Diterbitkan pada 20 April 2026, 06:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seni sastera bukan sekadar hiburan yang menuntut penghasilan karya dihiasi dengan kata-kata indah, sebaliknya berperanan sebagai wahana yang mendidik pemikiran, emosi dan nilai kehidupan manusia sejagat menerusi pelbagai genre karya.

Pensyarah dan penyelidik di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), YBrs. Prof. Madya Dr. Kamariah Kamarudin berkata, fungsi sastera sangat besar selain bersifat strategik dalam membentuk ketamadunan bangsa dan negara.

“Yang paling penting, sastera itu sendiri tarbiah dan mendidik. Dua elemen ini harus dijadikan sebagai satu saluran atau landasan kesedaran serta kebertanggungjawaban seseorang penulis dalam berkarya.

“Islam telah meletakkan garis panduan. Maka, kita harus menulis dengan penuh keinsafan dan rasa bertanggungjawab. Bukan menulis semata-mata untuk komersial atau popular.

“Oleh hal yang demikian, gandingan sastera dan Islam itu harus sejajar dalam apa-apa jua karya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan peserta program Sarasehan Sastera: Ilmuwan, Teori dan Terapan (Siri 1) mengenai keberkesanan pendekatan sastera Islam dalam menyumbang kepada pengurangan Islamofobia terhadap masyarakat dunia.

Program anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) itu berlangsung di Rumah PENA dan disiarkan menerusi media sosial DBP, 18 April yang lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Kamariah berkata, bagi mendaulatkan sastera Melayu secara global, penulis seharusnya peka selain bijak mengangkat tema sejagat yang lebih mencabar, selaras dengan perkembangan semasa dunia.

“Sebab itulah saya katakan pada hari ini, berkarya bukan sekadar untuk keseronokan semata-mata, tetapi hendak melawan satu dunia yang mengasak dengan pelbagai perkara yang kita tidak terlawan sebenarnya.

“Jadi sastera ini memandu kita menulis untuk menyatakan suara kita, walaupun kecil namun ia menjadi penentu kepada kesedaran, kebertanggungjawaban serta amanah seseorang penulis,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan unsur-unsur tersebut sebenarnya telah terdapat dalam kebanyakan karya para penulis tanah air sejak sekian lama, sekali gus membuktikan bahawa tradisi kesusasteraan Melayu sarat dengan fungsi bertarbiah dan mendidik masyarakat.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi