Diterbitkan pada 18 Oktober 2025, 13:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Sayembara Penulisan Esei Kritikan Karya Penulis Sarawak Peringkat Kebangsaan 2025 telah berlangsung di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak pada 16 Oktober lepas. Sayembara yang julung kali diadakan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan DBP Cawangan Sarawak dalam memperkasakan bidang penulisan esei kritikan — sebuah genre yang berperanan besar dalam memperkukuhkan tradisi intelektual dan menumbuhkan budaya wacana yang segar dalam  kalangan penulis dan pembaca.

Dalam masa yang sama, penganjurannya turut menjadi wadah penting untuk membina kepakaran baharu dalam kalangan penulis, khususnya dalam penulisan esei kritikan yang semakin mendapat perhatian dalam dunia persuratan tanah air.

Penganjuran sayembara ini juga merupakan kesinambungan dan penambahbaikan daripada sayembara tahunan anjuran DBP Cawangan Sarawak yang sebelum ini lebih tertumpu pada genre cerpen dan puisi.

Walaupun kedua-dua genre tersebut sering menjadi tumpuan khalayak, esei kritikan sebenarnya memainkan peranan penting dalam menilai, mentafsir dan mendokumentasikan makna serta perkembangan karya sastera. Melalui esei kritikan, karya tidak hanya dihargai daripada sudut estetika, tetapi juga dikupas daripada aspek falsafah, konteks budaya dan pemikiran yang mendasarinya.

Dalam erti kata lain, esei kritikan bukanlah tulisan yang berlegar dalam ruang pujian kepada karya atau penulis semata-mata, sebaliknya merupakan wahana ilmiah yang menyingkap kekuatan, menilai kelemahan dan membuka ruang kefahaman yang lebih mendalam terhadap sesebuah karya.

Melalui tradisi inilah sastera diuji ketahanan maknanya, diperbaharui tafsirannya dan dikembalikan kepada nilai fikir yang membentuk jati diri bangsa penulis.

Majlis penyampaian hadiah sayembara ini telah diadakan bersempena Majlis Tinta Kenyalang 2025 dan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 Peringkat Sarawak, yang telah disempurnakan oleh Puan Sharifah Fareah Syed Mohamad, mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak.

Senarai penuh pemenang Sayembara Penulisan Esei Kritikan Karya Penulis Sarawak Peringkat Kebangsaan 2025:

  • Johan: Abang Median Abang Said — “Pemaknaan Estetika Bersepadu dalam Lelaki Sunyi di Alam Sembunyi”.
  • Naib Johan: Walfred Anak Basin — “Paranoia dan Psikosis dalam Fiksyen Remaja: Analisis Psikologi terhadap Novel Paranoia Karya Radzemah Bolhassan”.
  • Tempat Ketiga: Sara Beden — “Nuansa Realisme Magis dalam Saksi Mimpi”.
  • Sagu Hati: Benedict Anak Samling — “Membongkar Naratif Feminisme dalam ‘Titik Merah’ Karya Adie Abd Gani”
  • Sagu Hati: Abang Basri Abang Abdillah — “Membaca Kumpulan Puisi Lelaki Sunyi di Alam Sembunyi Berdasarkan Kerangka Takwil Estetika Sufistik Maknawi”

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, mewakili Ketua Pengarah DBP, Dato’ Dr. Jeniri Amir, Ahli Lembaga Pengelola DBP, Dr. Azizul Haji Ismail, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Dr. Robert Menua, Pengarah Bahagian Pensejarahan, Yayasan Tun Jugah, serta Dr. Noratikah Mohamad Ashaari, Timbalan Dekan Hubungan Industri dan Masyarakat, UNIMAS.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi