Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bait-bait puisi dan muzik cakerawala bergema dan beralun dalam majlis Malam Cakerawala Berbisik di Planetarium Negara. Majlis melibatkan acara baca puisi dan persembahan seni warisan yang berlangsung pada malam tadi merupakan program kerjasama antara Planetarium Negara dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Malam Cakerawala Berbisik memiliki keunikannya yang tersendiri kerana majlis yang bertujuan untuk menyemarakkan bahasa dan sastera melalui puisi ini digabungjalinkan dengan latar muzik kosmos.
Sebelum majlis bermula, para hadirin diberikan taklimat berkaitan dengan sistem cakerawala bintang dan gugusannya. Taklimat tersebut diiringi dengan persembahan tayangan di kubah planetarium yang memerlukan hadirin yang sedang duduk memandang ke kubah untuk menyaksikan tayangan tersebut.
Suasana tersebut menyebabkan para hadirin berada dalam keadaan simulasi di ruang angkasa yang ditemani oleh kegelapan dan dihiasi dengan jutaan bintang selain mengetahui rahsia nada atau bunyi yang dihasilkan oleh cakerawala (muzik kosmos).
Muzik kosmos yang terhasil ini dilaporkan mengambil masa sehingga 250 juta tahun untuk sampai kepada manusia. Bunyi muzik kosmos inilah yang menjadi inspirasi kepada penganjuran program ini selain dihiasi dengan bait-bait puisi yang dideklamasikan.
Seterusnya, majlis ini dimulakan dengan persembahan pembukaan muzik kosmos yang dipimpin oleh Dr. Mohamad Kamal Sabran. Deklamasi puisi dimulakan oleh pendeklamasi cilik, Aryan Andika Azizudin. Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari menyerikan pentas dengan mendeklamasikan puisi karya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said. Antara pendeklamasi lain yang turut bersama-sama memeriahkan majlis tersebut termasuklah Dr. Shafa’atussara Silahudin, Shukri Abdullah, Hariz Saufi, Halinaz Hanapi, Carmen Ngo, dan Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh.
Majlis tersebut juga turut bersolidariti dengan Palestin yang sekarang sedang menghadapi kekejaman Israel. Dr. Shamsudin Othman, Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2019 (S.E.A.Write Award) turut mendeklamasikan puisi khas Palestin yang menggetarkan jiwa hadirin.
Persembahan bintang keroncong yang cukup dikenali, Jamilah Abu Bakar yang mempersembahkan irama keroncong Sayang di Sayang dan Zapin Budi menyempurnakan Malam Cakerawala Berbisik.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Puan Ruziah Shafei; Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari; Pengarah Planetarium Negara, Hj. Shahruddin Yusof; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; dan rakan-rakan kerjasama dari Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi MARA.