Diterbitkan pada 23 September 2025, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Sastera rakyat sebagai warisan lisan bersama, perlu dipelihara dan dipromosikan melalui teknologi digital agar sastera rakyat terus relevan. Usaha ini penting bukan sahaja untuk melestarikan budaya, malah memperkukuh jati diri masyarakat.

Demikian penegasan ahli akademik dari Universiti Malaysia Sabah, YBrs. Profesor Dr. Asmiaty Amat dalam ucap utamanya bersempena dengan Seminar Kearifan Tempatan Borneo di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah baru-baru ini.

Beliau yang turut membentangkan kertas kerja bertajuk “Sastera Rakyat: Warisan yang Perlu Dipertahankan” dalam seminar tersebut menerangkan bahawa sastera rakyat bersifat lisan yang mempunyai tujuan dan fungsi dalam sesebuah masyarakat namun menjadi warisan yang semakin dipinggirkan.

Menerusi pembentangan tersebut beliau mengetengahkan kaedah pemeliharaan sastera rakyat melalui pendokumentasian dan pendigitalan sebagai inisiatif agar sastera rakyat dikenali ramai.

“Sastera rakyat adalah warisan milik bersama yang diturunkan secara bergenerasi walaupun tersebar dengan kaedah yang tidak konsisten tetapi merupakan cerminan nilai dan daya intelektual atau ketamadunan masyarakat,” ujarnya.

Seminar anjuran DBP Cawangan Sabah dan DBP Cawangan Sarawak itu bertemakan “Kearifan Tempatan Memperkasakan Masyarakat Madani” sebagai wahana perkongsian ilmu para sarjana tempatan dan antarabangsa, dalam melestarikan kearifan tempatan di Borneo.

Kredit Foto: Mohd Hafizee Affiq
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi