Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Usaha Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) menganjurkan Program Bimbingan Teori dan Kritikan Sastera untuk melahirkan bakat baharu dalam bidang penulisan esei kritikan di negeri ini amat dialu-alukan.
Pengarah DBPCS, YBrs. Puan Jennitah Noordin berkata, Sabah begitu ketandusan pengkritik sastera sejak lama sedangkan karya-karya baharu yang muncul dalam media massa perlu dilihat dan dinilai melalui mata pengkritik yang jujur dan berilmu.
“Kritikan membantu meningkatkan kualiti karya. Apabila sesebuah karya dinilai secara berilmu dari segi tema, gaya bahasa, struktur, dan makna, para penulis dapat melihat kekuatan dan kelemahan karya mereka.
“Hal ini mendorong mereka untuk menulis dengan lebih matang dan teliti pada masa akan datang,” katanya dalam Majlis Penutupan Program Bimbingan Teori dan Kritikan Sastera yang berlangsung di Sudut Penulis DBP, DBPCS pada Ahad lalu.
Selama dua hari dari 2 hingga 3 Mei 2026, sebanyak 40 peserta yang terdiri daripada pelajar Akademi Seni dan Teknologi Kreatif, Universiti Malaysia Sabah; Sekolah Menengah Kebangsaan Badin, Tuaran; dan penulis tempatan, menerima bimbingan daripada penyelidik sastera, YBrs. Dr. Mohamad Shahidan dan penerima SEA Write Award 2010, Encik Zaen Kasturi.
Presiden PSBS, YBrs. Dr. Norawi Kata menjelaskan, tujuan program tersebut diadakan adalah untuk membimbing peserta terutamanya golongan muda, untuk memperkasakan kembali bidang penulisan esei kritikan yang tampak lesu sejak kebelakangan ini.
“Dengan adanya usaha sebegini, kita amat berharap dapat melahirkan penulis esei kritikan agar bidang kritikan sastera hidup kembali bagi menyegarkan mutu penulisan karya kreatif kita yang juga semakin lesu mutunya, kerana pada hakikatnya hanya kritikan sastera yang mampu menjadikannya kuat,” ujarnya.
Dalam majlis penutupan itu juga, Dr. Norawi mengumumkan sayembara menulis esei kritikan tertutup yang menawarkan hadiah lumayan kepada para peserta program, sebagai galakan supaya terus menghasilkan esei sastera dan menekuni bidang itu.