Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBaling – Dialog Puncak karyawan ASASI 2023 membuka tirai dengan mengadakan Sembang Santai: “Hala Tuju ASASI dalam Perkembangan Sastera Negeri Kedah” di Hotel Bayu, semalam.
Program anjuran Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dengan Kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) telah dihadiri seramai 42 peserta.
Sembang santai ini telah menampilkan Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Zurinah Hasan, Prof. Madya Dr. Ghazali Din dan Dr. Osman Ayob sebagai ahli panel, manakala Dr. Husairi Hussin bertindak sebagai moderator.
Panel Pertama, SN Datuk Dr. Zurinah Hasan menjelaskan wanita mampu menjadi penulis hebat jika pandai menyesuaikan diri dalam persatuan, rajin membaca dan peka terhadap isu yang melanda untuk dijadikan bahan penceritaan. Sementara itu, Prof. Madya Dr. Ghazali Din pula berkata,
Saya lebih suka duduk dalam persatuan penulis kerana lebih tenang, ada semangat kekeluargaan.
Melalui berpersatuan, ahli dapat dilatih, dibina dan seterusnya akan menghasilkan karya yang bermutu.
Panel terakhir, Dr. Osman Ayob yang juga mantan Ketua Satu ASASI melontarkan cabaran kepada persatuan penulis di Malaysia terutamanya ASASI agar terus merangka aktiviti yang menarik supaya ahli-ahlinya tidak patah semangat dan seterus menyumbangkan sesuatu terhadap ranah sastera.
Sebelum itu, urusetia program, En. Zainal Abidin Mohd Zain berharap peserta dapat mengikuti setiap program yang disusun dengan penuh minat, Jelas beliau;
Banyak maklumat yang akan peserta perolehi apabila mengikuti program seperti ini.
Tambah beliau, Kedah mempunyai sejarah penulisan yang hebat dan sudah melahirkan tiga orang sasterawan negara iaitu, Prof Emeritus Datuk Shahnon Ahmad (1982), Datuk Abdullah Hussain (1982) dan Datuk Dr. Zurinah Hassan (2015).
Oleh itu, melalui program sebegini, peserta sudah pasti akan dapat panduan untuk memperbaiki karya masing-masing, terutamanya ahli ASASI.