Diterbitkan pada 22 Januari 2025, 16:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Muhammad Lutfi Ishak meneliti kembali kisah cinta yang tertulis dalam Symposium Plato dan sisi cinta yang lebih murni untuk dikenali. Tulisan ini disesuaikan kembali untuk penyiaran dalam kolum ini.

Objek cinta yang lebih tulus dan penting tidak sahaja berkait dengan sesuatu yang boleh dicerap oleh pancaindera, malah melangkaui indera kita yang lima.

Ketika Plato berdialog tentang cinta dalam Symposiumnya, figura Aristophanes bercakap dan memulakannya dengan sebuah dongeng Yunani. Menurut mitos tersebut, manusia asalnya terbahagi kepada tiga jantina, iaitu laki-laki, perempuan dan hermafrodit, iaitu manusia yang mempunyai kedua-dua organ pembiakan jantan dan betina. Setiap manusia pula mempunyai empat tangan, empat kaki dan satu kepala. Akibat gagah dan kuat, manusia menyerang dewa-dewa. Akan tetapi, dalam penentangan tersebut, manusia kalah teruk dan hampir dimusnahkan. Sebagai hukumannya, Zeus membelah manusia kepada dua bahagian. Sejak itu, manusia pun saling merindui bahagian mereka yang terpisah lalu sentiasa mencari pasangan masing-masing untuk kembali bersatu. Keinginan untuk menyatu itulah disebut sebagai cinta.

Sudah tentu, kisah di atas ialah dongengan Yunani Kuno. Dalam konteksnya, kisah tersebut boleh dinikmati sebagai satu cerita rekaan yang tidak mempunyai asas kebenaran. Cerita itu sendiri, secara faktanya karut, tetapi, secara maknawinya, mampu menggambarkan beberapa bahagian konsep cinta, laksana kolam yang membiaskan zahir bangunan di hadapannya. Malah, cara penyampaian secara perbandingan itu pula memperlihatkan cinta, pada waktu yang lalu, sentiasa disampaikan dengan indah dan cantik. Namun cinta, sebagai satu fenomena terkini, khususnya seperti yang digambarkan dalam produk budaya popular kontemporari, bukan sahaja diungkapkan secara polos dan kering, malah maknanya telah dikecilkan ke dalam satu pengertian sempit dan dangkal. Misalnya, dalam karya-karya sastera marginal, cinta hanya dilukiskan sebagai satu refleksi kehaiwanan, atau dalam perbincangan sains neuro, hanyalah satu tindak balas kimia dan saraf dalam sistem tubuh manusia. Sebab itulah, pengisahan cinta dalam karya-karya tersebut cuba menggambarkan hubungan sesama insan secara keterlaluan dengan penekanan terhadap aspek nafsu yang membuak-buak.

Bagi saya, situasi demikian ialah satu penzahiran yang lumrah dalam kebanyakan masyarakat manusia yang moden. Hal ini kerana, salah satu ciri utama kebanyakan masyarakat moden adalah untuk memberatkan aspek kuantitatif dan membelakangkan dimensi kualitatif. Maksudnya, yang ditekankan ialah aspek kecantikan luaran yang boleh dicerap dan meninggalkan kecantikan dalaman yang lebih abadi sifatnya. Padahal, objek cinta yang lebih tulus dan penting tidak sahaja berkait dengan sesuatu yang boleh dicerap oleh pancaindera, malah melangkaui indera kita yang lima.

Keindahan fizikal pula selalunya bersifat sementara dan cepat musnah. Misalnya, kecantikan tubuh seorang manusia akan hilang apabila menjelang usia tua. Wajah setiap individu akan berkedut dan kelihatan buruk apabila mula meninggalkan usia belia. Akan tetapi, keindahan yang tulus sering berkait rapat dengan sesuatu yang bukan fizikal sifatnya. Sebagai contoh, keindahan dalam karya agung manusia seperti Mathnawi oleh Jalaluddin Rumi al-Balkhi sehingga ke hari ini kekal dan terus dibaca dan diteliti oleh ramai orang. Begitu juga dengan tokoh-tokoh tertentu yang terus dicintai oleh manusia hari ini kerana akhlaknya. Cinta itu terus kekal dan terpelihara, biarpun jasad tokoh yang dicintai itu telah pun menjadi tanah.

Dalam hal ini, sudah pasti, cinta yang dimaksudkan melangkaui makna yang ada dalam kebanyakan karya sastera marginal, yang ditulis oleh penulis yang tidak mementingkan naratif besar dan begitu mendapat tempat dalam kalangan pembaca muda. Oleh sebab itu, saya kira, perbincangan tentang konsepsi cinta agak penting untuk diutarakan. Malah, perbincangannya harus kembali ke belakang, dengan merujuk ilmuwan yang bukan sahaja telah membincangkan hal demikian dengan luas dan mendalam, malah telah melihat fenomena cinta itu dalam pandangan alam yang benar. Salah seorang yang begitu jelas menghuraikan konsep cinta ialah ilmuwan besar, Imam Abu Hamid al-Ghazzali. Hal itu dibincangkan secara panjang lebar dalam kitab ensiklopediknya yang terkenal, iaitu Ihya Ulumiddin, khususnya pada bahagian al-Mahabbah wa al-Syawq wa al-Uns wa al-Ridha. Justeru, dalam ruang yang kecil ini, cukuplah digariskan beberapa perkara utama yang dinyatakan oleh al-Ghazali tentang cinta.

Al-Ghazali menyimpulkan cinta sebagai kecenderungan hati terhadap sesuatu yang menimbulkan kenikmatan dan kepuasan kepada diri.

Yang pertama, al-Ghazali menekankan bahawa kita hanya mencintai sesuatu yang dikenal. Jika kita tidak mengenali sesuatu itu, maka mustahil akan timbulnya cinta. Dalam kehidupan ini, kita mengenal tiga perkara, iaitu (1) sesuatu yang memberikan kenikmatan kepada diri, (2) sesuatu yang memberikan kesakitan kepada diri dan (3) sesuatu yang tidak menimbulkan sebarang kenikmatan atau kesakitan kepada diri. Oleh sebab itulah al-Ghazali menyimpulkan cinta sebagai kecenderungan hati terhadap sesuatu yang menimbulkan kenikmatan dan kepuasan kepada diri. Hal ini kerana kita tidak mencintai sesuatu yang memberikan kesakitan atau sesuatu yang tidak memberikan sebarang kesan kepada kewujudan kita.

Yang kedua, Al-Ghazali juga menegaskan bahawa setiap kenikmatan yang dicintai itu mempunyai ciri-ciri tertentu, sesuai dengan objek yang diketahui dan indera untuk mencapainya. Setiap indera menyalurkan satu jenis kenikmatan. Deria pendengaran hanya mampu menikmati bunyi-bunyi yang merdu. Penampakan secara zahir sesuatu yang cantik seperti lukisan yang bagus dinikmati oleh deria penglihatan. Bau-bau yang harum, seperti minyak wangi atau bunga-bungaan pula dinikmati oleh deria cium. Deria rasa pula mampu menikmati sesuatu yang enak seperti masakan yang lazat. Indera peraba pula mampu menikmati sentuhan-sentuhan halus dan lembut. Setiap objek yang dikenal dan dicapai oleh indera yang menimbulkan kenikmatan itu tadi, sudah pasti akan dicintai. Apa yang dimaksudkan oleh al-Ghazali di sini ialah naluri sihat manusia akan menyukai sesuatu yang memberikan kenikmatan, sesuai dengan saluran yang dapat dicapai oleh kelima-lima indera.

Namun begitu, al-Ghazali menegaskan bahawa terdapat kenikmatan yang lebih tinggi, yang tidak mampu dicerap oleh pancaindera, tetapi hanya mampu dicapai oleh deria keenam. Untuk menegaskan hujahnya, al-Ghazali memetik satu hadis yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW mencintai tiga perkara, iaitu wangi-wangian, wanita dan solat. Soalnya, solat bukanlah satu objek yang boleh dinikmati oleh kelima-lima pancaindera. Oleh itu, bagaimanakah kenikmatan solat itu dapat dicapai oleh Junjungan Besar? Jawapannya sudah tentu dengan deria keenam, yang menurut al-Ghazali dikenali sebagai hati, atau dalam beberapa keadaan lain ialah akal, nur atau mata hati (ainul bashirah). Justeru, di sinilah yang membezakan dan membuatkan manusia begitu istimewa berbanding haiwan kerana mereka mempunyai “alat pencerap” untuk menikmati dan mencintai sesuatu yang berada di luar pancaindera. Dengan hati atau mata batin, manusia mempunyai kemampuan untuk mengetahui sesuatu yang lebih cantik daripada kecantikan yang dapat dilihat oleh mata. Dengan hati, manusia dapat mencerap sesuatu yang lebih mengesankan berbanding lukisan yang tinggi nilai estetikanya. Malah, dengan hati, manusia dapat mencapai dan merasai keagungan Ilahi, yang sudah tentu tidak akan dapat digapai oleh pancaindera.

Penekanan al-Ghazali kepada kewujudan deria keenam atau mata hati dan fungsinya untuk mencerap keindahan yang tidak mampu dicapai oleh pancaindera sudah tentu bersifat keagamaan. Apabila cinta difahami sebagai kecenderungan terhadap kenikmatan dan kesenangan, maka, tidak ada kesenangan dan kenikmatan yang lebih agung daripada mengetahui nilai-nilai keagungan dan kebesaran Ilahi. Sebab itu, dalam karya-karya kesusasteraan agung, khususnya seperti yang ada dalam ketamadunan Islam, cinta yang menjadi tema utama bukan lagi cinta yang boleh digolongkan sebagai cinta keduniaan, yang alat utamanya ialah pancaindera. Sebaliknya, cinta yang mendasari karya-karya agung itu, ialah cinta yang sempurna, iaitu Cinta kepada Allah SWT. Dalam konteks inilah, rubai Maulana Jalaluddin Rumi al-Balkhi terjemahan Ibrahim Gamard dan Rawan Farhadi sedikit sebanyak memberikan satu nasihat yang sangat indah dan mendalam, khusus kepada mereka yang mahu “mencerap” Allah Yang Maha Sempurna dan Maha Indah:

……….[The Beloved said,] ‘I am Beautiful, so make yourself beautiful.
……….Accustom
yourself to Me and be unaccustomed to others.
……….Don’t be a drop,
but make yourself  an ocean.
……….
If you want to become an ocean, then annihilate the drop.

Buku IBDE kini menjual terjemahan kitab Ihya Ulumiddin dengan judul Menghidupkan Ilmu Agama dan boleh dibeli di sini.

_________________________

Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Beliau ialah Sasterawan Muda MASTERA 2023.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi