Oleh Nurimas SN
Diterbitkan pada 19 Januari 2026, 16:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nurimas SN mendapati Hadiah Sastera Berunsur Islam sudah lama tidak diadakan. Mungkin molek jika anugerah yang cukup ditunggu-tunggu ini dikembalikan pada tahun ini.

Dapatan kajian awal penulis menemui bahawa peraduan dan hadiah sastera berunsur Islam pernah dikuasakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama persatuan penulis peringkat negeri.

Antara anugerah, hadiah, sayembara dengan pertandingan, masing-masing menjadi suatu keghairahan kepada penggiat seni, sastera dan budaya tanah air. Memasukinya (tercalon, lebih-lebih lagi memenanginya) bukan sahaja menjadi kayu ukur akan mutu karya, malah inilah lubuk habuan lumayan yang boleh mengubah landskap hidup mereka.

Dalam sekelip mata, seseorang boleh berstatus jutawan hanya dengan menang satu anugerah. Atau mampu memulakan perniagaan gede hasil daripada hadiah sayembara atau anugerah tersebut. Namun begitu, tidak semua cabang seni ini mempunyai nasib serupa. Umum mengetahui bahawa penggiat seni kreatif, terutamanya penulisan buku sastera hanya mendambakan royalti hasil jualan karya mereka, sedangkan semakin banyak pula rumah penerbitan yang tidak lagi menyediakan honorarium. Lebih parah lagi apabila minat pada bahan tulisan dan membaca ini kian merudum, menyebabkan kerancakan penerbitan buku kian lesu.

Mengharapkan nilai honorarium atau royalti setiap kali karya tersiar pula tidaklah segah mana, malah tidak kekal pula, menjadikan anugerah dan sayembara itu sesuatu yang lebih dinantikan. Nilai tinggi dan besar sebagai ganjaran kepada pemenang bagi setiap sayembara atau anugerah, mahu tidak mahu menjadi salah satu pendorong para penulis kini berkarya.

Lanjutan daripada pelbagai pengiktirafan yang ada di negara kita dewasa ini, suka juga penulis membuat sedikit analisis. Hal ini bukanlah pula suatu penyelidikan yang lengkap, sekadar mahu menggugah ruang minda kita untuk berfikir sejenak. Dalam kajian ringkas berdasarkan carian di enjin Google dan tok guru maya tentang anugerah, penulis menemui dapatan seperti yang berikut:

  • Anugerah lagu dan muzik: Anugerah Era, Planet Muzik, Anugerah Shout, TAPAU, Era Digital Muzik Awards, Anugerah Industri Muzik (AIM), Anugerah Juara Lagu (AJL), Voice Independent Music Awards, Anugerah MACP, Anugerah Meletop (sepatutnya “Meletup”) Era, dan Anugerah Nasyid IKIM Malaysia (ada lagikah?).
  • Anugerah bagi penggiat seni: Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Anugerah Seri Angkasa (ASA), Anugerah Lawak Warna, Cameronian Arts Awards, Festival Filem Malaysia, Festival Teater Malaysia, Anugerah Oskar PPFM, Anugerah Skrin, dan Anugerah Seni Negara.
  • Anugerah sastera: Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Anugerah Sastera Negara, Anugerah Buku Negara, Anugerah Sastera Negeri (tidak semua negeri ada), Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (sekarang sudah tiada), Hadiah Sastera GAPENA-ESSO (dahulu).

Perkiraan ini tidak lagi dihitung dengan acara dan rancangan berbentuk realiti atau secara langsung yang dipertandingkan seperti Otai Masih Berbisa dan Tunjuk Ajarku Sifu atau yang seangkatan dengannya. Bilangannya kini kian bertambah dan hadiah makin lumayan.

Skop perbincangan dalam artikel ini hanya akan memfokuskan anugerah sastera Malaysia. Berdasarkan senarai anugerah mengikut tiga elemen utama seni negara, nyata berlaku semacam kesenjangan pada beberapa bahagian. Juga pertimbangan yang kurang stabil oleh mana-mana pihak, sama ada oleh kerajaan pusat, negeri, malah pihak berkuasa tempatan sekalipun, apatah lagi pihak swasta.

