Diterbitkan pada 9 April 2026, 23:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penganjuran Malam Anugerah Pena (MAPENA) 2026 bakal menjadi mercu tanda kecemerlangan literasi di Negeri di Bawah Bayu dengan menggabungkan dua pengiktirafan penganugerahan berprestij bagi penulis Sabah.

Langkah penyatuan Hadiah Sastera Sabah (HSS) dan Anugerah Sasterawan Negeri Sabah (ASNS) ini diletakkan sebagai platform tertinggi bagi memberikan pengiktirafan yang lebih gah dan berimpak besar kepada tokoh serta karya sastera di negeri ini.

Menerusi sesi Cakna Bahasa bersama BERNAMA Radio, Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Puan Maslijan Abd. Rasad, memaklumkan bahawa penggabungan ini bukan sahaja satu penambahbaikan kepada struktur program, malah menjadi medium untuk memperkenalkan laporan ASNS kelima dalam bentuk dokumentari mini yang lebih menarik.

“Majlis tahun ini bakal diadakan penuh gilang-gemilang di hotel bertaraf lima bintang di ibu negeri. Apa yang lebih menarik, kita akan membawakan kelainan dalam penyampaian laporan ASNS kelima menerusi penghasilan dokumentari mini bagi memberikan impak yang besar kepada para penulis di negeri ini,” jelasnya.

Bagi edisi tahun 2026, MAPENA akan memberikan fokus kepada dua kategori utama pengiktirafan, iaitu HSS yang melibatkan penilaian dwitahunan bagi karya yang diterbitkan sama ada melalui DBP ataupun penerbit luar. Sementara itu, ASNS edisi  tahun 2026 merupakan penganugerahan kali kelima dalam sejarahnya, selepas kali pertama diperkenalkan pada tahun 1990.

Puan Maslijan turut memberikan pencerahan mengenai status jadual pelaksanaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan penulis tempatan.

“Kita belum ada ketetapan tarikh lagi buat masa ini kerana masih dalam peringkat perbincangan tertinggi yang melibatkan beberapa agensi. Segala maklumat rasmi akan dimaklumkan kemudian,” tambah beliau.

Bagi edisi penilaian kali ini, sebanyak 58 buah buku pelbagai genre telah disenaraikan di bawah Kategori A: Buku Sastera, manakala bagi Kategori B: Karya Eceran yang memfokuskan penilaian meliputi 1,000 karya puisi, 200 cerpen, 20 esei kritikan sastera, serta satu drama pentas.

“Kesemua karya ini telah dikumpul dan dinilai secara teliti bagi memastikan hanya karya ynag benar-benar layak diangkat untuk menerima pengiktirafan,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar lebih ramai penulis, khususnya di negeri Sabah terus menghasilkan karya berkualiti yang mengangkat kearifan tempatan serta mengutarakan idea segar bagi memastikan karya anak seni tempatan mendapat pengiktirafan pada peringkat negeri dan kebangsaan.

Kredit Foto: Tangkap Layar BERNAMA Radio
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi