Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRaja Yusoff Ariffin fikir hanya pengkritik sastera yang menggunakan teori sastera tertentu, sama ada ciptaannya sendiri atau milik pengkritik lain untuk mengkritik karya sastera. Benarkah tiada penulis menggunakan teori sastera untuk berkarya? Kalau ada, wajarkah?
Tidak dinafikan, teori-teori kritikan tempatan mampu untuk memperkatakan semua genre sastera di negara ini. Namun begitu, teorinya masih gagal mempunyai pengikut sebagaimana di Barat.
Perkembangan teori sastera di Malaysia hanya bermula pada penghujung tahun 1980-an. Antara yang terawal merupakan Teori Puitika Sastera Melayu oleh Sasterawan Negara (SN) Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.
Sejak tahun 1970-an, tercatat beberapa teori sastera moden Barat yang diguna pakai oleh pengkritik sastera tempatan, termasuklah psikoanalisis, resepsi, intertekstualiti, dekonstruksi, hermeneutik, feminisme, dan semiotik.
Selepas kelahiran Puitika Sastera Melayu, muncul beberapa orang sarjana yang turut mengasaskan beberapa teori kritikan. Antaranya termasuklah Dr. Shafie Abu Bakar (Takmilah), Allahyarham Prof. Dr. Hashim Awang (Pengkaedahan Melayu), Allahyarham Abdul Rahman Napiah atau Mana Sikana (Tekdealisme), SN Allahyarham S. Othman Kelantan (Kritikan Melayu), Prof. Emeritus Dr. Mohamad Mokhtar Hassan (Konseptual-Kata Kunci), dan Mohd. Affandi Hassan (Persuratan Baru).
Pernah muncul pertanyaan dalam kalangan sarjana dan pengarang tempatan, sejauh manakah teori tempatan ini mampu menjadi medium kritikan sastera yang mantap dan kukuh? Adakah hanya sekadar mampu memperkatakan sastera tempatan (Melayu) semata-mata? Adakah pengisiannya tidak lebih daripada itu jika dibandingkan dengan kehebatan teori-teori kritikan Barat?
Teori-teori kritikan Barat berkembang dengan para pengikutnya yang sentiasa ada selain menciptakan polemik, perdebatan dan perbincangan yang berterusan.
Di Barat, perdebatan, perbincangan, penerokaan, dan penciptaan idea baharu merupakan alasan yang amat kukuh untuk memungkinkan mereka melahirkan teori sastera yang kuat, malah bersifat sarwajagat.
Sebagai contoh, teori mimesis yang diperkenalkan oleh Plato menjadi semakin kuat, matang dan berkembang kerana ada perdebatan-perdebatan dan penelitian oleh sarjana-sarjana Barat saban tahun.
Satu lagi contoh, teori psikoanalisis oleh Sigmund Freud berkembang pesat kerana ada ramai pengikut yang ramai. Jacques Lacan kemudian mengembangkannya, dan diteruskan pula oleh Jacques Derrida, Julia Kristeva, dan Harold Bloom.
Sehubungan itu, bagaimana pula dengan teori-teori tempatan? Usaha ke arah memperkasakannya menerusi penyelidikan dan penerapannya amat sedikit dan hanya berlegar dalam bidang kesusasteraan Melayu, hingga boleh dikatakan yang teori sastera tempatan kaku serta tidak bermaya.
Teori dialogisme oleh Mikhail Bakhtin yang dilahirkan pada tahun 1926 juga dapat dijadikan contoh yang kuat dalam konteks ini.
Karya sastera memang memerlukan kritikan agar teruji, nilainya diketahui dan mendorong kepada pembaikan untuk karya mendatang. Cuma, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kritikan sastera tanah air semakin lesu.
Perdebatan, penelitian serta pelbagai usaha untuk mengaplikasikan teori sastera ke dalam karya-karya sastera menyebabkan dialogisme mampu berkembang, malah menjadi asas pada teori intertekstualiti.
Tidak dinafikan, teori-teori kritikan tempatan mampu untuk memperkatakan semua genre sastera di negara ini. Namun begitu, teorinya masih gagal mempunyai pengikut sebagaimana di Barat.
Jika penulis terlalu mengambil kira teori, hal ini akan menyebabkan penulis berbolak-balik atau berbelah bahagi memikirkan bagaimana karya mereka dikritik.
Kenyataan berupa pengakuan penulis terkenal Aminah Mokhtar semasa majlis Apresiasi Sastera dan Penyampaian Hadiah Sayembara Menulis Anekdot: Membaca dan Alam Bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan 2025 di Auditorium Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada 22 November lalu menarik perhatian hadirin.
Aminah tampil sebagai ahli panel kedua Sesi Bual Bicara Bersama-sama Penerima SEA Write Award yang dimudah cara oleh Puan Ida Suraini Abd. Shukor dari FRIM.

Aminah merupakan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) pada tahun 2020. Dua orang ahli panel lain, iaitu Prof. Dr. Mohammad Hatta Azad Khan dan Dr. Shamsudin Othman masing-masing menerima anugerah tersebut pada tahun 2008 dan 2019.
Majlis Apresiasi Sastera dan Penyampaian Hadiah Sayembara Menulis Anekdot: Membaca dan Alam dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama FRIM.
Dalam sesi bual bicara tersebut, pemudah cara bertanya kepada Aminah mengenai kaedah beliau berkarya hingga begitu banyak, kemudian layak menerima SEA Write Award. Aminah Mokhtar menjawab bahawa beliau hanya menggunakan teori “belasah sahaja”. Hal ini disambut dengan gelak tawa daripada hadirin.
Dalam ketawa tersebut, saya terfikir semula bahawa Aminah tidak perlu pun mempedulikan mana-mana teori sastera. Beliau penulis, bukan pengkritik. Setiap penulis tidak perlu bergelumang dengan kefahaman teori, apatah lagi mengguna pakainya. Mereka hanya perlu menulis dan menyiapkan tulisan karya mereka, baik cerpen, novel, puisi mahupun drama.
Meskipun ada usaha untuk mengaplikasikan teori sastera ke dalam karya-karya sastera, tetapi banyak yang berpendapat bahawa jika penulis membimbangkan hal ini, tulisan mereka tidak akan siap. Jika penulis terlalu mengambil kira teori, hal ini akan menyebabkan penulis berbolak-balik atau berbelah bahagi memikirkan bagaimana karya mereka dikritik. Masakan boleh siap jika sering memikir-mikir dan mengubah-ubah?
Ramai yang bersetuju bahawa teori sastera lebih sesuai sebagai perhatian (dan mainan) pengkritik sastera. Penulis kreatif sewajarnya hanya menulis. Jadi, tidak wajar pula jika timbul isu pengkritik dicabar berkarya oleh penulis yang marah/sakit hati jika karya mereka dibelasah. Penulis memang tidak wajar mencabar pengkritik kerana tugasnya menulis, dan pengkritik pula mengkritik. Masing-masing ada tugasnya, dan tidak perlu bersilang tugas.
Cuma, tidak dinafikan di negara kita, ada juga penulis yang turut menjadi pengkritik. Antaranya termasuk SN Dato’ Rahman Shaari (sajak), S.M. Zakir (cerpen dan novel), serta sesekali Ridzuan Kamis, Dr. Ariff Mohamad, Salman Sulaiman, dan Dr. Shamsudin Othman.
Kenyataan yang disebut berulang kali oleh Aminah itu walau bagaimanapun mendapat respons baik daripada Ida Suraini dan Shamsudin. Cuma, Shamsudin tidak menyebut “belasah sahaja”, sebaliknya yang lebih murni, iaitu “teori Aminah Mokhtar” (lebih kurang). Maksudnya, dengan cara Aminah Mokhtar yang tersendiri dalam kerja mengarang merupakan “teori” (atau metodologi) Aminah yang tersendiri juga dari kaca mata kepengarangan.
Hal ini menarik dan mengagumkan. Namun demikian, saya fikir, tidak semua penulis boleh menjadi seperti Aminah. Bukan semua boleh “belasah sahaja”. Sementelah penulis tidak perlukan teori untuk berkarya.
“Belasah sahaja” pun saya fikir sinonim dengan perbuatan yang disebut dalam bahasa Inggeris, trial and error. Penulis menulis lantas mencuba nasib, dan kalau bernasib baik, menjadilah. Kalau tidak, boleh diusahakan lagi, mencari rentak, bentuk, gaya, atau suara yang lain pula.
Lantas, disebut sekali lagi, bukan semua orang bernasib baik, dan menjadi!
______________________________
Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016).