Oleh Karmila Azmi
26 Februari 2024, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban – Pemahaman mengenai ilmu hak cipta tidak terhad kepada penulis sahaja tetapi juga perlu diketahui oleh penerbit bagi memastikan hak penulis juga terjaga.

Hal ini ditegaskan oleh Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Puan Nisah Haron yang menyebut ada penerbit yang bertindak “menyusahkan” usaha penulis untuk menerbitkan kumpulan cerpen peribadi meskipun dari segi akta hak cipta, hubungan karya itu dengan penerbit pertama sudah selesai.

Kata Nisah, ada kala seorang penulis menerbitkan karya ecerannya di majalah atau akhbar yang tidak mempunyai tempoh hak cipta, sama seperti sebuah buku.

“Hak cipta untuk sebuah karya eceran yang terbit di akhbar mingguan ialah seminggu, manakala untuk majalah ialah sebulan.

“Apabila dihimpunkan dalam kumpulan cerpen, letak kredit di mana ia pertama kali diterbitkan sahaja.

“Saya pernah diberi menilai sebuah manuskrip kumpulan cerpen tetapi penerbit dengan sengaja mahu membuang tahun pertama kali diterbitkan. Hal ini tidak betul dari segi etika penerbitannya kerana tindakan begitu boleh mengelirukan pembaca,” katanya dalam Forum Industri 3.0, Penjanaan Karya, Lesen Penerbitan dan Hak Cipta sempena Mesyuarat Agung Tahunan PEN kali ke-47 di sini, kelmarin.

Selain Nisah, forum itu turut disertai oleh Naib Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Tuan Haji Hamzah Hamdani dan dimudahcarakan oleh konsultan penerbitan, Puan Nor Azah Abd. Aziz.

Pandangan Nisah turut disokong oleh Hamzah yang menyebut ada sesetengah penerbitan juga tidak memberitahu dengan jelas tarikh tamat tempoh sesebuah perjanjian penerbitan.

“Perjanjian penerbitan ini untuk penerbitan buku, tidak ada perjanjian penerbitan dibuat untuk siaran cerpen di majalah atau akhbar.

“Kalau untuk buku, ada penerbit akan beri tarikh tamat misalnya tiga tahun, tapi ada penerbit yang langsung tidak menyebutnya, sebaliknya penulis perlu buat permohonan untuk menarik balik hak penerbitan,” katanya.

Tegasnya, apabila sesebuah karya itu tamat tempoh, karya itu boleh diterbitkan semula dengan syarat misalnya, tidak boleh menggunakan susunan reka letak yang sama atau fon yang sama.

Hamzah menegaskan bahawa penulis perlu tahu haknya bagi memastikan mereka tidak ditindas oleh penerbit.

“Kami di GAPENA pernah membantu seorang penulis yang datang mengadu dia tidak dibayar walaupun karyanya dipilih untuk KOMSAS.

“Hal itu sudah menyalahi akta hak cipta dan kami membantunya, tapi tidak semua penulis mahu mengikut saluran undang-undang kerana kosnya mahal berbanding royalti yang diterima oleh penulis,” katanya.

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.