11 Januari 2024, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Raja Yusoff Ariffin membariskan beberapa lagu puisi yang indah dari segi penampilan dan kedalaman maksudnya, menangani kekontangan lagu era kini yang tidak bermaya lirik-liriknya.

Hal ini boleh dikira sebagai antara kaedah memasyarakatkan puisi, atau membawanya ke masyarakat, lebih-lebih lagi diminati. ‘Tetamu Senja’ Kopratasa merupakan antara contoh terbaik kejayaan memasyarakatkan puisi.

Mungkin bagi bukan peminatnya, lagu puisi tidak penting dibincangkan, apatah lagi kalau berkali-kali dan berterusan. Walau bagaimanapun, bagi peminat muzik yang cakna dengan tema atau mesej lagu, hal ini sentiasa sesuai dan penting.

Peminat, pengikut dan pemerhati lagu tanah air sering merungut dengan mutu lagu sejak kira-kira sedekad ini. Kata mereka, lagu zaman sekarang “kering” dan tidak “berjiwa”, terutamanya dalam aspek lirik.

Sungguhpun perhatian dan minat tidak boleh dipaksa, tetapi para “pengkritik” boleh dicadangkan atau dinasihatkan melihat lagu puisi. Mereka juga wajar difahamkan bahawa lagu puisi dengan lagu berlirik puitis tidak sama.

Lagu puisi ialah karya yang dihasilkan daripada gabungan melodi dan sajak. Dalam kata lain, lagu puisi ialah karya muzik (audio) yang mengangkat sajak sebagai liriknya. Sudah tentu, sajak (lirik) yang wujud terlebih dahulu.

Lagu berlirik puitis juga ialah hasil gabungan melodi dan lirik. Meskipun mungkin salah satu daripadanya dihasilkan terlebih dahulu, tetapi lirik berkenaan bukan sajak.

Dalam hal tema atau mesej, memang tidak semua sajak dan lirik yang dihasilkan bermutu tinggi. Cuma, yang penting di sini ialah kita pasti mencari sajak, atau lirik berwibawa.

Sehingga kini, saya melihat lagu puisi daripada kumpulan Harmoni dan Kopratasa memang hebat. Persoalan yang ditampilkannya memang baik dan mampu (sentiasa) menggugah pemikiran.

Sebagai contoh, lagu Penantian daripada sajak karya Allahyarham Zubir Ali, Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang (Sasterawan Negara Zurinah Hassan), Sebuah Bas Berwarna Biru dan Siapakah Memberi Khabar (Latiff Mohidin), serta Tanah Air (Sasterawan Negara Usman Awang) dendangan Harmoni.

Begitu pun, janganlah mereka yang menolak lirik lagu sekarang berasa bingung pula. Bukankah mereka yang mengatakan lirik lagu mutakhir “kosong” tidak bermakna? Justeru, bersedialah menikmati dan memahami lagu puisi.

Bagi yang menganggap perbincangan ini tidak penting, akuilah bahawa disebabkan oleh Kopratasa mengangkatnya sebagai lagu puisi dengan judul Tetamu Senja (dalam album Keringat dalam Pasrah, 1987), sajak “Kita Ini Tetamu Senja” karya Sasterawan Negara A. Samad Said pada tahun 1958 diketahui, malah oleh para ibu di dapur!

Hal ini boleh dikira sebagai antara kaedah memasyarakatkan puisi, atau membawanya ke masyarakat, lebih-lebih lagi diminati. Tetamu Senja Kopratasa merupakan antara contoh terbaik kejayaan memasyarakatkan puisi, selepas Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang!

Lagu Balada Anak Desa dan Nyanyian Pantai Timur (kedua-duanya karya Zubir) dendangan Harmoni juga popular dan sangat bermakna selain bermanfaat.

Balada Seorang Gadis Kecil ciptaan dan dendangan Zubir sebagai solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin memenangi kategori Lagu Terbaik Pesta Lagu Malaysia pada tahun 1983, malah sudah dianggap sebagai lagu yang malar segar.

Sungguh malang kerana Harmoni kini tinggal nama. Sumbangan baktinya hanya dengan dua album kerana tidak lagi aktif, terutamanya selepas pemergian Zubir pada 6 Mac 2009.

Sewaktu Harmoni dan Kopratasa diminati, turut muncul Ahmad Ramli yang dikenali dengan lagu Katakan Padaku (daripada sajak Latiff Mohidin, melalui kumpulan puisi Pesisir Waktu [DBP, 1981]) dan Menambat Rakit (daripada sajak A. Samad Said, 1985).

Sekali lagi, malang – Ahmad sudah kurang aktif menghasilkan album lagu puisi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun begitu, lagu-lagu beliau yang lain masih boleh ditelaah.

Pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38 yang akan berlangsung awal tahun 2024 juga menjadi antara sebab saya menulis artikel ini. Kopratasa pernah menyertai Muzik-Muzik pada tahun 1987 menerusi lagu Masihkah Kau Ingat (Sani Sudin/Keringat dalam Pasrah), Permata (Aziz HM/Kunci/1987) pada tahun 1988, dan Dondang Mustika (Siso/Antologi/1999) pada tahun 1999.

Ada trivia mengenai lagu Permata. Ketika bertanding dalam Muzik-Muzik 1988, lagu ini langsung tidak dipandang. Seingat saya, lagu ini hanya sampai setakat pencalonan lagu baharu.

Walau bagaimanapun, lagu ini amat diminati, terutamanya oleh golongan suami isteri setelah dirakamkan semula juga oleh Kopratasa dalam album Sesetia Malam (1997), nyanyian penyanyi yang sama, iaitu Usop, dengan tambahan perkataan “Untuk Isteriku dalam kurungan pada judulnya.

Mengapa Permata versi tahun 1997 memikat hati pendengar, berbanding dengan versi 1988? Iramanya tidak berubah. Mungkin rakaman semula secara akustik yang lebih merdu, berjaya membuatkan Permata mencapai tahap fenomena.

Saya kurang pasti sama ada Ahmad Ramli pernah menyertai Muzik-Muzik atau tidak. Seingat saya juga, Harmoni juga tidak sempat. Namun demikian, Dondang Mustika berjaya mencatat sejarah sebagai lagu puisi pertama yang layak ke pertandingan AJL, iaitu AJL ke-14 pada tahun 1999.

Kemudian, seingat saya, tiada lagi lagu puisi yang menyertai Muzik-Muzik, apatah lagi AJL. Kopratasa yang masih bertahan selepas album terakhir setakat ini, Mathnawi – Rumi (2016, yang tidak mendapat liputan sewajarnya) juga tidak menyertai Muzik-Muzik.

Bagaimanakah cara menggalakkan lebih ramai karyawan menjadi penyanyi lagu puisi sungguhpun kini semuanya setakat muncul dengan lagu tunggal?

Sebagaimana yang disebutkan, minat tidak boleh dipaksa. Tambahan pula, pendengar lagu pada hakikatnya, lebih tertarik atau terpengaruh dengan melodi dan berkemungkinan kurang menghiraukan lirik lagu tersebut.

Di samping promosi yang kuat dan berkesan, irama lagu puisi juga perlu menambat hati ramai pendengar walaupun hal itu bukanlah syarat wajib bagi Muzik-Muzik atau AJL yang dikatakan lebih mementingkan mutu – tidak terpengaruh dengan populariti.

Tolong Ingatkan Aku, ciptaan sepenuhnya dan nyanyian Ana Raffali antara contoh lagu kurang popular, yang menjadi juara AJL ke-25 (2010).

Sejarah lagu puisi di Malaysia dimulakan oleh Allahyarham Ibrahim Bachik (meninggal dunia pada 8 Mac 2012) dengan lagu Berkolek Bersajak (1972) yang diangkat daripada sajak dengan judul sama karya Allahyarham JM Aziz. Kopratasa turut merakamkannya dalam album Mulia (2003).

Namun demikian, ada yang mengatakan Ibrahim mempelopori lagu puisi di Malaysia apabila mencipta melodi untuk sajak Kenangan di Rantau Abang karya Rosli Yusof, dinyanyikan oleh Allahyarham Datin Rafeah Buang (album Aku dan Perasaan, 1972).

Ibrahim turut mengangkat sajak karya mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berjudul Ku Cari Damai Abadi pada tahun 2004. Tun Abdullah menyampaikan sajak itu dalam sebuah majlis pada 5 September tahun tersebut.

Sementara itu, usah lupa, disebabkan oleh irama ciptaan Ibrahim juga sajak Kekasih karya Usman Awang (nyanyian Kopratasa dan Ibrahim sendiri) diketahui oleh masyarakat. Mungkinkah ada antara bait-bait sajak tersebut memberikan ilham kepada komposer Saari Amri menghasilkan sebahagian lirik lagu terkenal kumpulan Exists, Mengintai dari Tirai Kamar?

Oleh sebab lebih dikenali dan diingati sebagai penyanyi pop balada dan kerakyatan, ramai tidak menyedari bahawa Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad juga pernah mencipta lagu puisi daripada sajak HM Aziz, iaitu Kesian Dia (dalam album Orang Kampung, 1986) dan Penyu Menangis (Siapa Tahu dan Kul it!, 1986).

Kumpulan rock legenda BumiPutra Rockers juga pernah merakamkan sebuah lagu puisi yang diminati ramai, iaitu Aku Hanya Serangga (album Bisa, 1988). Melodinya dicipta oleh pelakon handalan yang sesekali menyanyi dan mendeklamasi, Wan Hanafi Su, daripada sajak berjudul serupa karya Noryati Salleh (salah seorang peserta Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka).

Penyanyi sinonim balada dan rock yang turut mencipta/menyanyi lagu puisi memang menarik, dan amat dialu-alukan. Walau bagaimanapun, bak kata orang, “satu dalam sejuta” – payah menemuinya. Apatah lagi Sudirman telah pergi buat selamanya pada 22 Februari 1992. BumiPutra Rockers juga telah lama menyepi.

Kenapa lagu puisi kini tenggelam meskipun Kopratasa masih aktif? Sudah lama sebelum ini ada yang berpendapat hal itu berpunca daripada hakikat Kopratasa tiada pesaing, “pewaris” atau penerus. Benarkah begitu?

Selain kerana kebanyakan irama lagu puisi tidak merdu, hal ini juga disebabkan oleh pulangan atau ganjaran yang tidak besar jika berkarya dalam lagu puisi.

Justeru, bagaimanakah cara menggalakkan lebih ramai karyawan menjadi penyanyi lagu puisi sungguhpun kini semuanya setakat muncul dengan lagu tunggal (single)? Mungkin hal ini boleh dibincangkan oleh penulis lain dalam reaksi mereka.

Pertandingan mencipta lagu puisi yang ada jangan dihentikan. Teruskan, dan jika boleh, berikan jumlah hadiah yang lebih besar sebagai ganjaran untuk menarik minat.

Kredit Foto: Nashad ND/Unsplash

______________________________

Raja Yusoff Ariffin merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), mantan rakan Tajulmedia Melayu dan mantan ahli Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Raja Yusoff pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.