25 Mei 2023, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok – Dua buku penulis masyarakat Siam, iaitu novel Phensi karya Prasert Eh Chai dan Antologi Cerpen Champa dan Pintu Gerbang (penyunting, E Pian Pro Poul) telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam majlis perasmian Festival Bahasa dan Sastera (FBS) Peringkat Negeri Kelantan 2023, di Kolej Vokasional Bachok, Kelantan.

Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dan DBP Wilayah Utara dengan kerjasama Bahagian Penerbitan Buku Sastera DBP menganjurkan Bicara Buku Penulis Siam Kelantan sempena festival tersebut.

Bicara tersebut menampilkan tiga orang panel yang merupakan pakar dalam bidang kajian dan kritikan sastera, iaitu Dr. Nordiana Ab. Jabar (Pensyarah Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Phat Awang Deng, (Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun & Falsafah (SLOP), Universiti Utara Malaysia) dan Dr. Tuan Rusmawati Raja Hassan (Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan (FBI), UMK).

Dari kiri: Dr. Nordiana Ab. Jabar, Dr. Hj. Abang Patdeli, Dr. Phat Awang Deng, dan Dr. Tuan Rusmawati.

 

Dr. Nordiana berpandangan bahawa buku antologi cerpen tersebut memancarkan sifat kerukunan negara Malaysia yang majmuk.

Tambah beliau, buku ini juga merupakan rakaman kehidupan masyarakat Siam Kelantan. Penulis Siam secara tidak langsung telah bertindak sebagai duta masyarakat Siam dalam mempromosikan budaya mereka.

Dr. Phat pula menyatakan bahawa himpunan 21 buah cerpen penulis Siam dalam buku ini menyerlahkan jati diri masyarakat Siam. Pembaca dibawa memahami adat resam dan budaya masyarakat Siam dan permasalahan yang dihadapi oleh mereka.

Selanjutnya, Dr. Rusmawati pula menjelaskan bahawa kekuatan novel Phensi karya Prasert Eh Chai adalah melalui pengutaraan tema dan pengukuhan jati diri masyarakat Siam Kelantan serta kekuatan watak.

Novel ini menerapkan teknik penceritaan secara eksposisi dan pengarang memperkenalkan watak-watak secara kreatif selain penggunaan dialek masyarakat Kelantan yang unik.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Tuan Haji Md. Johari Hasan sedang menyampaikan cenderamata kepada Dr. Phat Awang Deng sambil disaksikan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Tuan Haji Mohd Salahuddin dan Pengarah DBP Wilayah Timur, Puan Ariza Che Ismail.
Antara penulis Siam dan China Peranakan yang hadir.

Antara penulis Siam dan China Peranakan yang hadir ialah Prasert Eh Chai, Suwanlerd Pro Poul, Mohd Azli Lee Abdullah, Eh Pon Awang Din, E Pian Pro Poul, Elmee Iput, Chu E- Liang, Sujata Wee, dan Wilai Ah Jok.

Persatuan sastera, seni dan kebudayaan turut hadir seperti Persatuan Siam Malaysia (PSM), Persatuan Siam Kelantan (PSKn), Persatuan Siam Kelantan, Kuala Lumpur dan Selangor (PESILA), Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PPCK), Kelab Kembara Sastera, Kelab Siam Sektor Awam (KeSSA), Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Persatuan Budayawan dan Penulis Negeri Kelantan (PESISIR), Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) dan Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.