunia, sebaliknya hanya sekitar rantau Asia Tenggara.

Jadi, RAIPO 2023 anjuran R.A Arts Haven dengan sokongan Encorp Berhad dan Tourism Perak yang perasmiannya disempurnakan oleh Pengerusi Encorp Berhad, Encik Yusmadi Mohd. Yusoff pada 8 Disember, lebih sesuai.

Encik Yusmadi sendiri dalam ucapannya, turut menegaskan bahawa RAIPO 2023 berskala besar kerana programnya bertaraf antarabangsa, dengan penyertaan 100 orang sasterawan atau penyair dari 15 buah negara. Beliau langsung mengatakan bahawa RAIPO wajar mendapat sokongan kuat agar terus berkembang dari semasa ke semasa.

Selain Malaysia selaku tuan rumah, negara peserta yang dimaksudkan termasuklah Bangladesh, Brunei Darussalam, Bulgaria, China, India, Indonesia, Iran, Iraq, Mesir, Puerto Rico, Rusia, Sepanyol, Singapura, dan Vietnam.

Antara sasterawan/penyair yang tampil mewakili negara masing-masing termasuklah Aminur Rahman (Bangladesh), Dr. Zefri Ariff (Brunei Darussalam), Maja Panatova (Bulgaria), Annakeiko (China), Mehzabeen Hussain, Dr. Sudipto Chatterjee dan Dr. Reshma Ramesh (India), Bundo Free, Dwi Ermayanthi dan Lily Siti Multatuliana (Indonesia), Dr. Mehdi Soltanzadeh (Iran), Ali Al-Shalah (Iraq), Ahmed Al Shahawy (Mesir), Maria De Los Angeles (Puerto Rico), Dr. Victor Pogadaev (Rusia), Kirpal Singh (Singapura), Remedios Alvarez, Francisco Munoz Soler dan Ana M. Galan (Sepanyol), serta Nguyen Bao Chan (Vietnam).

Lima orang SN, iaitu Datuk (Dr.) A. Samad Said, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, dan Datuk Dr. Zurinah Hassan, selain Puzi Hadi, Ahmad Shukri Abdullah, Dr. Zakaria Ali, Sani Sudin, dan ramai lagi mewakili Malaysia.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan beliau, Pengasas dan Pengarah RAIPO 2023, YM Raja Ahmad Aminullah menyatakan rasa gembira serta ucapan terima kasih tidak terhingga kepada rakan-rakan penyair dari dalam dan luar negara kerana sanggup hadir menjayakan festival berkenaan.

Beliau berharap agar kesemua yang terlibat dapat bekerjasama dengan lebih erat, dan RAIPO akan terus berkembang mencapai kejayaan serta memenuhi matlamat penganjurannya.

Pelancaran RAIPO 2023 diikuti dengan pelancaran sebuah antologi puisi bersempena dengan festival tersebut, iaitu Suara Kemanusiaan (Voice of Humanity) yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara, YB Muhammad Izuan Kassim.

Suara Kemanusiaan yang diterbitkan oleh R.A Arts Haven Rare Books and Vintage (2023) setebal 272 halaman memuatkan sajak-sajak daripada 80 orang penyair yang menyertai RAIPO 2023.

Dengan temanya, “Puisi, Kedamaian dan Kemanusiaan”, penganjuran festival ini bertujuan untuk meraikan kegiatan sasterawan dan penyair dari pelbagai negara agar hubungan antara mereka dapat dieratkan lagi.

Terbaharu, GAPENA akan mengadakan Baca Puisi Ramadan bersempena dengan Hari Puisi Sedunia 2024 dan Majlis Berbuka Puasa GAPENA di Rumah GAPENA pada 22 Mac, dari jam 5.00 petang hingga 10.00 malam.

Daripada aspek tema pula, bukan aneh jika penyair mengambil isu semasa yang berlaku di seluruh dunia, seperti perang saudara, sesebuah negara yang menyerang negara lain, penghapusan etnik di Bosnia dan Herzegovina, kebuluran, kemiskinan, dan yang berlarutan sejak 7 Oktober 2023, iaitu pembunuhan (genosid) oleh rejim Zionis Yahudi Israel di Gaza, Palestin sebagai tema karya puisi.

Memang ada yang mempertikai mutu puisi yang mengangkat tema peperangan, penghapusan etnik atau tragedi genosid. Kata mereka, hasilnya tidak sempurna kerana karya berkenaan hanya berdasarkan penglihatan dan pendengaran, bukan dialami sendiri.

Walau bagaimanapun, hal tersebut tidak perlu disanggah. Penyair sebagai insan yang cakna dan kreatif memang mampu menghasilkan puisi tanpa perlu mengalami sendiri kejadian yang dirakamkan. Tidak munasabah bahawa semua penyair yang mahu menulis puisi mengenai warga Palestin perlu berada di sana.

Kalau logik sedemikian diguna pakai, apakah penyair perlu mati terlebih dahulu untuk menulis puisi mengenai kematian?

Penyair ialah insan luar biasa. Mereka mampu berkarya hanya berdasarkan penglihatan dan pendengaran menerusi bacaan atau tontonan. Jika mengharapkan atau memaksa mereka “turun padang” (ke Gaza), risikonya tinggi dan hal itu hanya menempah maut.

Penyair perlu dan mampu sensitif dengan isu semasa, tidak kira di mana mereka berada. Hari Puisi Sedunia dan penyair harus meraikan peristiwa dunia dengan peranan dan cara sendiri.

Selamat Hari Puisi Sedunia 2024!

______________________________

Raja Yusoff Ariffin merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), mantan rakan Tajulmedia Melayu dan mantan ahli Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Raja Yusoff pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.