31 Julai 2023, 15:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Fitrah Adilah Ab. Rahman telah dinobatkan sebagai juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Kedah 2023 yang diadakan di Perpustakaan Digital Kedah, Sabtu lepas.

Beliau, 30 tahun berasal dari Sungai Petani mempertaruhkan puisi “Pembawa Pesan Penyair” milik Zainal Rashid Ahmad telah mengalahkan 18 peserta lain. Naib johan disandang oleh Mohd Ridzuan Sarkun, 47 tahun dari Pokok Sena, menerusi puisi yang berjudul “Pustaka Tanah Leluhur” hasil karya Shamsudin Othman.

Para pemenang pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Kedah 2023 yang diadakan di Perpustakaan Digital Kedah, sabtu lepas.

Manakala tempat ketiga disandang oleh Muhammad Afif Ikhwan Saiful Harizal, 19 tahun dari Sik, menerusi puisi “Rumah Ini Rumah Kita” nukilan Mohd Khatim Othman. Selaku juara, beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000,  plak dan sijil penghargaan, diikuti dengan tempat kedua dan ketiga yang masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM800 dan RM500, plak dan sijil penghargaan.

Edisi tahun ini merupakan percubaan kali kedua beliau setelah menjadi naib johan pada edisi yang terdahulu. Ujar beliau sebagai wakil Negeri Kedah, beliau berjanji akan berlatih dengan lebih intensif kerana pertandingan akhir sayembara ini akan berlangsung tidak lama lagi.

Fitrah Adilah Ab. Rahman dengan penuh bergaya dan semangat mendeklamasikan puisi yang dipilihnya.

Saya kena berlatih dari segi mental dan fizikal serta belajar dari orang yang berpengalaman seperti Zaheera Ibrahim yang telah berjaya menempa kejayaan sebelum ini.

Pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ini dianjurkan oleh Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) merupakan acara tahunan yang dilaksanakan untuk memilih seorang peserta yang akan mewakili negeri ke Peringat Kebangsaan.

Majlis telah dihadiri oleh Pegawai Agama Daerah Pokok Sena, Sheikh Mohd Ikmal Hafif Azmi. Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Satu ASASI, Haji Abu Hassan Morad dan Ketua Dua ASASI, Putraery Ussin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.