Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNaim al-Kalantani memberikan pandangannya terhadap Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia tentang penilaian terhadap karya dramanya yang berjaya melepasi senarai akhir.
Akhirnya, mungkin lebih baik keputusan dibuat begitu …
HANG TUAH: Ini apasal ni Hang Tuah yang kena tikam ni?
HANG JEBAT: Bang, ini cerita baru, bang. Asyik Jebat je yang kena tikam.
— Mencari Ramlee, 2025
Karya Talbis Tuah asalnya merupakan sebuah skrip drama pentas bangsawan yang saya tulis untuk memenuhi keperluan kursus Penulisan Skrip Tradisional pada semester kedua, Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif di ASWARA.
Skrip tersebut melalui beberapa fasa perubahan dan sesi sparring bersama-sama pensyarah kursus ketika itu. Selepas memperoleh markah cemerlang—dan kebetulan pula ketika itu era COVID-19 yang membuatkan saya banyak masa terluang di rumah—saya mengambil keputusan untuk membukukan skrip tersebut secara swaterbit.
Boleh dikatakan hampir 90 peratus proses penerbitan saya lakukan sendiri, kecuali rekaan kulit buku yang saya upah seorang sahabat. Jualannya agak perlahan, namun kini hanya tinggal beberapa naskhah sahaja di tangan saya.
Sekurang-kurangnya dua kali pelajar teater ASWARA pernah meminta skrip ini untuk dijadikan asas pementasan, tetapi setakat yang saya tahu, belum ada yang diluluskan.
Masih saya ingat ketika menghadiri Kuala Lumpur Alternative Bookfest (KLAB), saya berbual dengan seorang penulis. Katanya, saban tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak banyak menerima penyertaan skrip drama pentas, maka kalau ada karya sebegini, lebih baik dihantar sahaja untuk pencalonan. Beliau menambah, “Seingat saya, tahun yang sama dengan Talbis Tuah kau itu ada juga skrip Anwar Ridhwan, Kumpulan Drama Pentas Rumah Septuagenerian.”
Memandangkan masih ada stok naskhah, saya pun menghantar sejumlah buku Talbis Tuah kepada DBP untuk pencalonan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022. Jujurnya, saya tidak mengharap apa-apa, kecuali sekurang-kurangnya karya ini disebut dalam laporan juri—walaupun saya tahu hampir mustahil untuk menang.
Pada 25 Ogos 2025, laporan juri telah dikeluarkan. Betapa terkejutnya saya apabila mendapati bahawa Talbis Tuah merupakan satu-satunya skrip drama pentas yang layak sebagai finalis—tetapi akhirnya tetap kalah. Anehnya, kekalahan ini membuat saya berasa bangga.
Daripada sembilan buah buku drama yang diterima, dua tersingkir awal kerana tidak menepati kategori. Tinggallah tujuh buah, lalu enam lagi digugurkan atas faktor panjang karya dan tarikh penerbitan. Maka, hanya Talbis Tuah sahaja yang tinggal. Walaupun menjadi finalis tunggal, keputusan juri tetap memutuskan tiada pemenang dalam kategori ini.
Laporan juri memberikan dua sebab utama mengapa naskhah ini tidak menang. Pertama, mereka berpendapat bahawa identiti “drama bangsawan” dalam Talbis Tuah tidak jelas. Menurut mereka, drama bangsawan harus menampilkan ciri-ciri seperti lagu tarik nasib, unsur tasmat dan extra-turn. Namun begitu, laporan menyebut bahawa semua ini kurang jelas dalam naskhah saya.
Setahu saya, lagu tarik nasib memang ada, iaitu ketika watak Tun Fatimah bernyanyi. Unsur tasmat juga saya sisipkan, misalnya adegan perasapan keris oleh Laksamana Hang Tuah dengan cahaya keris dan bacaan mantera. Bagi unsur extra-turn, sepanjang pengajian saya difahamkan yang hal itu opsyenal—boleh dimasukkan atau diserahkan kepada kreativiti tauke panggung untuk menyelitkan nyanyian, silap mata atau sebagainya.
Mungkin juga saya tersilap. Saya akui pengetahuan saya tentang bangsawan terbatas—sekadar beberapa kali menonton dan belajar dalam tempoh singkat. Maka mungkin benar hujahan juri bahawa elemen itu “tidak jelas”.
Kedua, juri menyebut soal “kesahihan fakta subjek”. Di sinilah saya benar-benar keliru. Sejak bila “kesahihan fakta” menjadi kayu ukur utama sebuah skrip bangsawan? Apakah juri menilai naskhah ini seolah-olah sebuah manuskrip klasik yang wajib sejajar dengan catatan sejarah Kesultanan Melaka?
Benar, saya ada merujuk Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Tuhfat al-Nafis, dan Hukum Kanun Melaka. Namun begitu, sekuat mana pun rujukan dibuat, akhirnya skrip ini tetap sebuah karya fiksyen sejarah.
Apabila saya menghasilkan sesebuah karya kreatif, saya mengandaikan semua pembaca saya ialah orang bijak pandai. Mungkin Talbis Tuah tidak punyai sebarang kekuatan langsung, dan saya tidak kisah pun. Dan, apabila naskhah yang tiada sebarang kekuatan ini digandingkan dengan Menyerahkan Seorang Puteri (skrip drama pentas) karya Zakaria Ariffin; Tak Melayu Hilang di Dunia (novel) karya A. Samad Ahmad; Wangi Jadi Saksi (skrip drama pentas) karya U-Wei Haji Saari; bahkan Hang Jebat (filem) tulisan Ali Aziz; semua ini ada satu hal yang perlu difahami sebagai interpretasi semula terhadap sejarah. Mengatakan hal ini gagal kerana “timbul persoalan tentang kesahihan peristiwa dan watak-watak” ialah sesuatu yang agak janggal.
Saya memetik ulasan Pheobe dalam Tunas Cipta (September 2023):
Dengan menggunakan creative license, Naim al-Kalantani telah mencipta sebuah dunia tentang Hang Tuah dengan sisi hitamnya semasa menjadi laksamana di Melaka selepas peristiwa amuk Hang Jebat.
Kefahaman Pheobe saya kira lebih matang ketimbang juri. Dengan lesen kreatif inilah saya membina semula watak Hang Tuah. Bahkan, tulisan akademik Kassim Ahmad (Characterisation in Hikayat Hang Tuah) dan Shaharuddin Maaruf (Concept of A Hero in Malay Society) juga menunjukkan bahawa tafsiran terhadap teks sejarah boleh berbeza-beza. Sejarah tidak berubah, tetapi tafsiran terhadapnya sentiasa boleh digugat.
Saya tidak kisah jika tafsiran saya dianggap lemah. Akan tetapi, menyandarkan “kesahihan fakta” sebagai hujah penolakan naskhah kreatif jelas tidak adil.
Ada juga andaian nakal saya: mungkinkah kekalahan ini kerana karya Sasterawan Negara yang turut bertanding digugurkan, lalu agak janggal jika seorang “Naim yang entah siapa” muncul sebagai pemenang?
Mungkin juga juri memang berat sebelah—menjadi peminat setia Hang Tuah? Mungkin mereka menyucikan Hang Tuah sebagai pahlawan tanpa cela walaupun dalam hikayatnya, ada beberapa peristiwa yang boleh dipersoalkan dan bertentangan dengan agama dan adat.
Akhirnya, mungkin lebih baik keputusan dibuat begitu—tiada pemenang. Saya memahami HSPM bukan sekadar pertandingan, tetapi sebuah “hadiah”. Dan, seperti sifat hadiah, hal itu berhak diberikan … atau tidak. Sebagaimana interpretasi sejarah, hal ini sama dengan interpretasi terhadap laporan juri, yang juga senantiasa boleh digugat.
_________________________
Naim al-Kalantani merupakan graduan ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem. Kini, dia menyambung pengajian di peringkat sarjana seni kreatif di tempat yang sama.