Oleh Zaidi Saad
8 Ogos 2021, 20:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Novelis yang amat dikenali dengan novel Iman Markisa, Diari Seorang Jururawat dan Dominasi Tebrau, Aminah Mokhtar, memenangi Anugerah Sasterawan Johor 2021. Atas kemenangan besar Aminah Mokhtar kali ini dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan, anak jati Johor ini juga telah berjaya membawa balik Anugerah Sasterawan Johor, iaitu Anugerah Khas ASJ 2021 atas kecemerlangan besarnya menghasilkan beberapa karya bermutu dalam pelbagai genre.

YAB Datuk IR. Haji Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor

Majlis Anugerah Sastera Johor 2021 (ASJ 2021) atau ASJ kali ke-12 telah disiarkan secara dalam talian pada 8 Ogos 2021 (Ahad) pukul 2.00 petang anjuran  Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan dan Persatuan Penulis Johor. Majlis pengiktirafan yang ditunggu-tunggu oleh kalangan penulis Johor ini dirasmikan oleh YAB Datuk IR. Haji Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor. Dalam ucapan perasmiannya, beliau yakin dan percaya bahawa para penulis Johor mempunyai ilham serta idea yang bernas untuk melahirkan sebanyak mungkin karya yang kreatif, kritis dan berkualiti, walaupun sewaktu masyarakat Malaysia masih mendepani pelbagai cabaran, termasuklah cabaran COVID-19.

Dalam ucapannya lagi, YAB Datuk Hasni mengumumkan YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan sebagai penerima Anugerah Penggiat Sastera Johor atas perjuangan besarnya dalam bahasa, sastera dan persuratan.

Majlis diteruskan dengan menyaksikan penerima Hadiah Karya bagi penulis remaja bawah 19 tahun (puisi eceran), iaitu Norasikin Md. Khalid (“Tuanku Tiang Seri Negara Bangsa), Aira Serafina Juanil (“Warkah Buat Guru) dan Muhammad Faris Haikal Sabaruddin (“Di Tanah Bertuah Ini). Penerima Hadiah Karya bagi penulis remaja bawah 19 tahun (cerpen eceran) pula dimenangi oleh Muhammad Faris Haikal Sabaruddin (“Dendam Si Belang) dan Siti Khadijah Abdul Halim yang berjaya merangkul dua Hadiah Karya untuk dua cerpennya, “Lukisan Jiwa dan “Dia Pergi Jua.

Penerima Hadiah Karya Sastera Siber (puisi eceran) buat tahun ini pula dimenangi oleh Ramlee Wahab (“Kebal), Rohaida Yon (“Setiap Hujung Tahun) dan Shapiai Muhammad Ramly (“Di Manakah Engkau). Sementara itu,  penerima Hadiah Puisi Eceran bagi tahun 2021 dipenuhi kalangan pemuisi mapan Johor, iaitu Nabiha Mohd Mashut (“Bunga Kebebasan), Mohd Rosli Bakir (“Seruan Agung), Raja Abdul Rahman Raja Basok (“Cinta Sungai Muar), Rosman Md Shah (“Angin Utara, Selatan, Timur dan Barat), Shamsudin Othman (“Segugus Ingatan Rubaiyat Bangsa), dan Shapiai Muhammad Ramly (“Gelanggang Kali Ini).

Acara diteruskan dengan pengumuman penerima Hadiah Cerpen Eceran, yang turut menampilkan beberapa karyawan berpengalaman merangkul hadiah kemenangan, iaitu Zalila Isa (“Pada Hari Buku Hilang dari Raknya), Mohd Izwanuddin Abd Rahim (“Bidak), Amida@Hamidah Abdul Hamid (“Bukit Janna), Maslina Ngadiman (“Belayar ke Negeri Segantang Lada), Khairul Ashraf Adrutdin (“Misdiagnosis III – Catatan (kepada) Idola), dan Rohaida Yon (“Bait-bait Rindu).

ASJ 2021 diteruskan dengan barisan penerima Hadiah Esei dan Kritikan Sastera diumumkan, iaitu Mohd Fairuz Mohd Padoli atau lebih dikenali dengan nama MF Kenchana (“Transformasi Karya Sastera kepada Medium Drama TV: Perkembangan dan Peranan) dan Profesor Madya Dr. Roslina Abu Bakar (“Hikayat Pelanduk Jenaka: Perkembangan Kecerdasan Bodily-Kinesthetic dan Kecerdasan Bahasa Kanak-kanak dan Remaja).

Hadiah bagi kategori drama mempunyai beberapa pecahan genre dan pemenang, namun jelas, pengarang skrip drama yang selalu memenangi hadiah sayembara bagi penulisan novel sejarahnya, Rahimah Muda, berjaya merangkul dua hadiah, iaitu Hadiah Drama Eceran bagi skrip drama “Reyok dan Hadiah Drama Pentas bagi Luqman Al-Hakim. Pemenang lain pula ialah Hadiah Drama Radio yang dimenangi oleh Aminah Mokhtar bagi skrip drama radio “Perempuan Nan Menangisdan Hadiah Drama TV yang dimenangi oleh Mohd Fadzil Mazlan bagi skrip drama TV “Love You Ustaz.

Majlis ASJ 2021 diteruskan dengan penerima Hadiah Kumpulan Puisi Remaja, iaitu Edawati Abd. Wahab bagi buku puisinya, Pahlawan, manakala Hadiah Kumpulan Puisi Kanak-kanak dimenangi oleh Nazim Mohd Subari bagi buku puisi Idolaku.

Majlis bertambah rancak dengan pengumuman hadiah bagi kategori buku persendirian. Kali ini, penerima Hadiah Kumpulan Puisi ialah Aminah Mokhtar untuk kumpulan puisi Berikan Aku Cantiknya Hati, penerima Hadiah Novel Kanak-kanak ialah Mohammad Nazry A. Salam untuk novel Misi Detektif Fateh: Perang Mental, penerima Hadiah Novel Remaja ialah Aminah Mokhtar untuk novel Ruyung Emas, dan penerima Hadiah Novel Dewasa ialah Faizul A. Rahim untuk novel Dendam Aduka. Sementara itu, acara kemuncak pengumuman penerima hadiah telah menamakan Tuah Fadhilah Ithnin sebagai penerima Hadiah Buku Autobiografi untuk bukunya, Visi Cari Tuah: Sebuah Memoir Autobiografi yang Belum Dicerita.

Bagi tahun ini, Anugerah Khas ASJ 2021 turut memilih Zaifulnizam Wagiran sebagai penerima Anugerah Penulis Muda Johor.

Majlis gilang gemilang ini turut diwarnai dengan acara pelancaran buku antologi puisi dan cerpen ASJ ke-11, Mentafsir Keberanian. Majlis turut menampilkan pameran khas, Pameran Shaharom Husain di Muzium Tokoh Johor, Johor Bahru bagi tokoh sasterawan, budayawan dan sejarawan besar Johor, Shaharom Husain. Beliau juga merupakan penerima Hadiah Karyawan Sastera Johor 2007 dan Anugerah Tokoh Budaya Negeri Johor 1991.

Tonton majlis penuh ASJ 2021 di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.