Oleh Aliff Awan
13 September 2023, 21:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Aliff Awan mengulas dua karya daripada penulis baharu Nadhirah Ghani, novel Mr. Coach dan Sayap Malaikat Berdarah di Khan Younis.

Jadi, adakah Nadhirah perlu lebih selesa untuk terus berharap atau dia perlu lebih bersedia untuk bercerita dengan lebih baik?

Sewaktu berborak dengan Jack Malik, kami selalu berpesan kepada satu sama lain yang kami merupakan seorang manusia dulu, baru penulis, performer atau apa-apa yang kemudian. Paling penting, kena cuba jadi manusia dulu.

Menjadi manusia bukanlah merujuk hal lahiriah secara fizikal yang sempurna, tapi rinci perasaan yang penuh simpati dan empati dalam diri, yang kalaulah boleh, ada dalam setiap manusia. Kenapa kalau? Sebab tak semua ingin menjadi manusia yang ada empati dan simpati. Itulah sebab kita sentiasa berharap dan menyebut, “Kalaulah … kalau.”

Ketika membaca karya Nadhirah Ghani, pesanan “kita perlu jadi manusia” ini muncul semula selepas sekian lama hal ini tidak bersandar di telinga. Bermula dengan Mr. Coach (Samudera Publication, 2023), Nadhirah memunculkan watak seorang atlet yang kemudiannya menjadi jurulatih Muay Thai. Dia cuma budak lelaki dengan penuh pengharapan sejak sekolah lagi, yang walaupun ditegah oleh ayah, akhirnya berjaya menjadi seorang atlet yang disegani.

Selepas bersara, tugas sebagai jurulatih ialah bakti budinya yang ingin disambung-sambung, sehinggalah satu hari, dia ditemukan dengan seorang pelajar perempuan yang menghadapi masalah keganasan daripada ayah kandungnya sendiri. Dengan penuh tanggungjawab, Mr. Coach cuba membantu, dan akhirnya, gadis itu keluar daripada kesempitan masalahnya yang nyaris-nyaris memutuskan nyawanya.

Dengan gaya penceritaan yang linear, serba lewah dan dialog-dialog yang janggal dalam novel ini, Nadhirah memunculkan dirinya yang sentiasa berharap akan ada orang yang baik-baik, atau lelaki baik-baik, yang tidak mengambil kesempatan terhadap masalah yang dihadapi oleh orang lain. Khususnya terhadap seorang individu yang lebih muda, seorang gadis, perempuan, atau wanita. Lebih-lebih lagi, isu seputar ini sering muncul dalam dua tiga tahun kebelakangan ini.

Ya, penulisan Nadhirah, penulis baharu yang sering kita jumpa di acara buku sejak dulu ini serba lewah dan penuh dengan dialog yang janggal. Dialog-dialognya tidak berbual dalam percakapan harian dan tidak sesuai dengan langgam bahasa untuk latar yang dipilih, membuatkan naratifnya menjadi perbualan yang direka-reka. Malah, novel sulungnya ini dibebani dengan perkembangan watak utama yang ingin diceritakan secara hemah sehingga kita termengah-mengah untuk sampai kepada cerita sebenar yang ingin diberitahu; kisah gadis yang dibantu, yang diceritakan secara sekali lalu dalam prolog.

Jikalau hal ini dianggap sebagai sebuah kelemahan, seeloknya untuk tulisan-tulisan yang akan datang, perkara ini yang perlu diambil peduli oleh Nadhirah. Mengapa? Kerana idea-idea yang cuba diketengahkan olehnya kebanyakannya penuh pengharapan. Dan hal ini penting. Terutamanya dalam Sayap Malaikat Berdarah di Khan Younis (Samudera Publication, 2023).

Kumpulan cerpen yang diterbitkan dalam tahun yang sama, pada acara dan waktu yang sama ini, memberikan peluang untuk pembaca memahami serba sedikit tentang kepengarangan penulis ini.

Sayap Malaikat Berdarah di Khan Younis sebenarnya sebuah kumpulan cerpen yang menampilkan 15 cerita. Koleksi cerpen ini digerakkan oleh karakter-karakter yang tidak bernama, kecuali dalam “Sayap Malaikat Berdarah di Khan Younis” dan “Pilihan Buat Si Pemenang Pingat Emas”. Ketiadaan nama untuk watak dalam cerpen-cerpennya tidak mengganggu cerita kerana kebanyakan watak yang dimunculkan oleh Nadhirah tidak mempunyai satu perwatakan yang kukuh, yang menyebabkan kita dapat mengingati wataknya. Pemberatan yang difokuskan oleh penulis ini ialah isu dan perkara yang disampaikan dalam cerita.

Isu dan perkara pokok yang diangkat itu pula, syukurnya, tidak terlalu “berdakwah”. Nadhirah tidak meletakkan petikan-petikan atau dialog-dialog yang berjela-jela, kecuali dalam “Sayap Malaikat Berdarah di Khan Younis”. Cerpen-cerpen lain juga terselamat daripada sikap yang didaktik, yang lazim muncul dibuat oleh penulis baharu. Namun begitu, terdapat suatu kelemahan yang ketara dalam cerpen-cerpen dalam buku ini. Kebanyakannya tidak berkembang dengan baik.

Dalam “Tren Masa” misalnya, selepas menaiki tren, wataknya telah berjumpa dengan dirinya sendiri, berborak-borak tentang penyesalan kerana terlalu sibuk sehingga dia gagal meluangkan banyak masa dengan neneknya. Inilah dasar ceritanya, tapi oleh kerana naratifnya dicampuradukkan dengan imbas kembali yang tidak menjadi, ditambah pula dengan adegan penyesalan yang makin bertambah-tambah dalam diri watak, akhirnya, sepanjang watak berbual dengan dirinya sendiri di dalam tren menjadi satu talian borak-borak yang memenatkan untuk didengari.

Ke manakah?”

“Kamu tahu, kamu belum mencuba untuk melakukannya lagi pun. Berjumpa dengan keluarga kamu semula setelah dibuang keluarga.”

“Ayuh. Tunjukkan jalannya.

Dalam “Lelaki Yang Mengutip Serpihan Hatinya Nan Berserakan” pula, seorang suami pura-pura kecewa dan diseksa sehingga meluahkan perasaannya terhadap sekumpulan orang yang sedang berkerumun. Apabila suami itu dibawa kembali ke pangkuan keluarganya untuk dileraikan kekusutan antara keluarganya, rupa-rupanya dia seorang ayah yang culas dan suami yang gagal sebenarnya. Biarpun “Lelaki Yang Mengutip Serpihan Hatinya Nan Berserakan” mempunyai peluang cerah untuk menjadi menarik, tapi oleh sebab munculnya perbualan yang direka-reka seperti petikan di atas, cerpen ini hilang “rasa”nya.

Beginilah cerita-cerita Nadhirah lazimnya bergerak.

Jika cerita-cerita ini sebuah perjalanan di dalam sebuah kereta, destinasinya telah ada. Hanya tempat singgah, kereta-kereta lain, pokok serta persekitaran di jalanan, malah sesekali monyet yang tergantung di tiang elektrik, tak dipedulikan langsung. Malah, perbualan di dalam kereta tak diiringi oleh cuit tawa, malah perbualannya penuh paksa supaya pemandu tak mengantuk. Tiada siapa yang mendengar, tiada siapa yang bercakap normal. Hal ini menyebabkan perjalanan ini sebuah perjalanan yang tergesa-gesa, kosong dan tak akan diingati.

Jadi, adakah Nadhirah perlu lebih selesa untuk terus berharap atau dia perlu lebih bersedia untuk bercerita dengan lebih baik?

Kredit Foto: Jim Pave/Unsplash

_________________________

Aliff Awan ialah artis persembahan yang selalu di Kuala Lumpur. Dia berehat daripada terlibat dengan apa-apa penglibatan kerana menjadi seorang pemerhati lebih seronok.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.