Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – “Sastera lisan bukan sekadar hiburan kerana fungsinya sebagai model tingkah laku, kritikan sosial serta menjadi semacam ensiklopedia yang merakamkan sari pemikiran dan pengetahuan bangsa,” kata YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir, Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ketika membentangkan kertas kerjanya dalam Seminar Kearifan Tempatan Borneo 2025 di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah baru-baru ini.
Menurut beliau, tradisi ini hidup dalam ingatan kolektif masyarakat yang erat hubungannya dan disampaikan secara bersemuka sehingga menjadi khazanah yang diwarisi dari generasi ke generasi.

“Budaya tulisan pula membuka ruang pada pengarang untuk lebih kreatif, eksperimental dan bereksperimen dengan sumber baharu,” ujarnya.
Beliau menegaskan lagi, penulisan membolehkan pengarang membebaskan diri daripada beban hafalan spontan dan serentak, di samping memberi peluang untuk mengheningkan minda bagi meneroka tema kontemporari dengan gaya yang segar, realistik dan faktual.
Turut menyentuh dunia kesusasteraan ialah Penasihat Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah, YBrs. Encik Ricky Yakub Ganang yang membentangkan kertas kerjanya berkaitan etnik Lundayeh di Sabah, salah satu daripada 35 kumpulan orang asal Sabah yang kebanyakannya tinggal di daerah Sipitang dan Tenom.
Menurut beliau, tradisi lisan Lundayeh merangkumi legenda, syair, pantun, puisi, nyanyian dodoi, dan mantera, yang semuanya memainkan peranan dalam hiburan, pendidikan dan ritual adat.
Tambahnya lagi, etnik Lundayeh bukan sahaja mengekalkan tradisi lisan sebagai hiburan, malah turut berfungsi sebagai wadah nasihat dan teladan yang diwarisi turun-temurun.

“Tradisi ini bukan sahaja menjadi hiburan, tetapi juga sarana menyampaikan nasihat, teladan, serta memperkukuh ikatan kekeluargaan.
“Tradisi lisan seperti pantun tuluu, dodoi, puisi, serta cerita rakyat berperanan besar dalam mendidik generasi muda dan mengeratkan silaturahim,” jelasnya.
Turut membicarakan peranan sastera dalam kehidupan masyarakat ialah Pegawai Penyelidik Kanan DBP Brunei Darussalam, Puan Noor Lenny binti Haji Mohamed Yusuf yang menekankan bahawa pantun bukan sahaja warisan seni lisan, malah berfungsi sebagai asuhan budi dan intelektual masyarakat Melayu.
“Keindahan pantun terserlah melalui dua aspek, iaitu keindahan luaran pada gaya bahasa yang indah, dan keindahan dalaman yang sarat dengan nilai kasih sayang, nasihat dan budi,” katanya.

Menurut beliau, usaha memperkasa pantun masih relevan dalam arus globalisasi, malah perlu digerakkan melalui program penyelidikan, pendokumentasian, sayembara pantun, bengkel, serta penganjuran seminar yang melibatkan generasi muda.
“Apabila masyarakat sendiri terlibat dalam usaha mengangkat tradisi pantun, mereka akan berasa lebih bertanggungjawab terhadap pemeliharaan budaya dan jati diri bangsa,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pantun kini telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara, sekali gus meletakkannya pada kedudukan tinggi di persada antarabangsa.
Pengiktirafan ini menuntut semua pihak agar lebih proaktif melestarikan pantun sebagai medium komunikasi yang menyatukan masyarakat pelbagai generasi serta mengukuhkan identiti kebangsaan.
“Pantun bukan sekadar karya seni untuk menghibur, tetapi wahana mendidik, mengasuh budi pekerti dan membina perpaduan bangsa,” tegasnya.