Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAdib MN memberikan sepatah dua fikirannya tentang polemik Hadiah Sastera Perdana Malaysia baru-baru ini.
Sekurang-kurangnya sastera Malaysia masih berada dalam radar kesedaran dan keprihatinan khalayaknya, walaupun mungkin kehadirannya tidak dipedulikan oleh masyarakat umum …
Pepatah “rumah siap pahat berbunyi” bukanlah satu ungkapan yang negatif sepenuhnya apabila merujuk anugerah dan hadiah sastera, tidak kira di dalam negara mahupun di luar negara. Hal ini juga bermakna bahawa syarat yang membawa makna penafian atau disclaimer “keputusan hakim adalah muktamad, sebarang bantahan tidak akan dilayan” tidaklah memberikan imuniti kepada juri, hanya sahaja “peserta yang kalah tidak boleh membawa kekalahannya ke meja pengadilan”.
Keputusan anugerah dan hadiah sastera mestilah terbuka pada kritikan tidak kira yang sering disolekkan dengan kata-kata pemanis tetapi penuh gula beracun “berilah kritikan membina, bukan kritikan menjatuhkan”. Realitinya, kritikan tidak akan menjatuhkan nilai penghakiman sekiranya jurinya terlebih dahulu memiliki kredibiliti atau autoriti atau apa-apa yang diputuskan tidak disamarkan dengan penilaian yang bersifat kekaburan dan berselindung di sebalik istilah-istilah ketaksaan.
Oleh itu, polemik dan kritikan yang menyusul selepas Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022 tidaklah membawa konotasi negatif, seperti pepatah “rumah siap pahat berbunyi” itu, sebaliknya menjadi penunjuk, sekurang-kurangnya sastera Malaysia masih berada dalam radar kesedaran dan keprihatinan khalayaknya, walaupun mungkin kehadirannya tidak dipedulikan oleh masyarakat umum.
Cuma, kita perlu mempersoalkan, mengapakah ada karya-karya yang menang dipertikaikan atau dikritik? Sudah tentu dari segi substansi karya, panel juri akan memiliki seribu satu alasan penghakiman untuk memilih cerpen, puisi, drama, atau esei si A, bukan yang lain atau mengangkat novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, kumpulan drama, dan kumpulan esei/kritikan penulis si Z. Walaupun kita tidak setuju dengan hujahnya, sama ada kerana kekaburan dan keumuman atau alasannya melucukan dan melahirkan lebih banyak tanda tanya, kita tetap perlu menerimanya.
Hal ini mungkin sahaja berpunca daripada pandangan alam yang berbeza – saya terbaca ada yang menyebut mengenai tidak semestinya karya itu perlu “Islami”, tetapi hairannya, Islam ialah asas penting pada Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan adakah hal ini bermakna karya perlu “tidak terlalu Islami” baru boleh diiktiraf, yang kalau begitu, kita ucapkan selamat membaca kepada yang menghargai Mathnawi. Atau boleh jadi sahaja tahap keintelektualan, penghargaan dan pengetahuan pada nilai estetika karya berbeza. Hal ini tentu menjawab mengapa karya yang dianggap sebagai “biasa” atau “salah” tiba-tiba dianggap sebagai unik dan hebat kepada panel. Semua ini boleh menjadi tembok pelindung kepada juri untuk mempertahankan penilaiannya.
Dari segi penilaian, kita tidak dapat memberikan cadangan penyelesaian kecuali menyeru penganjur atau mana-mana institusi yang menganjurkan sayembara untuk memilih panel juri daripada kalangan sasterawan dan sarjana sastera yang memiliki kredibiliti serta autoriti selain “selera” estetika yang tinggi, bukan semata-mata melihat tokoh yang sudah biasa dihubungi atau dalam jangkauan yang mudah.
Walau bagaimanapun, dari segi mekanisme penilaian, kita sebagai entiti dalam khalayak sastera boleh memberikan cadangan penyelesaian berdasarkan perkara yang menjadi amalan banyak dalam hadiah buku atau sastera peringkat antarabangsa.
Paling mudah, kita boleh melihat mekanisme ini digunakan dalam Hadiah Booker dan Hadiah Booker Antarabangsa, Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin, dan Anugerah SEA Write untuk peringkat Thailand.
Sudah ramai pengarang yang menyarankan mekanisme yang memperkenalkan juri terlebih dahulu dan menyediakan senarai panjang serta pendek yang bukan sahaja boleh memberikan nilai komersial, baik kepada penganjurannya mahupun karyanya, bahkan boleh melibatkan khalayak pembaca untuk melihat sejauh mana sesuatu karya itu layak dinilai dan mencetuskan polemik sekiranya pemilihannya tidak mencapai standard tinggi. Pasti karya sastera, meskipun bersifat subjektif, akan ada juga tanda-tanda yang lebih konkrit dan objektif berdasarkan kesepakatan ramai.
Mekanisme senarai panjang dan pendek ini memang tepat untuk digunakan dalam konteks penilaian karya yang sudah diterbitkan, sama ada dalam bentuk buku, siaran dalam akhbar dan majalah. Paling mudah, kita boleh melihat mekanisme ini digunakan dalam Hadiah Booker dan Hadiah Booker Antarabangsa, Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin, dan Anugerah SEA Write untuk peringkat Thailand.
Sudah tentu sekiranya sayembara karya belum diterbitkan, cara ini tidak sesuai untuk diamalkan. Dalam hal ini, penerbitan karya terpilih yang tidak menang boleh menggantikan “mekanisme” yang lebih adil untuk menilai tahap penilaian juri.
Cara sebegini sebenarnya dapat membentuk polemik dan kritikan serta menghalakannya ke arah yang lebih bermanfaat kepada penganjur, panel juri, penulis, mahupun khalayak pembaca dan masyarakat umum.
Malah, dengan dana besar yang diperoleh Dewan Bahasa dan Pustaka saban tahun, seperti yang diumumkan dalam belanjawan, tidak ada sebab mengapa hal ini tidak boleh diadakan. Apatah lagi sekiranya manfaat berganda dapat diraih berbanding kos yang terpaksa dibelanjakan, mungkin untuk majlis pengumuman, promosi di media dan sebagainya.
Kalau tidak, kita akan selama-lamanya akan mendengar “rumah siap pahat berbunyi”, tetapi implikasinya menyakitkan penganjur sendiri, mendedahkan kelemahan juri dan menghilangkan semangat pengkarya, tetapi pada masa sama masyarakat terus tidak mempedulikan karya kesusasteraan tanah air.
______________________________
Adib MN ialah eseis dan pengarang kreatif yang mengamati sastera dari jarak dekat.