Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Unsur alam tidak lagi berfungsi hanya sebagai latar keindahan dalam puisi, sebaliknya menjadi entiti hidup yang berdialog dengan emosi manusia, terutama dalam membicarakan tema percintaan.
Inilah antara dapatan utama yang dikupas oleh Pensyarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Dr. Nurhamizah Hashim menerusi kertas kerja bertajuk “Unsur Alam dalam Tema Percintaan menerusi Kumpulan Puisi Dari Cinta kepada Cinta” dalam Wacana Puisi Esei ASEAN 2025 di Hotel Horizon petang semalam.
Menurut Dr. Nurhamizah, kumpulan puisi Dari Cinta kepada Cinta karya Ramzah Dambul menampilkan pelbagai elemen alam seperti samudera, sungai, pohon, burung, dan musim yang dirangkaikan secara simbolik untuk menzahirkan rasa cinta dalam bentuk kerinduan, kehilangan, kesetiaan, dan harapan.
“Alam bukan lagi sekadar hiasan latar atau objek luar. Alam ialah unsur hidup dan menjadi wahana emosi penyair mewakili falsafah cinta yang dalam, penuh persoalan dan pengertian spiritual,” ujar beliau.
Dalam puisi “Setia”, misalnya, pohon rimbun digambarkan sebagai lambang kasih mendalam yang menjadi tempat berteduh sang burung walaupun tidak pernah berbuah.
Simbol ini memperlihatkan cinta tanpa syarat, kesetiaan yang tidak menuntut balasan.
Sungai pula ditampilkan sebagai metafora perjalanan cinta yang dahulu mengalir deras, namun kini surut menandakan perubahan, kehilangan dan kematangan rasa.
Bahagian pokok seperti dahan, perdu dan banir pula mewakili struktur cinta yang kukuh, walaupun luaran mungkin tampak rapuh.
Simbol ini mengisyaratkan akar emosi yang dalam dan tidak mudah dipisahkan.
Beliau turut mengupas simbol haiwan yang juga digunakan sebagai simbol kesetiaan dan kerinduan.
“Sang belatuk yang tetap setia pada beringin tua meskipun sarangnya rapuh, menjadi metafora cinta pada yang lama seperti cinta pertama, kenangan atau asal usul yang tidak ditinggalkan,” ujarnya.
Sementara itu, dalam puisi “Mimpi Kita” pula, haiwan sang pungguk rimba yang mahu terbang ke langit mencerminkan kerinduan yang ingin membebaskan diri dari belenggu masa silam, khususnya pada “meranti tua”, simbol kenangan lama yang masih membelenggu jiwa.
Dr. Nurhamizah turut mengupas puisi “Ibuku Tak Pandai Membaca”, yang mengangkat unsur alam seperti daun kekabu, pipit berkicau dan hujan monsun sebagai simbol kebijaksanaan dan kasih sayang seorang ibu dalam membaca petanda alam untuk menafsir perubahan cuaca dan menjaga keluarganya.
“Unsur cinta dalam puisi ini terungkap bukan melalui kata romantis, tetapi melalui tindakan penuh kasih yang menyatu dengan alam,” jelasnya lagi.
Keseluruhannya, ujar Dr. Nurhamizah, penggunaan unsur alam dalam puisi esei Melayu moden berfungsi sebagai medium perlambangan yang mendalam, memperkayakan estetika puisi serta menjadikan cinta lebih realistik, spiritual dan menyentuh fitrah manusia.
“Dalam konteks puisi Ramzah Dambul, cinta bukan sekadar hubungan dua insan, tetapi juga refleksi terhadap hubungan dengan diri, alam, masa dan Tuhan.
“Unsur alam ini menjadikan puisi-puisi beliau hidup, meresap dan menyentuh pembaca di pelbagai lapisan,” jelas beliau mengakhiri pembentangan.