Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJitra – “Saya berusaha melakukan yang terbaik dan hasilnya berjaya menjuarai pertandingan ini. Kejayaan ini ditujukan kepada pensyarah yang banyak memberi dorongan dan nasihat kepada saya”.
Demikian luahan yang diucapkan oleh penuntut dari Institut Perguruan Guru Tunku Bainun Pulau Pinang, iaitu Muhamad Naufal Asyraf Norman yang diumumkan sebagai pemenang Pertandingan Deklamasi Sajak Sempena Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Institut Perguruan Darul Aman (IPDA), pada sabtu lepas.
Beliau mendeklamasikan sajak yang berjudul “Bahasa Adalah Maruah Bangsa” karya Rejab FI berjaya membawa pulang RM400 dan sijil penghargaan. Diikuti tempat kedua Muhammad Afif Ikhwan Saiful Hanzal dari Institut Perguruan Kampus Sultan Abdul Halim dan Muhammad Alif Aiman Mohd Saharudin. Masing masing menerima RM300 dan RM200 beserta sijil penghargaan.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh Ketua Hakim pertandingan, iaitu Encik Muzaffar Tawang dari Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah (SWADAYA). Juri lain yang dilantik untuk pertandingan ini adalah Puan Zaheera Ibrahim dari Angkatan Sasterawan Nasinoal Kedah (ASASI) dan pensyarah sastera Jabatan Pengajian Melayu IPDA, Encik Zulhairie Rafien.
Program yang julung kali dianjurkan oleh pihak IPDA dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini disertai seramai 25 peserta daripada penuntut Insitut Perguruan Guru.