Dalam konteks anugerah atau hadiah ini pula, kita akan memberikan fokus yang lebih rinci tentang anugerah sastera Islam. Mungkin agak sinis kalau dikatakan, kita ini negara Islam, mengekalkan sebahagian besar perundangan Islam, memiliki prestij tersendiri di mata dunia tentang perjuangan islamisasi negara, namun mengesampingkan soal pengiktirafan perjuangan pena Islam.

Penulisan merupakan suatu dakwah yang menjurus pada kemenangan Islam dalam apa-apa jua bidang. Dengan ilmu penulisan Islam ini jugalah, usaha memberikan kefahaman tentang Islam menjadi lebih telus dan kudus. Tidak dapat dinafikan, penulisan buku atau makalah mengenai ilmu Islam sekian lama wujud dan berkembang biak di negara kita.

Hal ini berjangkit kepada penulisan karya sastera yang berunsur Islam atau berciri islamik. Sudah sedia dimaklumi juga, sastera Islam menjadi salah satu cabang ranah sastera itu sendiri. Malah, perdebatan dan muzakarah bab sastera Islam telah lama dipolemikkan, dengan tujuan memurnikan konsep dan kefahaman penulis terhadap sastera Islam itu sendiri.

Sejak dahulu lagi mauduk ini dibicarakan, hinggalah sekitar tahun 1982 pabila isu sastera Islam mencapai klimaks perdebatan oleh dua tokoh terkenal pada masa itu, yang tentunya penulis kontroversi Kassim Ahmad dan Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad. Era itu, semangat juang Islam bukan sahaja dirasai kerana bangkitnya revolusi Islam di Iran sekitar tahun 1978 – 1979, dan di beberapa tempat lain di serata dunia, bahkan indoktrinasi politik dan pendidikan Islam yang berlaku di dalam negara.

Kassim Ahmad yang dikenali sebagai insan berjiwa bebas dan agak radikal menggunakan platform politik untuk mengembangkan fahamannya mengenai sastera Islam. Beliau selalu menyemai doktrin yang agak kritikal dan melawan arus. Dalam konteks sastera Islam misalnya, karya Islam itu tidak semestinya ditulis oleh orang Muslim.

Sudah tentu hal ini agak canggung dan tidak dipersetujui oleh sebilangan agamawan. Lalu, Shahnon mempertahankan pendiriannya bahawa “sastera kerana Allah berhikmah untuk manusia” – sastera untuk beribadah kepada Allah, sudah semestinya ditulis oleh seorang yang beriman atau Muslim.

Namun dalam berkonflik itu, mereka juga mengakui bahawa falsafah Sastera Islam lebih tinggi martabatnya daripada konsep seni untuk seni atau seni untuk masyarakat yang dianuti oleh kelompok penulis ASAS 50 dan seangkatan dengannya sebelum itu. Hal ini mencetuskan satu lagi elemen sastera yang lebih tinggi, iaitu sastera Islam atau sastera berunsur islamik.

Pada sisi lain, perkembangan sastera Islam dijelaskan lagi oleh Shafie Abu Bakar yang cuba mengetengahkan teori sastera Islam Takmilah. Beliau mengutarakan Teori Pengindahan dan Penyempurnaan dalam Rangka Tauhid. Mungkin pada kesempatan lain kita akan bincangkan bab ini.

Maka, kian ujudlah karya-karya berunsur Islam yang disokong oleh barisan penulis muda dan mapan seperti Azizi Haji Abdullah, SN S. Othman Kelantan, SN Kemala, dan diikuti pula oleh penulis pewaris seperti Faisal Tehrani, Hasanuddin Md. Isa, Shamsudin Othman, Allahyarham Rahimidin Zahari, dan beberapa penulis lagi. Malah, novel Hasanuddin (Mereka yang Tertewas memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam 1998) telah dijadikan sebagai teks SPM (1991 – 2001) bagi Kesusasteraan Melayu dan diadaptasikan ke layar perak oleh sutradara Zulkeifle M. Osman pada tahun 2024. Hal ini juga menjadi kayu ukur bahawa karya berunsur Islam perlu diketengahkan kepada khalayak umum.

Jadi, karya sastera Islam ini telah makin berkembang dan menjadi sesuatu yang perlu disedari keberadaannya dalam ranah sastera kita, bukan sebagai tempelan dan menumpang, tetapi sebagai gandar utama yang selari dengan perkembangan islamisasi kerajaan Malaysia. Malangnya, soal pengiktirafan dan apresiasi kepada pejuang sastera Islam ini seakan-akan dipandang sepi. Malah, dalam sayembara sekali pun masih kelihatan ada ruang kosong yang tidak diisi oleh sastera islamik.

Dapatan kajian awal penulis menemui bahawa peraduan dan hadiah sastera berunsur Islam pernah dikuasakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama persatuan penulis peringkat negeri. Sekitar tahun 1970-an juga dicatatkan, telah ada anugerah dan sayembara seumpama itu. Cumanya, ketekalan dan istiqamah itu yang dipersoalkan.

Dasar Kontemporari

Soal sastera Islam nampaknya menjadi kian jelas senjang.

Berdasarkan senario semasa, jelas kepada kita adanya kelompangan antara ketiga-tiga elemen seni utama negara – muzik, seni lakon dan pementasan, serta sastera dan penulisan. Malah, jurang itu kelihatan semakin menjauh dari semasa ke semasa. Sedangkan dalam era kerajaan Malaysia MADANI dan sebelumnya juga menguar-uarkan soal integriti, antikorupsi dan menyemai karamah insaniah dengan lebih mendalam. Soal sastera Islam nampaknya menjadi kian jelas senjang.

Marcapada, dunia seni dan budaya kian heboh dengan pelbagai anugerah dan hadiah peringkat nasional dan negeri. Meriahnya anugerah tersebut hingga tidak pernah tercicir saban tahun diadakan.

Kalau tidak silap, pernah ada sekali dalam sejarah anugerah sastera Islam di Malaysia ini diadakan. Ulang semakan mendapati Hadiah Sastera Islam (HSI) mula diperkenalkan pada tahun 1981, dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri pada masa itu.

Namun begitu, kewujudannya hanya sejenak, sama juga seperti industri seni nasyid yang seakan-akan hilang pengiktirafannya. Dalam tempoh dua dekad ini, sudah pasti banyak perkembangan penulisan sastera berunsur Islam yang sudah berkembang di negara kita. Malah, semakin banyak sayembara dan peraduan menulis karya sastera berunsur Islam, sama ada di Semenanjung, bahkan di balik gugusan ancala Borneo. Hal ini tentunya dilihat secara sedar oleh pemerintah dan pengemudi payung susastera.

Apabila adanya sayembara dan diterbitkan para pemenangnya, maka akan banyaklah pula hasilnya. Oleh itu, karya berunsur Islam yang kian membiak ini sudah pasti perlu diberikan suatu skala pengiktirafan agar boleh menjadi pemangkin ke arah penglahiran karya baharu. Mengapa mesti diasingkan dengan lambakan genre lain? Boleh sahaja disekalikan dalam kategori karya sastera perdana umum. Maksud penulis, dengan memperkenalkan genre islamik untuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) mungkin.

Sebenarnya, sebelum menulis topik ini pun, penulis telah bertanya dan berdiskusi dengan beberapa orang penggiat sastera tanah air. Jawapannya pula ada pro dan kontra. Antara jawapan yang sinis ialah: buat apa adakan anugerah khas sastera Islam, kalau hanya menimbulkan kontroversi dan rasa tidak puas hati? Semua juri ada kroni dan pengikutnya masing-masing yang nanti akan naik mungkin nama yang sama sahaja!

Ada juga yang menempelak, apa istimewanya sastera Islam, hingga mahu mandiri dengan satu anugerah berprestij peringkat nasional? Sudah pasti hal ini zahir daripada mereka yang cetek pegangan agamanya. Akan tetapi, tidak terkecuali juga, ada kalangan cendekia Islam yang juga mengutarakan jawapan yang sama. Biarlah. Hal itu hal semua orang. Masing-masing punya premis untuk menyatakan bidasannya. Jadi, penulis teruskan juga menulis tajuk ini kerana berasa ada asasnya kita mewujudkan (atau mengembalikan) anugerah sastera islamik Malaysia.

