Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Antara lagu puisi yang popular di negara kita termasuklah Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang, diangkat daripada sajak karya Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Doa (Chairil Anwar) – kedua-duanya dendangan kumpulan Harmoni; Kepadamu Kekasih (sajak Eunos Asah) – kumpulan Kembara; serta Masihkah Kau Ingat (Sani Sudin), Tetamu Senja (SN Datuk A. Samad Said), dan Permata (untuk Isteri) (Allahyarham J. M/ Aziz) – ketiga-tiganya nyanyian Kopratasa.
Walau bagaimanapun, Penantian yang diangkat daripada sajak karya Allahyarham Zubir Ali, dendangan Harmoni sangat popular dan menjadi fenomena pada tahun 1981. Lagu ini yang melodinya ciptaan Zubir sendiri mencatat rekod bagi lagu puisi apabila menjuarai carta Lagu Pujaan Minggu Ini di Radio Malaysia selama 13 minggu berturut-turut (rekod serupa untuk lagu pop yang dipegang oleh Rindu Bayangan nyanyian Carefree pada tahun 1979).
Penantian sangat diminati kerana melodi yang mendalam dan lirik puitisnya yang menyentuh hati, berkisar tentang perasaan rindu dan penantian yang penuh harapan.
Selepas 44 tahun, Penantian muncul semula dengan susunan muzik yang lebih segar dan kontemporari oleh Dr. Azmeer, penyanyi/komposer/penerbit veteran, nyanyian Lah Ahmad, penyanyi/komposer/penulis lirik yang mencipta nama menerusi kumpulan Voice of Euphononious (V.E) pada tahun 1999, dan terkenal dengan genre R&B dan pop.
Selain menyanyi untuk V.E., Lah juga menyertai kumpulan Al-Maulid yang memfokuskan kepada lagu-lagu nasyid. Beliau memulakan kerjaya solo sekitar tahun 2014 dengan album pertama berkonsepkan unsur kerohanian berirama R&B dan soul. Sehingga kini, beliau telah menerbitkan empat buah album solonya.
Hak cipta melodi dan lirik lagu ini milik Warner Chappell (M) Sdn. Bhd., terbitan World Business Affairs Sdn. Bhd. (World Business), dan diedarkan oleh Luncai Emas Sdn. Bhd (Luncai Emas).
Penerbit Eksekutifnya ialah Academeus Solution. Azmeer bertindak sebagai penerbit, penyusun muzik dan pengatur program lagu yang dirakamkan di Bengkel Audio Werk ini, dengan adunan dan mastering dilakukan oleh Amir Syawal. Pengedaran digital di bawah kendalian Keon Omar dan Nabila Zain; Jennifah Johari, Siti Hajar, dan Sabarina Rahman sebagai pengurus hak cipta, sementara Afrizal mengurus produksi. Kesemuanya daripada Luncai Emas.
Azmeer berharap yang Penantian versi baharu ini dapat diterima oleh generasi muda, dan juga radio serta televisyen. Sementelah, lagu puisi ini merupakan salah sebuah lagu yang termasuk dalam projek 100 Lagu 100 tahun, iaitu penerbitan semula 100 buah lagu pilihan terbaik sepanjang 100 tahun industri muzik tanah air.

Projek ini merangkumi audio, visual serta sebuah buku meja kopi yang bertujuan untuk mengumpulkan dan memastikan salah satu khazanah seni penting negara kita, iaitu lagu Melayu terbaik (indah melodinya) dan pernah memberikan kesan besar dalam sejarah muzik Melayu tanah air dalam tempoh seabad yang lalu, dapat dipersembahkan kembali untuk tatapan generasi muda hari ini.
Idea 100 Lagu 100 Tahun diilhamkan oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Seri Dr. Mohamad Mustafa Ishak, Pengerusi Eksekutif, World Business bersama-sama Azmeer, ketika Dato’ Seri Mohamad ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia dari tahun 2016 hingga 2017.
Walaupun tertangguh kerana beberapa faktor, kini berjaya direalisasikan apabila mendapat sokongan Kementerian Komunikasi Digital dan Multimedia ketika itu menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) pada tahun 2021.
Majlis Peluncuran 100 Lagu 100 Tahun telah berlangsung pada 26 Februari lalu yang turut dihadiri oleh YBrs. Encik Yazman Yahya, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Kandungan, Kementerian Komunikasi; YBhg. Dato’ M. Nasir, Pengarah Urusan Luncai Emas; Keon; Mohamad, dan Azmeer.
Penantian menjadi lagu tunggal kedua dalam projek ini yang diluncurkan dua hari kemudian, selepas Nuri Terbang Malam, nyanyian M. Nasir pada 3 Januari lalu.