Oleh Azrin Eddy
15 Mei 2023, 10:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Beluran – “Pertandingan Aku, Dia dan Lagu” bersempena dengan Bazar Ilmu DBP 2023 telah dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) di SK Pekan Beluran pada 11 Mei lalu.

Pertandingan ini diinspirasikan daripada program dalam saluran radio Klasik Nasional FM yang menarik pendengar untuk mendalami coretan-coretan yang dikongsikan.

Konsep pertandingan ini serupa dengan pertandingan bercerita, namun keunikannya terserlah melalui iringan muzik latar yang mampu mempertingkatkan penghayatan emosi pendengar. Antara objektif pertandingan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai konsep dan teknik bercerita yang baharu di samping memasyarakatkan seni dan sastera Melayu di kawasan pedalaman Sabah.

Salah seoranh peserta Pertandingan Aku, Dia dan Lagu sedang membuat persembahan di SK Pekan Beluran pada 11 Mei lalu.

Pertandingan ini menerima sebanyak 14 penyertaan daripada warga Beluran, termasuklah dari sekolah-sekolah terpencil di Sabah. Antara sekolah yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini ialah SMK Beluran, SMK Beluran II dan SMK Balaban Jaya.

Skop pertandingan ini meliputi diari, rutin, atau pengalaman hidup seseorang. Kebanyakan cerita yang dibawa oleh para peserta dalam pertandingan ini sarat dengan nilai murni serta pengajaran dalam kehidupan seharian.

Misalnya, ada antara peserta yang bercerita mengenai watak yang menghidap penyakit Skizofrenia. Hal ini menggambarkan tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan anak-anak di Sabah mengenai penyakit mental.

Penyampaian sijil dan hadiah kepada Johan Pertandingan Aku, Dia dan Lagu oleh Timbalan Pengarah 1 DBPCS, Encik Rusdi Awang.

Johan pertandingan ini menjadi milik Mohd Arieldy B. Peter dari SMK Beluran. Naib Johan pula dimenangi oleh Muhammad Safihi Eazli Kamrin dari SMK Beluran, manakala Syarinah Sahari dari SMK Balaban Jaya membawa pulang hadiah tempat ketiga.

Walaupun pertandingan ini julung-julung kalinya diadakan oleh DBPCS, namun sambutan yang diterima adalah amat menggalakkan. Para pelajar berjaya dibimbing oleh para guru pembimbing menerusi hubungan dan kerjasama positif yang dizahirkan oleh pihak DBP, PPD Beluran serta sekolah.

Pertandingan ini juga menunjukkan bahawa anak-anak di Sabah mempunyai bakat seni dan sastera yang terpendam yang perlu diteroka dan diasah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.