24 Januari 2024, 17:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dr. Khairul Nizam Zainal Badri menampilkan betapa dekatnya sastera kitab dan karangan agama yang berseni, seperti kitab Tafsir Al-Azhar Hamka terhadap penulisan sastera yang indah dan bermanfaat kepada masyarakat.

Seni yang terhasil daripada sastera menjelma dalam bentuk bingkisan kata yang dipersembahkan oleh sasterawan sebagai hadiah kepada masyarakat.

Sastera menurut pengertian yang diberikan oleh Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah bahasa yang digunakan dalam kitab-kitab yang bukannya terdiri daripada bahasa basahan. Dengan kata lain, sastera bukanlah bahasa pertuturan harian yang tidak begitu mementingkan unsur tatabahasa, kerana asas utama basahan ialah kefahaman antara penutur dengan pendengar. Sebaliknya, sastera mempunyai peranan yang lebih khusus, iaitu dengan membina insaniah dalam kehidupan manusia yang bertepatan dengan konsep modal insan bagi melahirkan bangsa yang mempunyai nilai-nilai kemanusiaan, bermaruah dan mempunyai jati diri yang tinggi.

Dengan menggunakan pendekatan sastera, proses pembinaan potensi diri lebih mudah diatur, dilentur dan dibentuk dengan sebaik mungkin selagi mana ia berjalan secara berterusan. Melalui renungan dan interaksi seni, sastera membangun peribadi manusia dengan cara mencintai keindahan dan kebenaran sehingga nilai sejagat yang bersifat kemanusiaan tercapai. Sastera menjadi wadah yang menakung peradaban bangsa sejak zaman-berzaman dan pada masa yang sama, memberi ruang dan peluang kepada manusia untuk memandang dunia saujana mata memandang.

Menurut Sabaruddin Ahmad (1921-2007), penggiat sastera dan pejuang bahasa asal Padang, Sumatera Barat, dalam karyanya berjudul Puntja Sastera Indonesia (Penerbit Saiful, 1963), sastera ialah manifestasi daripada gerak jiwa manusia yang wujud dalam pernyataan bahasa, yang pada hakikatnya, seni yang terhasil daripada sastera menjelma dalam bentuk bingkisan kata yang dipersembahkan oleh sasterawan sebagai hadiah kepada masyarakat. Sementara itu, sastera menurut B. Simorangkir Simanjuntak dalam Kesusasteraan Indonesia (Pembangunan, 1963) ialah cermin jiwa getar sukma pengarang yang tumbuh di tengah-tengah rakyat oleh rakyat untuk rakyat, yang menggambarkan suka duka, harap cipta dan kerja cipta rakyat.

Dalam kehidupan masyarakat Melayu, sastera menjadi identiti bangsa sehingga timbul profesion seperti penglipur lara, tukang cerita dan tok pawang, yang ada kalanya melampaui batas logik akibat berlakunya tokok tambah untuk menyedapkan cerita. Apa-apa pun, fungsinya tetap dikenang sebagai pemberi nasihat, penyampai motivasi dan pengkritik yang tidak statik, di samping pada masa yang sama mengajak masyarakat untuk berfikir dan menyelami sejarah sambil menghiburkan diri. Maka tidak hairanlah apabila medium ini menjadi sebati dan terlalu dekat dengan jiwa bangsa di Alam Melayu semenjak dahulu lagi.

Secara ringkas, sastera di Alam Melayu terbahagi kepada dua kelompok besar menurut acuan bentuk bahasa, iaitu sastera prosa dan sastera puisi. Dalam konteks kesusasteraan Melayu tradisional, bentuk sastera yang tergolong sebagai prosa termasuklah sastera rakyat, sastera hikayat, sastera epik, sastera panji dan perwayangan, sastera sejarah, kisah para nabi dan tokoh-tokoh Islam, sastera kitab, sastera undang-undang dan ketatanegaraan, dan kepustakaan ilmu tradisional.

Manakala bentuk sastera yang tergolong sebagai puisi adalah seperti pantun, syair, nazam, gurindam, seloka, teka-teki, peribahasa berirama, teromba, talibun, mantera, dan dikir, sebagaimana yang dinyatakan dalam artikel Portal Rasmi Jabatan Warisan Negara bertajuk “Kesusasteraan Melayu Tradisional” yang mengutip sumber daripada Kesusasteraan Melayu Tradisional (DBP, 2000).

Dalam konteks kesusasteraan Melayu Moden pula, sastera prosa ialah sastera yang ditulis dengan menggunakan tatabahasa mudah dan disusun dalam bentuk karangan dan lebih mudah difahami. Contoh sastera prosa ialah cerpen, novel, esei, biografi, ataupun skrip drama. Manakala sastera puisi didefinisikan sebagai hasil kesusasteraan yang dikarang tetapi dalam bentuk baris. Kebiasaannya bait-bait puisi merupakan jalinan bahasa yang berirama dan mempunyai maksud yang berlapis. Contohnya seperti sajak dan lirik lagu.

Barangkali atas dasar-dasar yang dinyatakan di atas, ulama dan pengarang terkemuka Alam Melayu yang terkenal dengan panggilan Hamka atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah (1908–1981) mengikat khalayak pembaca khususnya, atau masyarakat Melayu Islam umumnya, dengan menyuntik elemen sastera dalam sebahagian besar karyanya, termasuklah karyanya yang paling utama, Tafsir Al-Azhar.

Dengan adanya elemen tersebut, huraiannya menjadi lebih dekat dan terus melekat dalam hati. Tambahan pula, buku tafsiran ini ditulis dengan citra Melayu yang contoh dan konteks yang diberi penjelasannya adalah berkaitan dengan masyarakat dan budaya Melayu Nusantara. Uniknya, tafsir yang digarap oleh Hamka ini terdapat gabungan kesusasteraan Melayu Tradisional dan kesusasteraan Melayu Moden yang menjadikan kandungannya sentiasa segar kerana berhubung dengan realiti sosiobudaya masyarakat Melayu Nusantara. Hasil tafsirannya sesuai ditelaah oleh sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur dan dibaca tanpa jemu berulang-ulang kali.

Kepelbagaian elemen sastera mencakupi tradisional dan moden yang dimuatkan oleh Hamka dalam tafsir yang dikarangnya ini menyebabkan siri lengkap huraian dan penjelasan terhadap ayat-ayat al-Quran itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, bukan sahaja di Indonesia, malah di Malaysia, Singapura, Thailand, dan Brunei. Hal ini kerana, sejak dahulu lagi, sastera yang mengakar dalam tradisi masyarakat Melayu sentiasa menjadi dan dianggap sebagai wadah yang mampu menghadirkan kesedaran diri dalam kalangan orang-orang Melayu terhadap realiti.

Baca Bahagian Kedua Reaksi |

Tafsir Al-Azhar boleh dibeli di sini.

Kredit Gambar: Firus Fansuri

_________________________

Khairul Nizam Zainal Badri (Dr.) ialah tenaga pengajar di Pusat Pengajian Al Mansoorah, Puchong, Selangor. Beliau amat mendalami bidang sains sosial, pendidikan dan teknologi maklumat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.