9 Disember 2023, 13:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Peluncuran Festival Antarabangsa R.A – Penyair, Penulis dan Pencinta Buku – Malaysia (RAIPO) 2023 dari 8 hingga 11 Disember di Strand Mall, Kota Damansara telah disempurnakan oleh Pengerusi Encorp Berhad, Encik Yusmadi Mohd. Yusoff pada 8 Disember.

Dalam ucapannya, Yusmadi mengucapkan tahniah kepada penganjur utama, iaitu R.A Arts Haven dan barisan ahli jawatankuasanya yang bertungkus-lumus saban hari tanpa mengira penat lelah demi memastikan kejayaan program.

Pengerusi Encorp Berhad, Encik Yusmadi Mohd. Yusoff ketika menyampaikan ucapan.

Kata Yusmadi lagi, RAIPO 2023 ini bukan calang-calang kerana ia bertaraf antarabangsa dengan penyertaan 100 orang sasterawan/penyair dari 15 buah negara, termasuk Malaysia. Program ini wajar mendapat sokongan kuat agar terus berkembang dari semasa ke semasa.

“Mengenai penganjuran RAIPO 2023 di Strand Mall ini, saya menjangkakan sedikit masa lagi gema sastera tanah air akan bermula pula di pusat beli-belah atau pasar raya,” tambah beliau yang memuji usaha penganjuran acara ini kerana lari daripada kebiasaan seperti di dewan persidangan atau dewan seminar.

Selain Malaysia selaku tuan rumah, negara peserta yang dimaksudkan adalah Bangladesh, Brunei, Bulgaria, China, India, Indonesia, Iran, Iraq, Mesir, Puerto Rico, Russia, Sepanyol, Singapura, dan Vietnam.

Antara sasterawan/penyair yang tampil mewakili negara masing-masing termasuklah Aminur Rahman (Bangladesh), Dr. Zefri Ariff (Brunei), Maja Panatova (Bulgaria), Annakeiko (China), Mehzabeen Hussain, Dr. Sudipto Chatterjee dan Dr. Reshma Ramesh (India), Bundo Free, Dwi Ermayanthi dan Lily Siti Multatuliana (Indonesia), Dr. Mehdi Soltanzadeh (Iran), Ali Al-Shalah (Iraq), Ahmed Al Shahawy (Mesir), Maria De Los Angeles (Puerto Rico), Dr. Victor Pogadaev (Russia), Kirpal Singh (Singapura), Remedios Alvarez, Francisco Munoz Soler dan Ana M. Galan (Sepanyol), serta Nguyen Bao Chan (Vietnam).

Lima orang Sasterawan Negara, iaitu Datuk (Dr.) A. Samad Said, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, dan Datuk Dr. Zurinah Hassan, serta Puzi Hadi, Ahmad Shukri Abdullah, Dr. Zakaria Ali, Sani Sudin, dan ramai lagi mewakili Malaysia.

Pengasas dan Pengarah RAIPO 2023, YM Raja Ahmad Aminullah.

Sebelum itu, dalam ucapan alu-aluan beliau, Pengasas dan Pengarah RAIPO 2023, YM Raja Ahmad Aminullah menyatakan rasa gembira serta ucapan terima kasih tidak terhingga kepada rakan-rakan penyair dari dalam dan luar negara kerana sanggup hadir menjayakan festival ini.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penggerak yang kuat bekerja siang malam. Semoga kita dapat bekerjasama dengan lebih erat lagi, dan RAIPO akan terus berkembang mencapai kejayaan, serta memenuhi matlamat,” ujar Raja Ahmad yang tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya sehingga menyebut sekian ramai nama penyair yang sudi hadir menyahut undangan beliau.

Peluncuran RAIPO 2023 kemudian diikuti dengan peluncuran sebuah antologi puisi bersempena dengan festival berkenaan, iaitu Suara Kemanusiaan (Voice of Humanity) yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, YB Muhammad Izuan Kassim.

“Saya memang “buta sastera”. Tetapi, tetap gembira dan teruja dengan penganjuran RAIPO 2023 ini, yang sedikit sebanyak telah mengenalkan saya pada sesuatu yang indah, dan menenangkan jiwa,” ujar Muhammad yang mengaku bahawa baca puisi bulanan “Readings” anjuran R.A Arts Haven di Strand Mall merupakan acara pertama yang dihadirinya selepas dipilih sebagai ADUN Kota Damansara.

Suara Kemanusiaan yang diterbitkan oleh R.A Arts Haven Rare Books and Vintage (2023) setebal 272 halaman memuatkan sajak-sajak daripada 80 orang penyair yang menyertai RAIPO 2023.

Dengan temanya, Puisi, Kedamaian dan Kemanusiaan, penganjuran festival puisi, penyair dan buku sedunia yang julung-julung kali ini turut mendapat sokongan kuat  Encorp Berhad dan Tourism Perak. Ia bertujuan meraikan kegiatan sasterawan/penyair dari pelbagai negara agar hubungan antara mereka dapat dieratkan lagi.

Majlis peluncuran RAIPO 2023 dan antologi puisi Suara Kemanusiaan turut dihadiri mantan Menteri Besar Perak merangkap Rakan Festival, Tan Sri Dato’ Seri Diraja Ramli Ngah Talib; Ketua Pemasaran, Jualan dan Penyewaan Encorp Berhad, Encik Hairizal Horman; dan Ahli Jawatankuasa RAIPO 2023, Puan Nor Hafizah Nasarudin.

Antara penyair yang tampil mendeklamasikan sajak masing-masing pada hari pertama RAIPO 2023 ialah SN Datuk A. Samad Said, Datuk Zurinah, Aminur Rahman, Ahmad Al-Shahawy, Ana M. Galan, dan Francisco Munoz Soler.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.