Oleh Osman Ayob
14 Disember 2023, 08:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Osman Ayob menampilkan beberapa cerita dalam antologi cerpen Tabung ke Neraka yang berbicara tentang nasib dan perjuangan rakyat Palestin menentang kezaliman.

Terdapat cerpen-cerpen yang memaparkan tindak-tanduk keberanian yang tidak mengenal erti kematian dalam kalangan orang dewasa, kanak-kanak dan pejuang yang berada di bumi Palestin.

Antologi cerpen Tabung ke Neraka yang dihasilkan oleh 15 cerpenis Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) mengandungi 17 buah cerpen secara tuntas menyerlahkan bahawa cerpen yang ditulis bertumang pada idea dan rasa keprihatinan yang tinggi setiap pengkarya terhadap keadaan dan nasib bumi Palestin. Pergolakan yang setiap hari tercetus antara masyarakat Palestin dengan tentera Israel diungkap dan dijalinkan semula dalam bentuk cerpen yang meruntun hati pembaca.

Cerpen-cerpen dalam Tabung ke Neraka boleh dibahagikan kepada dua kumpulan: Pertama ialah cerpen-cerpen yang memaparkan tindak-tanduk keberanian yang tidak mengenal erti kematian dalam kalangan orang dewasa, kanak-kanak dan pejuang yang berada di bumi Palestin. Mereka sanggup berbuat apa-apa sahaja, termasuk membaling batu ke arah tentera Israel yang bertindak ganas dan kejam. Sekalipun mereka ditembak dan disembur dengan gas pemedih mata, mereka tetap bertindak balas dengan gagah berani.

Kumpulan kedua antologi ini pula merupakan cerpen-cerpen yang mengetengahkan hal masyarakat dunia, termasuk rakyat Palestin yang menjadi pelarian di beberapa negara. Juga individu tertentu dan badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak putus-putus mengutip derma untuk disalurkan kepada rakyat Palestin. Di samping itu, ada pula yang sanggup menjejakkan kaki di bumi Palestin untuk turut serta dalam perjuangan menentang Zionis, yang dianggap sudah keterlaluan sehingga mencemarkan kesucian agama Islam.

Cerpen “Sendunya Terus Berlagu” mengangkat pasangan Rasyid dan Sabiha, bekas penuntut Universiti Islam Gaza yang merancang untuk berkahwin di samping mencari pekerjaan untuk membina hidup baharu. Walau bagaimanapun, sebagai anak pejuang Hamas yang terkorban, Rasyid memutuskan untuk menyambung perjuangan bapanya bagi membebaskan bumi Palestin yang dijajah oleh rejim Zionis.

Perarakan sekumpulan kanak-kanak menentang kehadiran askar Israel menaikkan semangat Sabiha. Kebencian terhadap tentera Israel dilukiskan melalui watak Yusof. Kerana membaling batu, Yusof ditangkap, manakala Ebrahim mengamuk dengan pisau pada suatu malam. Hal ini menyebabkan Ebrahim dikejar dan ditembak mati. Tragedi yang menyayat hati itu menyebabkan Sabiha mengamuk dan sempat menikam seorang askar Israel. Dia mencapai senapang daripada askar Israel yang dibunuhnya dan menembak tanpa mempedulikan untung nasibnya.

Kisah ratapan dan kematian yang tidak berkesudahan turut dipaparkan dalam cerpen “Ummi, Maafkan Kami”. Suami Farhah, Rasyd syahid di medan perjuangan. Anak sulung mereka, Nurfah terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel. Anak-anak yang lain, Nisyah, Hatim, Ummair, dan Nasir juga tidak meninggalkan perjuangan walaupun berhijrah ke Turkiye.

Hatim, penyelidik persenjataan tidak senang duduk apabila mendapat tahu Israel menceroboh Gaza. Farhah dengan rela hati merestui Hatim dan Nisyah pulang melalui pintu Rafah. Dia bangga, dua orang anaknya sanggup pulang dan bergabung dengan pejuang-pejuang lain yang gagah berani untuk menentang tentera Israel yang ganas dan tidak berperi kemanusiaan.

Cerpen-cerpen yang mengetengahkan tema dan persoalan tentang rasa simpati individu dan masyarakat dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin diungkap melalui cerpen “Warkah dari Bumi Ribat”.

Seorang sahabat daripada Palestin menulis surat kepada sahabatnya, seorang warganegara Malaysia. Sahabat itu kagum dengan suasana di Malaysia yang aman damai. Dia berharap situasi ini dijaga dan dipelihara. Jangan jadi seperti di Palestin, yang rumah-rumah diruntuhkan, ladang dimusnahkan dan penempatan baharu Yahudi dibina di atas tanah milik orang Arab secara berleluasa. Rakan dari Palestin mengakhiri suratnya dengan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus menghulurkan bantuan bagi meringankan beban rakyat Palestin. Rakan tersebut menegaskan akan terus berjuang dan sanggup mati demi membela tanah air tercinta.

Cerpen “Azam Dua Puteri” mengisahkan Cikgu Mariam bergiat aktif bersama NGO mengutip derma dan menyalurkannya kepada Palestin. Kematian suami menjadikan dia bertanggungjawab menjaga dua orang anaknya, Asmida dan Amira. Kedua-dua puterinya ini juga mempunyai komitmen yang kuat dalam usaha menyokong perjuangan rakyat Palestin, malah sanggup ke sana bergadai nyawa bersama pejuang yang lain. Cikgu Mariam merestui kesediaan Asmida dan Amira, asalkan mereka berkahwin dahulu. Kehadiran Kamal dan Kamaludin merealisasikan misi yang dirancang.

Dalam cerpen “Rabah”, Dia gemar mengikuti pergolakan di Palestin melalui akhbar yang dibaca setiap hari. Dia amat teruja dengan kekejaman tentera Israel terhadap penduduk Palestin. Bagaimanapun, Dia berasa sangsi atas sumbangan dan derma untuk Palestin, sama ada disalurkan dengan sempurna atau tidak, Penangan COVID-19, syarikat dia bekerja memutuskan untuk mengurangkan kos operasi, membuatkan Dia berhenti kerja. Dia ke Palestin, menemui rakannya di sana untuk bergerak bersama pejuang menentang tentera Zionis.

Rumusan pada keseluruhan cerpen yang termuat dalam antologi ini terangkum dalam cerpen ‘Pewaris Batu Nisan’.

Berjejak pada wabak COVID-19 juga dan kesan PKP yang membuat manusia terkurung, terbelenggu kegiatan dan membekukan fikiran, diungkapkan dalam cerpen “Tembok”. Cerpen ini mengisahkan pergolakan dalam sebuah keluarga yang bertelagah tentang pembahagian tanah pusaka. Amran mendapati ayahnya murung, tetapi asyik bermain telefon pintar. Amran yang sebelum ini suka berpeleseran, melepak ke sana sini, tetapi PKP memaksanya berkurung di rumah. Dia memerhati tingkah laku bapanya yang aneh. Selain mengemas rumah, Amran mengisi kekosongan waktu dengan melayari internet. Amran tertarik dengan berita Israel membina tembok bagi memisahkan rakyat Palestin. Manakala Pak Long pula membina tembok dalam usaha memisahkan pemilikan tanah sesama keluarga. Amri mengambil inisiatif, meruntuhkan tembok yang dibina dan mencantumkan semula keluarga yang terpisah.

Ketidakprihatinan AJK masjid terhadap dua orang adik-beradik yatim piatu ditonjolkan dalam cerpen “Tabung ke Neraka”. Sama seperti arwah bapa mereka yang aktif dalam kegiatan masjid, termasuk mengutip derma untuk rakyat Palestin, Zul dan Hilmi meneruskan kegiatan menghidupkan Tabung Palestin. Namun begitu, kerana kesempitan hidup, Zul dan Hilmi terpaksa mengambil inisiatif menggunakan bekas makanan peninggalan arwah ibu mereka bagi dijadikan tabung untuk mengutip derma.

Tabung yang ditulis derma Palestin itu mendapat sambutan hangat jemaah. Mereka menggunakan wang kutipan dengan menempah baju-T bercetak bendera Palestin di belakangnya. Larisnya baju tersebut memancing perhatian Ustaz Mutalib yang menegaskan kutipan derma untuk Tabung Palestin hanya berupa wang ringgit. Tindakan dua beradik tersebut salah dan perlu diambil tindakan. Polis terpaksa bertindak dengan menahan Zul dan Hilmi. Jelas di sini bahawa penulis cerpen ini ingin menyampaikan satu mesej tentang tanggungjawab sosial yang diabaikan oleh pihak masjid. Dua beradik itu perlu dijaga kebajikannya, bukan diambil tindakan kerana salah laku inisiatif mereka untuk meneruskan kehidupan.

