9 Julai 2023, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Sebuah acara Readings@Santai Seniman bertempat di RA Arts Haven, The Strand Mall, Kota Damansara, telah dikunjungi puluhan pengunjung dari serata pelosok negeri, memenuhi ruang kecil puisi untuk menyaksikan bacaan puisi, prosa dan nyanyian lagu para penyair serta pejuang seni tempatan.

Acara yang berlangsung di RA Arts Haven – sebuah toko buku dan hasil seni milik Raja Ahmad Aminullah, seorang penyair, penulis, budayawan, dan aktivitis sosial ini bermula dari jam 3.00 petang hingga 5.00 petang pada 8 Julai 2023.

Aminullah yang turut menjadi pengemudi acara tersebut sempat berkongsi,

Seni memungkinkan manusia untuk menciptakan perubahan sosial, namun kita sering lupa bahawa seni juga memiliki peranan penting dalam meringankan beban-beban kehidupan.

Penyataan ini dilontarkan oleh beliau sejurus mendengarkan Sophia Shung membacakan petikan daripada buku Art Against Despair yang menghubungkan semua penggiat seni tanpa mengira latar belakang, bias dan genre.

Bacaan cerpen oleh Chuah Guat Eng daripada buku Little Basket, 2017.

Acara ini menampilkan 12 penggiat seni yang menyuarakan karya pilihan mereka, sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris di hadapan khalayak. Antara 12 penggiat seni ini termasuk Sophia Shung dengan bacaan Art Against Despair, cerpen oleh Chuah Guat Eng, Little Basket, Victor Pogadaev, Syahira Zakaria yang ditemani alunan gitar oleh Megat, Wan Ahmad Tajuddin, dan Sharifah Zakaria.

Acara ini turut menyelitkan slot nyanyian dan muzik yang diisi oleh Mukhres Abdullah, Intan Azira, seniwati dan penyair tempatan, Shafa’atussara Silahuddin, serta Pot Amir Innuendo daripada Alkaline Radiostar.

Menambah seri ruang sastera pada petang itu, kehadiran Sasterawan Negara dan figura penting seni dan sastera tanah air, seperti Muhammad Haji Salleh, Kamarul Ariffin dan Anwar Ridhwan, turut memeriahkan majlis dengan bacaan puisi mereka sendiri.

Sasterawan Negara Anwar Ridhwan turut hadir dengan bacaan puisi hasil nukilan beliau sendiri.

Perkongsian yang vokal dalam mengangkat seni puisi, prosa dan muzik yang menggugah di RA Arts Haven, petang semalam, telah mewujudkan sebuah ruang aktif yang melibatkan para karyawan dan khalayak untuk turut sama berbincang dan mengangkat seni sastera ke peringkat yang lebih luas dan berbeza.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.