4 April 2024, 10:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berhasrat untuk mengadakan Kolokium Pantun Peringkat Kebangsaan pada bulan Julai tahun ini di Melaka, Bandar Raya Bersejarah.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyampaikan hasrat ini kepada Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sewaktu kunjungan hormat DBP ke Pejabat Ketua Menteri Melaka, semalam.

Dr. Hazami menyatakan bahawa pelaksanaan kolokium ini merupakan salah satu usaha DBP untuk menyemarakkan pelestarian pantun sebagai khazanah persuratan Melayu.

“Seramai 15 orang panel pembentang akan diundang dan mereka ini terdiri daripada kalangan ahli ilmuwan dan aktivis budaya, terutamanya yang bergiat aktif dalam usaha memartabatkan pantun.

“Oleh itu, untuk merealisasikan program ini, DBP melalui Bahagian Penyelidikan Sastera DBP akan bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) Negeri Melaka,” tambah beliau.

Dalam pertemuan yang berlangsung hampir setengah jam itu, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan program itu.

Selain itu, beliau juga menyatakan hasrat supaya turut dianjurkan program Pantun Nusantara untuk memperkasa lagi pantun, sekali gus melonjakkannya sebagai warisan penting bangsa Melayu.

“Pantun merupakan puisi tradisional masyarakat Melayu yang wujud sejak zaman-berzaman lagi.

“Dengan penganjuran program yang berskala besar meliputi negara-negara jiran, hal ini akan membantu mengembangkan pantun dan meningkatkan nilai pantun kita.”

YBrs. Dr. Hazami Jahari (tiga dari kiri) menyerahkan buku terbitan baharu DBP kepada Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Sebelum itu, Pengarah JKKN Negeri Melaka, Puan Ezlina Alias telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bersama-sama DBP bagi membincangkan gerak kerja dan merancang pelaksanaan program.

Pantun telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai warisan budaya tidak ketara pada 17 Disember 2020, di Paris, Perancis.

Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut termasuk Pengarah DBP Wilayah Selatan Encik Mohd Riduwan Wahab, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP Encik Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP Encik Sharrul Rizal Hashim, Timbalan Pengarah JKKN Negeri Melaka Puan Fiza Farika Mohd Yasin, Penolong Pengarah JKKN Negeri Melaka Puan Norazlina Othman, dan pengurus projek Kolokium Pantun Peringkat Kebangsaan Puan Fathenwan Wan Mohd Nor.

Kredit Foto: Mohamad Adib Zulkifli

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.