Isu salah guna wang derma juga diketengahkan dalam cerpen “Nur Putih di Laut Hitam”. Suria Lestina, seorang pramugari memutuskan untuk memenuhi kekosongan hidupnya dengan mendekati masjid. Atas kecantikannya, Mudir Lukman terpikat dan mahu mengambil Suria sebagai isteri kedua. Suria sanggup, bukan sekadar untuk memenuhi impian Mudir yang sudah tujuh tahun berkahwin tetapi tidak mendapat zuriat, tetapi tertarik dengan komitmen Mudir Lukman yang bergiat aktif mengumpul derma untuk Palestin.

Atas kepercayaan pada kealiman Mudir Lukman, tempat dia berpaut untuk kebahagiaan dunia dan akhirat, Suria sanggup menyerahkan wang simpanan, malah menjual rumah dan menyerahkannya kepada bakal suaminya. Mudir Lukman bukan sahaja menyeleweng wang derma untuk membiayai proses IVF isterinya yang memakan kos yang tinggi. Dia gembira isterinya mengandung, tetapi keputusannya amat drastik, membatalkan hasratnya untuk memperisterikan Suria. Suria yang belum tahu-menahu, menganggap penerbangan akhirnya dengan MH370 menuju ke Beijing pada malam 8 Mei 2014 amat bermakna dan bersejarah – sedangkan itulah sejarah hitam yang menamatkan riwayatnya.

Isu kesangsian atas derma yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia turut dipaparkan dalam cerpen “Dari Celah Runtuhan”. Mahboob, dermawan dari Malaysia bersusah payah melintasi Pintu Rafah. Setelah melalui kerenah birokrasi dan mendapat bantuan kedutaan Malaysia di Kaherah, dia berjaya membawa makanan dan ubatan untuk disampaikan dengan tangannya sendiri kepada mangsa yang berhak di Palestin.

Kisah keberanian remaja menentang askar Israel diungkap pula dalam cerpen “Kasturi Nusantara”. Farhan dan Husin dalam usaha menyelamatkan keluarga, mereka berkubu di bawah tanah. Husin cedera dan diselamatkan Pak Hasan yang menjelma bersama 30 orang anggota dan keluar memerangi askar Israel. Masing-masing kagum atas keberanian Pak Hasan yang bersenjatakan parang mengamuk di tengah sekumpulan tentera Israel. Hanya setelah gencatan senjata berkuat kuasa, barulah masing-masing berkesempatan melayari laman sesawang dan mendapati Pak Hasan adalah dari Nusantara – jelmaan Tok Janggut yang gagah berani menentang kehadiran tentera Inggeris di Kelantan pada suatu ketika dahulu.

Rumusan pada keseluruhan cerpen yang termuat dalam antologi ini terangkum dalam cerpen “Pewaris Batu Nisan”. Sebagai seorang yang begitu kuat semangat menyokong perjuangan Palestin, selain mengibarkan bendera Palestin dan Malaysia di pekarangan rumahnya, Cikgu Shaari juga berpegang pada falsafahnya sendiri, iaitu setiap insan yang hidup akan mati, dikuburkan serta ditandai dengan batu nisan. Justeru secara sinis, Cikgu Shaari yang selama ini mengumpul buku-buku mengenai Palestin, sempat mencoretkan amanat sebelum hayatnya berakhir dengan nukilan:

Andai Tuhan tidak menyambung kelerai nyawa, aku ingin kau siapkan coretan batu nisan itu. Tolong abadikan karya-karya agung penulis Palestin dan tempatan di atas batu nisan tersebut. Pahatkan sebagai bukti. Semoga membawa manfaat kepada perjuangan mereka di dunia ini sebagai pewaris batu nisan itu.

Kredit Foto: Dave Herring/Unsplash

_________________________

Osman Ayob sudah menghasilkan lebih 166 cerpen. Beliau juga penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 bagi kumpulan cerpen Bayangan Silam (DBP, 2009). Antara kumpulan cerpennya termasuklah Bayangan Rindu (1981), Musim itu Telah Berlalu (1984), Detik yang Tergugat (1988), Di Pinggir Kesedaran (1993), Melamar Rindu (2001), Perginya Seorang Srikandi (2011), Tembok Masih Tinggi (2014), dan Gila Tak Gila (2017). Selain menulis cerpen, beliau juga menghasilkan lebih 30 buah novel. Novel remajanya, Meniti Impian menjadi teks KOMSAS tingkatan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan bagi tahun 2016–2020.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.