Oleh Nor Azzah Momin
4 September 2023, 17:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban  Bersempena dengan sambutan Hari Puisi Kebangsaan (HPK) Peringkat Negeri Sembilan 2023, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) telah menganjurkan Bengkel Penghayatan Puisi Rakyat dan Lagu Rakyat pada 31 Ogos  di I-NARAZ Space, Seremban 2, Negeri Sembilan.

Menurut Pengerusi Teknikal program, Juarina Hassan, bengkel ini diadakan bertujuan untuk mengajak peserta menghayati falsafah puisi warisan dan lagu rakyat selain memberikan bimbingan kepada peserta sehingga boleh bersyair, bergurindam, berpantun dan menyanyikan lagu rakyat Negeri Sembilan.

Puan Juarina Hassan sedang menyatakan matlamat program.

Bengkel selama tiga jam ini telah dibimbing oleh Nisah Haron (Ketua Satu PEN) mengupas tajuk “Puisi Warisan”, manakala Pak Lang Anjung atau nama sebenarnya Ahmad Murtadza Abd Mutalib (Ahli Jawatankuasa PEN) membimbing peserta menghayati “Lagu Rakyat Negeri Sembilan”.

Puan Nisah Haron (Ketua Satu PEN) sedang menyatakan tentang puisi warisan.

Melalui bengkel ini, para peserta yang terdiri daripada para remaja serta dewasa, telah diberikan pendedahan berkenaan perbezaan antara puisi tradisional dengan puisi moden. Peserta juga dapat mengenali jenis puisi tradisional dan puisi moden serta diberikan contoh, bentuk, dan format penulisan selain turut diperdengarkan dendangan beberapa jenis puisi tradisional seperti dendangan syair dan nazam.

Selain itu, peserta turut diberikan perincian jenis pantun yang pelbagai serta diajak untuk menghayati pembayang serta maksud beberapa rangkap pantun warisan yang terkenal dalam kalangan masyarakat.

Nisah Haron turut menekankan keharmonian pembayang dengan maksud pantun dan  tidak mencipta pembayang pantun yang cacamarba serta semata-mata mahu menyamakan rima hujung atau rima tengahnya.

Dalam sesi bimbingan “Lagu Rakyat” bersama-sama Pak Lang Anjung pula, para peserta telah diperdengarkan dengan beberapa buah lagu rakyat Negeri Sembilan, iaitu Anak Bocek, Bongai Si Cantik Manih dan Bongai Dodoi Anak. Beliau juga turut menjelaskan secara keseluruhan maksud di balik seni kata lagu rakyat.

Pak Lang Anjung sedang mendendangkan lagu rakyat Negeri Sembilan.

Pendedahan ini telah menyedarkan para peserta bahawa lagu-lagu rakyat meskipun disampaikan secara santai, namun mengandungi maksud yang mendalam, terutamanya bagi menyampaikan maksud untuk mendidik pendengar sasaran, hatta kepada anak yang sedang didodoikan di buaian.

Program bengkel ini diakhiri dengan sesi dialog antara para peserta dengan kedua-dua pembimbing. Bengkel ini telah mendapat reaksi balas yang positif dan membuka ruang untuk sesi perkongsian ilmu yang selanjutnya berkaitan dengan sastera Melayu.

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.