29 Oktober 2024, 21:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching Mohamad Rakawi Yusuf merupakan Sasterawan Sarawak yang menggunakan “pena” untuk memperjuangkan nasib, menyatakan keadaan sosial dan ekonomi serta menyedarkan masyarakat Melayu Sarawak.

Perkara ini diungkapkan oleh Dr. Suffian Mansor, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila memperkatakan tentang kepengarangan Mohamad Rakawi Yusuf dalam Wacana Pemikiran Sasterawan Sarawak yang berlangsung di Pentas Utama, The Hills pada pagi tadi.

Semasa era penjajahan, sastera merupakan antara “senjata” dalam menyedarkan masyarakat. Hal ini juga dapat dianggap sebagai mewakili suara masyarakat bawahan dalam menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penjajah.

Golongan penulis ketika era itu antaranya termasuklah Mohamad Rakawi Yusuf menulis karya sastera seperti novel bagi menceritakan situasi sebenar yang melanda masyarakat semasa era penjajahan.

Selain itu, beliau pada ketika itu turut terlibat secara aktif dalam Persatuan Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (1934). Keterlibatan beliau dalam persatuan tersebut membuktikan bahawa beliau merupakan penulis yang bersama-sama dengan masyarakat dan serius dalam menyuarakan keprihatinan mereka.

Beliau juga terlibat dengan penubuhan akhbar Fajar Sarawak yang merupakan surat khabar terawal yang ditulis dalam bahasa Melayu tulisan Jawi di Sarawak.

Tulisan beliau dalam akhbar tersebut banyak memperkatakan tentang kemajuan sosioekonomi orang Melayu dan ajaran Islam.

Beliau telah menulis dua karya penting, iaitu novel Melati Sarawak dan Hikayat Sarawak.

Menariknya, Melati Sarawak memperkatakan pada ketika itu bahawa tidak ada usaha untuk membangunkan orang Melayu Sarawak daripada segi ekonomi, politik dan sosial.

Karya beliau juga antara lain memperkatakan tentang peri penting wanita pada era itu menitikberatkan hal pendidikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.