Rasional Kewujudan Anugerah Sastera Islam  

Adakah implikasi kewangan ini menjadi antara hambatan yang mematikan hayat HBSI?

Terdahulu, penulis ada menyebut tentang anugerah sastera Islam yang pernah ditemui. Hadiah Sastera Islam (HSI) yang kemudian dirujuk sebagai Hadiah Sastera Berunsur Islam (HSBI) pula dijalankan dua tahun sekali, bermula tahun 1987. Seperti biasa dan sewajarnya, DBP mengambil prakarsa positif ini lalu berkolaboratif dengan Yayasan Pelajaran Islam (YPI), menganjurnya buat kali pertama. Bahagian Hal Ehwal Agama Islam atau BAHEIS di bawah Jabatan Perdana Menteri juga pernah terlibat menjadi penganjur.

Maka, suburlah bahan bacaan berunsur Islam di pelbagai terminal akhbar yang menjadi medium utama ketika itu. Lahirlah tokoh penulis mapan yang menguatkan pandangan dan ceritera berunsur Islam dan nilai murni sejagat yang sangat elok dijadikan panduan dan bacaan khalayak. Muncullah karya daripada tokoh yang sememangnya mempunyai asas pendidikan agama, termasuk Azizi Haji Abdullah, Husna Nazri, Hasanuddin Md Isa, dan Faisal Tehrani.

Antara antologi pemenang HSBI yang dihimpunkan termasuklah Virus Jihad, sebuah antologi cerpen dan puisi yang menampilkan karya yang bermutu dan menarik untuk diteladani. Cerpen dan puisi yang dinukilkan dalam buku ini boleh menjadi bahan bacaan basahan kepada pembaca yang ingin menyemai rasa dan nilai islamik. Teks drama “Angin Madinah” oleh Faisal Tehrani merupakan antara contoh karya yang memenangi HSBI. Teks ini juga diangkat sebagai pemenang dalam HSPM 2000/2001 dan mempunyai pengaruh kuat dalam perkembangan sastera Islam.

Malah, bukan sahaja mereka yang mempunyai akar dan asas pendidikan agama yang menulis karya berunsur Islam, bahkan mereka yang dikatakan berpendidikan sekular dan bukan Muslim juga turut terjebak dengan genre tersebut. Hal ini menggalakkan lagi persaingan secara sihat di samping menambahkan bilangan kumulatif karya berunsur Islam dan bernilai murni. HSBI kekal menjadi wadah penulis menyerlahkan kebolehan menukil karya berunsur islamik di tanah air kita untuk beberapa musim.

Secara ironinya, carian penulis dalam beberapa sumber mendapati bahawa HSBI terhenti kemeriahannya pada HSBI ke-13, sewaktu karya berunsur Islam kian berkembang. Pemenang edisi akhir ini seperti bagi kategori cerpen: Zulkifli Hamisan@Khair (“Taubat Al-Munawwarah” – Johan), Abd. Razak Adam (“Jalan” – Naib Johan) dan Amin Minhad (“Kenapa Air Laut Masin” – Ketiga) merupakan nama besar yang tercatat sebagai penerima anugerah HSBI. Nama lain yang turut menggegar termasuklah Hafizah Iszahanid (“Nama Saya Ling Mei Ling”), Norshah Aizat Shuaib (“Sang Penghukum”) dan Saifullizan Yahaya (“Menanti Tamu Istimewa”).

Kita juga pasti teruja akan nilai hadiah yang sangat lumayan ketika itu, seperti yang dianugerahkan kepada Nisah Haron (“Aset Istiqamah”) dan Hafizah Iszahanid, antara penerima HSBI edisi ke-12. Dengan hadiah kategori cerpen sebanyak RM5,000 (Johan), RM4,000 (Naib Johan) dan RM3,000 (Ketiga) dikira sangat berbaloi.

HSBI mengundang motivasi yang begitu tinggi dalam kalangan penulis untuk menyahut cabarannya. Begitu juga dalam genre puisi. Aminhad membawa pulang RM3,000 sebagai Johan. Jadi, adakah implikasi kewangan ini menjadi antara hambatan yang mematikan hayat HBSI?

Benar, habuan kewangan bukanlah matlamat utama seorang penulis. Apatah lagi karya berunsur Islam yang amat dekat dengan saranan dan falsafah sastera Islam yang bertujuan untuk berhikmah kerana Allah, sebagaimana ikhtisar daripada Shahnon Ahmad. Namun begitu, jika pelbagai anugerah hiburan dan genre seni kreatif lain boleh diteruskan saban tahun, malah bertambah pula penganjur dan habuannya, mengapa tidak HSBI?

Di mana wajaran pihak berwajib dan agensi pelaksana sastera, seni dan budaya negara meletakkan sastera Islam ini di makamnya? Walaupun mungkin menulis dengan tujuan berdakwah ini tidak mendambakan imbuhan dan balasan material sebagai tujuan utama, namun apakah peranan pihak berwibawa dalam usaha merangsang pertumbuhan kegiatan dakwah?

Mari kita berfikir secara matang dan terbuka. Andai pelbagai anugerah dan festival seni dan muzik tidak putus-putus diadakan sepanjang tahun, yang besar dan sederhana, oleh agensi kerajaan mahupun swasta, masakan tidak mampu dilakukan untuk sastera, walaupun imbuhannya dikurangkan?

Hal itu belum lagi mengambil kira pertandingan dan penganjuran pencarian bakat secara langsung pada semua peringkat; kanak-kanak, remaja, dewasa, malah warga emas! Syabas kepada kerajaan negeri di bawah bayu yang meneruskan legasi HSBI dengan menganjurkan Marhajan Persuratan dan Kesenian Islam bermula tahun 2012/2013. Program yang lebih bersifat sayembara itu dibuka juga kepada penulis Borneo dan Nusantara.

Walaupun ada juga dapatan mengenai anugerah atau hadiah sastera Islam dianjurkan oleh beberapa persatuan dan entiti kecil seperti Anugerah Buku Islam dan Anugerah Sastera Remaja Islam, namun amat terbatas cakupannya. Ironi juga ketika kita masih boleh menganjurkan festival dan anugerah berskala besar untuk khazanah seni yang lain, tetapi kita semakin memalapkan apresiasi seperti HSBI.

Dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia sekarang, telah banyak dana, sokongan dan dukungan yang diberikan pada perkembangan buku dan tulisan. Tambahan dana kepada DBP, GAPENA, PENA, dan badan-badan akademia lain semacam memberikan makna bahawa HSBI juga boleh dihidupkan semula.

Biarpun menurut Iqbah Hidayat Hamizul (2021) menyatakan bahawa Malaysia merupakan antara negara paling banyak menganjurkan hadiah sastera, beliau turut memetik hujah Presiden PENA, YBrs. Dr. Mohd Saleeh Rahamad yang menyatakan bahawa Malaysia merupakan antara negara di Asia Tenggara yang paling subur dalam program sasteranya. Oleh sebab itulah, Hadiah Sastera Berunsur Islam perlu dimasukkan dalam kalendar anugerah sastera tanah air.

HSBI bukanlah untuk kita, tetapi untuk kelangsungan sastera Islam demi menterjemah karamah insaniah ke arah berhikmah kerana Allah. Barangkali, dalam tahun ini atau tahun-tahun yang terdekat, Anugerah Sastera Islam Madani bakal menjadi realiti.

_________________________

Nurimas SN ialah nama pena Samiron Rahmat. Beliau turut menggunakan nama pena Lara Pesona dan S Amir On. Kelahiran Pontian, Johor. Genre penulisan merangkumi novel, cerpen, puisi, skrip drama, dan rencana. Nurimas telah menghasilkan lima buah novel, sembilan buah kumpulan cerpen, tiga buah kumpulan puisi dan kumpulan drama radio. Nurimas merupakan penerima Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2015/2016, HSKU 2017/2018, Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI) 2015/2016, 2017/2018, 2019/2020, dan 2021/2022, serta Anugerah Sastera Johor 2021/2022.Beliau salah seorang penerima hadiah Sayembara Menulis Puisi Islami 2024 anjuran GAPENA. Terkini, Nurimas memenangi Hadiah Utama (Cerpen) Hadiah Sastera Selangor 2023.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi