29 Ogos 2023, 12:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kajang – Menulis puisi bukanlah mudah. Beberapa aspek perlu dipatuhi walaupun ada yang berkata puisi boleh ditulis oleh sesiapa sahaja. Puisi harus indah, mengandungi makna dan mempunyai nilai estetika.

Hal ini menjadi inti pengisian oleh Encik Hairul Anuar Harun, nama yang tidak asing lagi dalam penulisan lirik lagu tempatan terkenal seperti Cindai, Ya Maulai, Hati Kama dan Samrah Mentari.

Beliau menerangkan tentang puisi puitis, lagu puisi dan inspirasi dalam sesi program “Antara Lagu Puisi, Inspirasi Puisi dan Puitis” di acara PuiSHE di Hatiku pada 20 Ogos lalu di Kafe Kebun Puisi, Kajang, Selangor.

Encik Hairul Anuar Harun ketika membicarakan tentang lagu puitis dalam program “PuiSHE di Hatiku” di Kafe Kebun Puisi, Kajang.

Menerusi penerangannya, beliau memberikan beberapa definisi puisi. Antaranya,

  • Puisi adalah karya sastera dengan bahasa yang dipadatkan, dipersingkat, dan diberi irama dengan bunyi yang padu dan pemilihan kata-kata kias (imajinatif) -Sumardi.
  • Puisi ialah ungkapan fikiran yang bersifat muzikal – Thomas Carlyle.
  • Puisi ialah ekspresi bahasa yang kaya dan penuh daya pikat – James Reeves.
  • Puisi adalah bentuk pengucapan gagasan yang bersifat emosional dengan mempertimbangkan keindahan – Herbert Spencer.
  • Puisi ialah kata-kata terbaik dalam susunan terbaik – SN Rahman Shaari.

Selain itu, beliau turut menjelaskan perbezaan antara puisi puitis dengan lagu puisi. Menurutnya, puisi yang diangkat sebagai lirik tidak wajar berubah satu patah perkataan sekalipun, namun ia boleh diulang.

Lirik yang diinspirasikan atau diadaptasikan daripada puisi pula disebut sebagai lagu inspirasi puisi. Beliau menegaskan bahawa nilai puitis dalam lirik lagu harus diraikan dan diangkat sebagai sebuah karya sastera. Beliau menggelarnya sebagai lirik adapsi atau adaptasi puisi. Menurutnya lagi, menulis lirik lagu seperti silang kata dan perlu susun kata-kata mengikut melodi.

Beliau memberikan contoh karya drama pentas Usman Awang berjudul “Uda dan Dara” yang diolah daripada puisi “Gadis di Kuburan”. Drama pentas tersebut dijadikan lagu “Uda dan Dara” nyanyian P. Ramlee dan Saloma pada tahun 1972.

 Sajak Uda dan Dara

Uda dan Dara
Bertemu wajah rasa
Burung-burung menyanyikannya
Gunung-gunung sungai sawah padi melindungi
Melindungi kasih sayang agung dan murni.

Uda dan Dara
Bersumpah keramat cinta
Kering lautan runtuh langit
Terbelah gunung gugur matahari
Berdua bersama berdua sehidup semati.

Uda dan Dara
Bersanding tak berpelamin
Berijabkabul malam bening
Pohon-pohon mewali laut malam saksi
Malam bersatu kiamatlah alam dua hati.

Lirik Lagu Uda dan Dara

Bersumpah keramat cinta
Wajah seri terukir
Berbiduk hilir kasih

Uda dan dara
Bersanding tak berpelamin
Tempat yang berwali
Di laut malam saksi

Daraku nantikan abang
Emas ringgit membakar kita
Uda hamba tunggu angin lalu

Uda dan dara
Bersanding di pusara
Nisan yang bersabda
Keramat kisah cinta

Beliau turut mengemukakan contoh lagu inspirasi puisi lain seperti “Pohon Cemara” karya A. Latiff Mohidin (1966). Selanjutnya, contoh lagu puisi lain turut dinyatakannya seperti “Katakan Padaku” yang dinyanyikan oleh Ahmad Ramli (diambil daripada sajak A. Latiff Mohidin). Contoh lain ialah lagu bertajuk “Tuhan” yang dinyanyikan daripada puisi Taufiq Ismail.

Hal ini berbeza pula dengan lagu inspirasi atau adaptasi puisi yang liriknya tidak “bulat-bulat” daripada sajak berkenaan tetapi diambil atau diadaptasi daripada sajak. Contohnya, lagu “Gadis dan Bunga” yang dipopularkan oleh Rahimah Rahim. Liriknya ditulis oleh Johari Salleh. Lirik lagu tersebut pula diolah daripada sajak T. Alias Talib bertajuk “Penjual Bunga”.

Sajak Penjual Bunga (1974)

Gadis desa
Berlenggang ke kota
Di tangan kirinya seraga bunga
Di tangan kanannya seraga cinta
            Orang kota selalu membeli
                        Mula-mula bunganya
                                    Dan kemudian
                                                Cintanya.

Gadis desa
Pulang ke desa
Di mata kirinya, setetes peristiwa
Di mata kanannya, setetes rahsia
            Orang desa selalu bertanya
                        Siapa membeli bunganya
                                    Dan memetik
Cintanya.

 

Lirik lagu Gadis dan Bunga

Berlenggang dia berjalan
Si gadis desa yang manja
Jelingan yang manja

Menuju dia ke kota
Di tangannya penuh bunga
Di hati penuh cinta

Berbagai macam bunga dibawa
Untuk dijual di gerai mama

Matanya lirik-lirik selalu
Rupanya manis-manis ayu
Matanya lirik-lirik selalu
Rupanya manis-manis ayu

Ramai orang membelinya
Bunga-bunga jualannya
Si Ayu, gadis ayu

Selain itu, menurutnya lirik lagu puitis pula lebih puitis dan mempunyai ciri seperti puisi. Lirik puitis menyelitkan unsur metafora, simile dan personifikasi. Ciri-ciri puisi ini menjadikan lirik lagu lebih puitis dan memikat hati pendengar. Antara contohnya ialah  lagu “Membunuh Benci” (lirik oleh Hairul sendiri), lagu “Mabuk Tujuh Lautan” (lirik oleh Loloq), lagu “Ruang Rindu” (lirik oleh Neo) dan lagu “Sound of Silence” (lirik oleh Simon dan Garfunkel).

Beliau juga menyatakan bahawa beliau mengagumi karya Zubir Ali, Ibrahim Bachik, Kopratasa, Ahmad Ramli, Zulfiqar, Raushan Fikir (Singapura) dan Ebiet G. Ade (Indonesia). Beliau juga berharap pihak yang berkenaan dapat menaikkan semula kesenian lagu puisi supaya lebih bervariasi dan kreatif.

Selain itu, beliau juga berharap agar penulis lirik sekarang dapat mengadaptasi puisi-puisi yang ada dan penghargaan seharusnya diberikan kepada penulis puisi berkenaan. Penulisan lirik lagu puisi atau adapsi ini perlu diberi sokongan dan perhatian daripada peringkat sekolah lagi supaya seni ini tidak pudar dan luput ditelan zaman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.