Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDr. Khairul Nizam Zainal Badri menampilkan betapa dekatnya sastera kitab dan karangan agama yang berseni, seperti kitab Tafsir Al-Azhar Hamka terhadap penulisan sastera yang indah dan bermanfaat kepada masyarakat.
Maka dapatlah seseorang itu mengetahui betapa besarnya Rahman dan Rahim Allah SWT ke atas makhluk dan akan sirnalah rasa benci, dengki dan dendam yang bersarang dalam hati.
Terdapat beberapa elemen sastera yang boleh didapati dalam Tafsir Al-Azhar karangan Hamka. Pertama, esei yang mengisahkan hubungan antara manusia dengan haiwan yang juga mempunyai kaitan dengan riwayat hidup pengarang (Hamka) ketika menghuraikan ayat ketiga dalam Surah al-Fatihah yang bermaksud: “Yang Maha Murah, Yang Maha Penyayang”, sebagaimana yang dinukilkan oleh Hamka dalam Tafsir Al-Azhar Juzuk 1 (1990:74):
Satu kejadian yang pernah terjadi ialah seketika ayah dan guru saya Dr. Syaikh Abdulkarim Amrullah akan meninggal dunia. Ada seekor kucing dalam rumah beliau yang sangat dikasihinya. Biasanya beliau sendiri yang memberinya makan di piring yang khusus. Dan kalau beliau pulang dari mana-mana, beliau tanyakan kepada orang di rumah sudahkah si Manis diberi makan? Ketika beliau telah mula sakit payah, kucing itu duduk terus di dekat pembaringan beliau. Tetapi satu hal yang sangat ajaib kejadian. Sehari sebelum beliau meninggal, kucing itu hilang dari dekat tempat tidur beliau. Setelah hari sore, kucing itu tidak juga muncul dan beliau sudah mulai payah dan tidak menanyakan lagi tentang si Manis! Seketika orang menimba air sumur, kelihatanlah si Manis telah menjadi bangkai di dalam sumur itu. Kematian si Manis tidak diberitahukan lagi kepada beliau sebab beliau telah dalam sakaratil-maut. Pagi-pagi besoknya, sehari meninggal kucingnya, beliau pun meninggal.
Menurut Hamka, pengajaran daripada kisah tersebut terlihat dalam penelitian kasih sayang sesama makhluk, maka dapatlah seseorang itu mengetahui betapa besarnya Rahman dan Rahim Allah SWT ke atas makhluk dan akan sirnalah rasa benci, dengki dan dendam yang bersarang dalam hati.
Kedua, dalam peribahasa apabila Hamka menulis “arang habis besi binasa” ketika menghuraikan pangkal ayat ketujuh Surah al-Fatihah yang bermaksud “Jalan orang-orang yang telah Engkau kurniai nikmat atas mereka” sebagaimana yang tercatat dalam Tafsir Al-Azhar Juzuk 1 (1990:82–83). Hamka menggunakan peribahasa tersebut yang membawa pengertian pekerjaan yang tidak membawa hasil walau sedikit pun bagi menggambarkan keadaan kehidupan di dunia yang terlalu banyak jalan atau cabangnya. Tersilap memilih jalan menurut Hamka akan membawa kepada kerugian yang bukan kepalang, sebaliknya jika seseorang itu memilih jalan yang betul dan benar di atas landasan Tuhan, akan membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.
Peribahasa ditemui di merata-rata tempat dalam Tafsir Al-Azhar Juzuk 1. Sebagai contoh, dalam menggambarkan keperibadian orang-orang munafik ketika menghuraikan ayat ke-11 Surah al-Baqarah pada halaman 129 yang bermaksud “Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘Janganlah kamu berbuat kerusakan di bumi’, mereka jawab: ‘Tidak lain kerja kami, hanyalah berbuat kebaikan’”; Hamka memakai peribahasa “lempar batu sembunyi tangan” bagi merujuk sikap orang munafik yang berpura-pura menyokong pembangunan jasmani dan rohani yang dijalankan oleh Rasulullah SAW bersama-sama orang yang beriman, tetapi dalam diam berusaha merosakkan dan menghalang pembangunan tersebut kerana sakitnya hati mereka. Peribahasa “lidah yang tidak bertulang” disebut pula bagi merujuk tentang betapa orang-orang munafik pandai menyusun kata-kata agar kegiatan jahat mereka tidak diketahui oleh orang Islam yang lain.
Ketiga, hikayat lama yang dipetik oleh Hamka bagi menjelaskan maksud “bukan jalan mereka yang dimurkai atasnya” yang terdapat dalam ayat ke-7 Surah al-Fatihah. Hamka menulis:
Dalam hikayat lama ada disebutkan bahwa pada suatu hari seorang orang besar kerajaan datang menghadap raja bersama-sama dengan orang besar-besar yang lain, setelah masuk ke dalam majlis raja, maka baginda menunjukkan wajah yang girang dan tersenyum simpul melihat tiap-tiap orang besar itu, tetapi kepada seseorang baginda tidak melihat, entah karena lupa, entah karena sibuk. Maka sangatlah dukacita hati orang besar yang seorang itu, apakah baginda murka kepadanya, ataukah baginda tidak senang lagi. Maka setelah bubar majlis itu dia pun kembali pulang ke rumahnya dengan hati sedih, lalu diminumnya racun setelah menulis sepucuk surat yang diwasiatkannya supaya disampaikan ke tangan baginda. Di situ dia tuliskan: ‘Oleh karena Sri Paduka tidak berkenan lagi kepada patik, telah patik ambil keputusan menghabisi hidup patik. Karena tidak ada harga hidup lagi kalau Sri Paduka tidak berkenan lagi kepada patik, telah patik ambil keputusan menghabisi hidup patik. Karena tidak ada harga hidup lagi kalau Sri Paduka tidak senang lagi melihat patik’.
Menurut Hamka, jika begitu perasaan orang yang berkhidmat kepada raja pada ketika dia berasa raja tidak senang lagi kepadanya, maka betapa pula perasaan diri seseorang selaku hamba dan makhluk yang dicipta oleh Tuhan, seandainya Allah SWT murka kepadanya.
Keempat, penggunaan pepatah ketika mentafsirkan ayat ke-24 Surah al-Baqarah yang bermaksud “Maka jika kamu tidak dapat membuat, dan sekali-kali kamu tidak akan dapat membuat, maka takutlah kamu kepada neraka yang menyalakannya ialah manusia dan batu, yang disediakan untuk orang-orang yang kafir”. Hamka menggunakan pepatah “Kanji tak lalu, air pun tak lalu” bagi merujuk perbuatan manusia yang berusaha mencari pilihan lain semata-mata kerana tidak mahu meyakini kandungan al-Quran, sedangkan mereka tahu bahawa mereka tidak mampu menafikan kebenarannya. Akhirnya perkara tersebut akan membawa mudarat yang lebih besar bagi mereka yang tidak beriman dengan kandungan al-Quran. Maka, kata Hamka, dengan demikian mereka perlu bersedia mengharungi azab api neraka. Sebaliknya bagi orang-orang yang beriman yang mempunyai kesedaran dan patuh kepada kandungan al-Quran, maka mereka diberikan khabar gembira sebagaimana yang dinyatakan dalam Tafsir Al-Azhar Juzuk 1 halaman 142–143.
Pepatah juga turut digunakan ketika mentafsirkan hujung ayat ke-25 Surah al-Baqarah yang bermaksud “Dan diberikan kepada mereka akan dia serupa, dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci, dan mereka akan kekal di dalamnya”. Hamka memberi contoh pepatah Melayu seperti yang disebutnya dalam Tafsir Al-Azhar Juzuk 1 halaman 143 yang berbunyi: “Tidak ada lesung yang tidak berdedak” bagi merujuk sifat yang dimiliki oleh seorang perempuan dan juga isteri di dunia yang secantik mana pun dia atau berbudi mana pun dia, namun disebabkan oleh perempuan dan isteri itu manusia, maka sudah tentu dia tidak dapat lari daripada sikap yang menjemukan. Hal ini kerana kehidupan di dunia tidak terlepas daripada kekurangan dan kelemahan. Adapun, kehidupan di syurga berbeza apabila segala kecantikan dan keindahan itu kekal di dalamnya.
Kelima, pantun yang digunakan oleh Hamka bagi mengukuhkan kefahaman tentang maksud hujung ayat ke-29 Surah al-Baqarah, “Dan Dia terhadap tiap-tiap sesuatu adalah Maha Tahu”. Menurut Hamka, jangan sekali-kali dengan ilmu yang terbatas, diri mencuba membatalkan ayat dan ilmu Tuhan yang Ilmunya itu tidak terbatas. Kenyataan ini tambah Hamka selaras dengan pantun berikut, seperti yang terkandung dalam Tafsir Al-Azhar Juzuk 1 (1990:150–151):
Belayar ke pulau bakal,
Bawa seraut dua tiga,
Kalau kail panjang sejengkal,
Janganlah laut hendak diduga.
Keenam, menggunakan tamsil ketika menghuraikan hujung ayat ke-65 Surah al-Baqarah yang bermaksud “Maka kami firmankan: Jadilah kamu kera-kera yang dibenci” sebagaimana yang terdapat dalam Tafsir Al-Azhar Juzuk 1 (1990:214). Hamka memetik pandangan seorang mubaligh Minangkabau bernama Duski Samad yang memakai tamsil “beruk tua terpaut” bagi merujuk sifat beruk tua yang tidak lagi kuat untuk melakukan pekerjaan tetapi suka mengacau orang lalu-lalang dan mengambil makanan yang diberikan, walaupun perut telah kenyang. Pada masa yang sama ia suka meminta-minta walaupun makanan masih ada pada dirinya. Justeru sifat beruk ini sangat benci untuk dilihat kerana sudahlah tua dan tidak upaya membuat kerja, tetapi kuat pula makan dan meminta-minta makanan daripada orang lain. Dengan kata lain, sifat tidak sedar diri ini membuatkan orang lain menyampah untuk menyaksikannya.
Ketujuh, Hamka mengemukakan syair yang diterjemahkan daripada bahasa Arab ketika menyimpulkan pengajaran yang didapati daripada Surah al-Baqarah ayat 141 yang bermaksud “Mereka itu adalah suatu umat yang sesungguhnya telah berlaku; mereka akan mendapat apa yang mereka usahakan, dan kamu pun akan mendapat apa yang kamu usahakan, dan tidaklah kamu akan diperiksa perihal apa yang mereka amalkan”. Menurut Hamka dalam huraiannya pada halaman 322 Tafsir Al-Azhar Juzuk 1, adalah amat merugikan sekiranya umat zaman ini asyik menoleh zaman yang telah lampau sedangkan umat zaman ini sepatutnya perlu membuktikan bahawa mereka juga mempunyai kebolehan yang membanggakan, sebagaimana yang terkandung dalam syair yang telah dinukilkannya:
Orang muda sejati ialah yang berkata: Inilah Aku,
Bukanlah orang muda sejati orang yang berkata: bapaku dahulu begini dan begitu.
Rujukan
Hamka, 1990. Tafsir Al-Azhar: Juzuk 1 – 30. Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd.
Baca Bahagian Pertama Reaksi |
Tafsir Al-Azhar boleh dibeli di sini.
Kredit Gambar: Firus Fansuri
_________________________
Khairul Nizam Zainal Badri (Dr.) ialah tenaga pengajar di Pusat Pengajian Al Mansoorah, Puchong, Selangor. Beliau amat mendalami bidang sains sosial, pendidikan dan teknologi maklumat.