27 Jun 2023, 18:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – “Menulis puisi untuk dijadikan sebagai lagu amat susah sekali. Kemahiran tersebut memerlukan keyakinan dan juga bakat. Tanpa minat dan bakat, puisi yang dihasilkan untuk dijadikan sebagai lagu puisi tidak akan dapat ditulis dengan baik dan sempurna”.

Pandangan tersebut dikemukakan oleh Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Negeri Sembilan (USIM), Ismail Ahmad atau lebih dikenali sebagai Adiwangsa Sukma dalam “Bengkel Tulis Lagu Puisi” yang diadakan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah.

Menurutnya lagi, bakat adalah kebolehan semula jadi. Lagu puisi hadir daripada puisi yang dikarang. Penulis perlu mengetahui cara dan kaedah untuk menulis sebuah puisi yang dapat dijadikan akhirnya sebagai lagu puisi.

Adiwangsa Sukma sedang menceritakan tentang kaedah menulis lagu puisi.

Baginya lagi, setiap penulis yang ingin menulis lagu puisi perlu membaca buku yang mengandungi lagu-lagu puisi kerana dengan pembacaan tersebut seseorang penulis akan dapat menulis lagu puisi dengan baik.

Para peserta bengkel merakamkan gambar kenang-kenangan.

Selain itu, beliau juga turut mengakui bahawa Kumpulan Kopratasa patut dijadikan sebagai rujukan dalam mempersembahkan lagu-lagu puisi. Beliau yang juga turut mengenali kumpulan tersebut secara dekat mengujar,

Saya begitu rapat dengan kumpulan Kopratasa yang dipimpin oleh Siso. Lagu-lagu puisi yang dinyanyikan oleh mereka amat merdu dan indah sekali. Dampingilah dan dekatilah mana-mana penulis yang sudah mahir dengan penghasilan lagu puisi kerana mereka arif dengan kemahiran tersebut.

Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa keterlibatan dalam bengkel menulis lagu puisi dapat membantu seseorang penulis untuk menghasilkan lagu-lagu puisi dengan lebih sempurna lagi.

Program yang dianjurkan oleh Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dengan kerjasama USIM tersebut disertai oleh seramai 36 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli ASASI.

Program ini diadakan bertujuan untuk mengasah bakat ahli ASASI dalam mencipta lagu-lagu puisi yang bermutu dan secara tidak langsung mampu melahirkan ramai penulis berbakat besar dalam bidang penulisan lagu puisi.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Satu ASASI, Abu Hassan Morad dan Ketua Dua ASASI, Husairi Hussin atau lebih dikenali sebagai Putraery Ussin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.