Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuching – “Penganugerahan ini untuk warga dan masyarakat Iban”, ujar Jaya anak Ramba atau lebih dikenali sebagai Jaya Ramba selepas menerima Anugerah Penulis Sarawak 2024 bagi kategori novel dan cerpen.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak, pada malam tadi.
“Bukan saya seorang sahaja daripada masyarakat Iban yang boleh menulis karya sastera. Saya percaya ramai lagi penulis Iban yang boleh melahirkan karya yang berkualiti”, ujarnya lagi ketika ditemu bual oleh wartawan JendelaDBP.
Beliau yang dilahirkan di Miri telah lama berkecimpung dalam dunia penulisan dan kesusasteraan. Sejak tahun 2002, beliau telah mula menerbitkan karya dalam pelbagai genre antaranya termasuklah novel, cerpen dan puisi serta memenangi banyak sayembara penulisan.
Selain anugerah ini, beliau juga pernah mendapat Anugerah Penulis Sarawak kategori Bahasa (Bahasa Iban) pada tahun 2014. Selain aktif dalam kerja penulisan, beliau juga banyak terlibat dengan persatuan penulis antaranya termasuklah Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) dan Pertubuhan Literasi Dayak (Sarawak, Brunei dan Kalimantan).
Sehingga kini, beliau telah menerbitkan sebanyak 14 buah novel, tiga kumpulan cerpen dan enam antologi puisi. Karyanya juga pernah diterbitkan dalam akhbar Utusan Sarawak, Utusan Borneo, Utusan Malaysia, Berita Harian, majalah Dewan Sastera, Dewan Budaya, Tunas Cipta, Jendela Sarawak, dan Bahana.
Bercakap tentang landskap kesusasteraan di Sarawak, beliau menyatakan bahawa beliau percaya penulis Sarawak akan terus berkembang dan berkualiti dari segi pengkaryaan.
Saya percaya penulis Sarawak tidak akan mengeluh, mengalah dan berasa rendah diri.
Menyorot perjalanan kepengarangannya, beliau berkata bahawa beliau banyak belajar menulis dengan membaca karya-karya Sasterawan Negara. Karya Sasterawan Negara membantu beliau dalam meneroka teknik dan gaya penulisan.
Saya banyak membaca dan belajar daripada karya Sasterawan Negara Anwar Ridhwan, terutamanya cerpen-cerpennya. Kemudian, sudah tentu karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad juga. Saya mendapat semangat dan cetusan inspirasi daripada mereka.
Jaya Ramba juga mempunyai disiplin menulisnya yang tersendiri. Hal ini diungkapkan oleh beliau:
Tiap-tiap hari memang saya akan menulis. Walaupun ketika bekerja di pejabat, rehat selama satu jam itu saya akan penuhi dengan menulis.
Dengan penganugerahan ini, Jaya Ramba membuktikan bahawa penulis daripada kalangan masyarakat bukan Melayu mampu bersaing dan memiliki kualiti karya yang tersendiri.