Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Empat karya eceran yang diterbitkan oleh majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merangkul Hadiah Sastera Sarawak 2025 pagi semalam.
Empat karya itu ialah esei kritikan Basri Abdillah, “Keunggulan Konsep Tasawuf Tazkiyah al-Nafs dalam Gelita Tak Berdaya Melenyapkan Cinta dan Memandang Cangkerang Abizai” yang tersiar dalam Dewan Sastera April – Mei 2024; cerpen Abang Median Abang Said, “Kajianku: Motif Tatu atau Cemburu” (Dewan Sastera Ogos 2024); cerpen Jais Sahok, “Bacakom” (Dewan Budaya Ogos 2024); dan cerpen Nabillah Bolhassan, “Malam Terakhir Seorang Patriot” (Tunas Cipta Julai 2024).
Pemenang lain adalah seperti yang berikut:
Kategori Skrip Drama
Kategori Esei Kritikan
Kategori Cerpen
Kategori Sajak
Kemenangan itu adalah sebahagian daripada usaha mengangkat dan memperkasakan karya penulis Sarawak oleh DBP menerusi DBP Cawangan Sarawak yang menganjurkan Majlis Anugerah Tinta Kenyalang 2025 dan sekali gus pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Sarawak.
Selain Hadiah Sastera Sarawak, Majlis Anugerah Tinta Kenyalang 2025 turut merangkumi Sayembara Penulisan Esei Kritikan Karya Penulis Sarawak Peringkat Kebangsaan 2025, Hadiah Sastera Tunas Sarawak 2025 (karya penulis muda) dan Anugerah Citra Malaysia Sekolah Menengah Sarawak 2025 (karya pelajar sekolah menengah dan majalah sekolah).
Hadiah Sastera Sarawak dirasmikan oleh wakil rasmi kepada Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), YB Dato’ Sri Roland Sagah Wee Inn, iaitu Puan Sharifah Fariah Syed Junaidi.
Majlis yang dihadiri oleh 200 orang hadirin ini turut diserikan dengan kehadiran Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera (mewakili Ketua Pengarah DBP), Dato Dr. Jeniri Amir, Ahli Lembaga Pengelola DBP, Dr. Azizul Haji Ismail, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Dr. Robert Menua, Pengarah Bahagian Pensejarahan, Yayasan Tun Jugah, dan Dr. Noratikah Mohamad Ashaari, Timbalan Dekan Hubungan Industri dan Masyarakat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).