Diterbitkan pada 17 Julai 2025, 06:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Karmila Azmi memberikan reaksi tentang beberapa perbincangan di media sosial selepas keputusan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022.

Kita mengalu-alukan juri di luar bidang, namun mereka perlulah tahu kenal dan mahir selok-belok sastera. Jika mereka menghakimi berdasarkan pengalaman membaca naskhah tahun 1970-an atau 1980-an, mereka sebenarnya juri yang gagal.

Perbincangan pasca Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) begitu hangat, apatah lagi dengan laporan pandangan-pandangan juri yang kelihatannya sukar diterima oleh segelintir penulis.

Hal ini bukanlah luar biasa kerana HSPM memang selalu mengundang perbincangan hangat sejak dahulu lagi.

Dari satu segi, perbincangan itu sebenarnya mempersoalkan kualiti juri. Hal ini memang perlu diperkatakan kerana berdasarkan senarai juri yang menghakimi HSPM, ada segelintir yang boleh ditanyakan dengan soalan “Siapa itu?”

Soalan “Siapa itu” bukan menafikan kepakarannya, tetapi menanyakan kedudukannya dalam dunia sastera. Betul, sastera tidak boleh ditutup dan eksklusif kepada orang sastera sahaja, malah ramai juga yang menolak prinsip art for art’s sake yang pernah muncul di Eropah pada abad ke-19.

Jadi, kita mengalu-alukan juri di luar bidang, namun mereka perlulah tahu kenal dan mahir selok-belok sastera. Jika mereka menghakimi berdasarkan pengalaman membaca naskhah tahun 1970-an atau 1980-an, mereka sebenarnya juri yang gagal. Apatah lagi jika mereka gagal membaca atau menamakan penulis mapan dalam kategori yang mereka hakimi.

Sebahagian juri memang diketahui kemahiran dan pengalaman mereka, namun ada yang lain disifatkan terlalu baharu, masih perlu diukur kelayakannya. Apatah lagi kerjaya mereka bergelumang dengan akademik semata-mata, tidak ada pengalaman menulis karya sastera.

HSPM ialah penganugerahan prestij yang memerlukan juri mahir dan kenal karya dan paling utama ialah juri yang membaca. Misalnya, apakah maksud “penulis muda”? Adakah mereka akan menghitung usia penulis atau usia kepengarangan penulis?

Oleh itu, betapa pentingnya senarai juri diumumkan. Juri sebetulnya tidak juga salah memilih kerana mereka memilih berdasarkan pengalaman pengetahuan dan cita rasa mereka. Namun begitu, apabila “cita rasa” mereka itu tidak selari dengan zaman, di mana silapnya?

Namun begitu, satu hal yang lebih penting, HSPM bukan pertandingan. HSPM ialah pengiktirafan kepada karya yang diterbitkan dalam tempoh tahun pemilihan. Jadi, meskipun mungkin karya itu menang sayembara besar, di mata juri karya itu mungkin tidak cukup kuat.

Oleh sebab itu, HSPM ialah pengiktirafan dan bukan pertandingan. Penulis juga perlu berlapang dada dengan keputusan yang diumumkan. Janganlah berasa karya anda terlalu hebat sehingga gagal menerima ketentuan rezeki. Membina nama dalam sastera bukan mengambil masa sehari, sebaliknya memakan masa bertahun-tahun dengan syarat anda konsisten menulis dan karya anda juga meningkat.

Hal ini penting kerana ada orang yang sudah menulis berpuluh tahun, tetapi mengeluh tidak pernah menang apa-apa pengiktirafan, malah karya mereka kerap ditolak oleh editor tanpa dia mahu menyemak karyanya sendiri yang nyata masih di takuk lama.

Dalam konteks yang lebih jelas, HSPM mungkin perlu memulakan perubahan dari segi pemilihan juri. Campuran yang lama dan baharu sangat dialu-alukan. Pilihlah yang berwibawa dan berpengetahuan luas, bukan yang masih tersangkut dalam kewibawaan masa lalu. Sebaiknya, pilih mereka yang kritis membaca dan bonus jika mereka juga penulis.

Apabila meninjau pengiktirafan di luar negara, selain sarjana, panel juga dilantik dalam kalangan editor akhbar dan majalah yang khusus dalam sastera. Mereka ini ialah golongan yang lebih mengenal karya dan penulis kerana bergelumang dengan pelbagai genre hampir setiap bulan.

Mungkin juga pihak yang bertanggungjawab boleh menjemput penerbit yang berwibawa, yang diketahui mempunyai pengalaman dan kepakaran yang sepadan.

Perbincangan hangat pasca HSPM 2021/2022 tidak akan mengubah keputusan. Perbincangan yang berlangsung sekadar lontaran pandangan untuk tujuan pembaikan. Hal ini tentu sahaja baik, kerana umumnya, masyarakat sastera mahu yang terbaik daripada HSPM kerana HSPM berperanan sebagai penanda aras pada kualiti karya yang diterbitkan dalam ranah penerbitan sastera tempatan.

_________________________

Karmila Azmi penulis bebas dan penyelidik sastera.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi