Oleh Jack Malik
Diterbitkan pada 30 Julai 2025, 14:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jack Malik menyatakan bahawa terdapat pelbagai sentuhan cara dan bacaan untuk menilai kebijaksanaan sesebuah puisi. Hal ini merupakan susulan daripada polemik Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022.

Namun begitu, masalah timbul apabila ada yang berasakan cita rasa mereka lebih baik daripada cita rasa orang lain.

Dalam esei sebelum ini, saya ada sentuh sedikit mengenai selera. Saya percaya selera—khususnya cita rasa—terbentuk daripada rampai sari pengalaman, pengamatan dan perenungan terkumpul seseorang.

Sedikit sebanyak, tidak boleh lari daripada hakikat bahawa hal berikut turut mempengaruhi penilaian kita, baik sebagai pembaca umum yang menikmati bacaan masa senggang, pengkritik membina jagat kefahaman melalui analisis teliti, mahupun sang juri menentukan merit dan menempatkan sesuatu karya pada tangga kedudukan yang diperuntukkan.

Dalam bahasa mudah, orang akan minat dan suka apa yang mereka minat dan suka. Di sini, minat juga boleh diterjemahkan sebagai peduli. Demikian, hal itu jelas. Namun begitu, masalah timbul apabila ada yang berasakan cita rasa mereka lebih baik daripada cita rasa orang lain.

Puisi konkrit T. Alias Taib, “Sepi”, bagi saya merupakan antara karya paling tuntas menggambarkan subject matter kesepian. Puisi itu tanpa kata-kata. Hanya blok hitam di sebuah halaman kosong.

Aliff Awan pernah menginterpretasikan puisi ini dalam acara #DudukBincang: T. Alias Taib anjuran bersama Gadis Buku, Bilik Penyair dan Penerbitan Langit. Dalam acara tersebut, Aliff menyuntikkan elemen seni laku dengan menginterpretasikan “Sepi” melalui sebuah persembahan (bacaan?) tanpa bunyi atau suara. Hanya dia dan para penonton dalamkesepian”, masing-masing duduk bersama-sama sambil “menghayati” apa-apa yang T. Alias Taib cuba sampaikan.

Adakah puisi ini perlu dipanjangkan ke medan falsafah dan metafizik? Tidak salah jika mahu, cuma secara peribadi—izinkan saya meminjam percakapan Gen-Z—“it’s really not that deep, bro.” Andai ingin juga dipanjangkan, saya kira lebih utama dan bermanfaat untuk dibangkitkan wacana tentang bagaimana penyilangan disiplin memperkaya dunia seni.

Jika ada yang tetap berdegil untuk mengaitkan sajak ini dengan falsafah dan kebijaksanaan pemikir terkemuka, maka “Sepi” T. Alias Taib mengingatkan saya pada petikan Ludwig Wittgenstein yang lebih kurang berbunyi: “Apa yang tidak boleh diungkapkan harus dibiarkan tidak terungkap.”

Ramai pemuisi berkongsi semangat ini. Proses pengungkapan ketidakterungkapan ada kalanya berat. Hampir mustahil. Maka, ada yang memilih untuk membiarkan begitu sahaja. Ada juga enggan menyerah di hadapan kebungkaman. Sebab inilah puisi dan pemuisi wujud.

Jack Kerouac memberitahu kita, suatu hari nanti, beliau akan menemui kata-kata paling tepat dan kata-kata tersebut mudah sahaja. Mungkin bagi T. Alias Taib, “kotak hitam” itulah cara paling mudah baginya untuk menggambarkan apa yang beliau ingin ungkapkan dengan tepat—walaupun tanpa sebarang perkataan atau huruf. Akan tetapi, bagaimana pula dengan pandangan orang lain?

Sokong atau Sanggah?

Kesepian bukan sesuatu yang asing dalam kepenyairan tanah air kita. Jika Latiff Mohidin muncul dengan mempamerkan kesepian melalui susunan bahasa puitis (lihat puisi “Songsang”, “Tenang Telah Membawa Resah” dan lain-lain), T. Alias Taib hadir dengan penyilangan disiplin yang menggabungkan dua genre seni berbeza (lihat juga “Maya” dan “Di Parlimen”). Hasilnya, sebongkah “kesepian” dengan seribu tafsiran.

Walau bagaimanapun, jika kita lihat “Sepi” T. Alias Taib dengan kaca mata dogmatik, sudah pasti ketakjuban puisi ini lesap. Dalam prakata kumpulan puisi Aan Mansyur, Melihat Api Bekerja, Allahyarham Sapardi Djoko Damono memberitahu:

Sastra baru bisa disebut ‘sastra’ kalau sudah disusun dalam aksara, ‘sastra’ ialah aksara. Ketika masih berujud bunyi tentunya yang sekarang kita sebut sastra tidak disebut ‘sastra’ sebab bunyi bukan aksara. Masing-masing berurusan dengan pancaindera yang berbeda: bunyi adalah urusan telinga, aksara berurusan dengan mata.

Maka, dengan logik Sapardi, “Sepi” T. Alias Taib bukanlah sastera walaupun masih sesuatu yang “berurusan dengan mata”.

All’s fair in love and war” bilang Shakespeare. Selain cinta dan perang, kritikan juga wajar mencapai suatu matlamat (Kebenaran? Keobjektifan? Kefahaman?) tertentu. Jika kita mengambil pendekatan Sapardi atau mana-mana pandangan yang lebih harfiah bahawa “sastera” ialah aksara atau penulisan, tidak hairan kalau ada yang menyanggah mutu dan nilai puisi “Sepi”.

Pengkritik wajar membawa hujah masing-masing keluar dan disorot oleh tatapan khalayak agar hayat sesuatu karya itu dipanjangkan di wadah perbincangan dan hasilnya dimanfaatkan oleh semua pihak. Namun begitu, sebuah kritikan—sepadat dan kemas mana sekalipun—adakala masih pincang dek terlepas pandang beberapa hal yang jelas dan lurus?

Dongeng dan Penceritaan Semula

Dari sudut kemahiran, bahasa Zurinah memang ringan dan tidak berbunga. Hal ini sudah pun dijelaskan sebab-musababnya oleh beliau sendiri.

Sajak eceran Sasterawan Negara (SN) Zurinah Hassan yang memenangi HSPM 2021/2022 merupakan antara (atau satu-satunya?) karya daripada anugerah ulung itu yang hangat dibincangkan selepas tamat majlis penganugerahan.

Ringkasnya, sajak itu merupakan penceritaan semula Dongeng Aesop. Ada yang mengaitkan etos cerita “Kura-kura dan Arnab” itu serupa dengan kisah pertembungan antara para nabi dengan para taghut; ada juga menganggap bahawa sajak tersebut semata-mata membawa naratif kemuliaan palsu dan megah diri bertopengkan pencerahan akal dan rendah diri.

Penceritaan semula bagi saya ialah suatu cara seorang pengkarya menawarkan sejenis naratif alternatif (“bagaimana kalau …” atau “what if …”). Lihat sebuah komik “Kura-kura dan Arnab” daripada The Perry Bible Fellowship yang ditulis bersama-sama dengan Jordan E. Morris.

Dalam versi ini, pengkarya menggunakan jenaka gelap (dark humour) dalam naratif penceritaan semulanya. Siapa sangka sebenarnya Si Arnab sengaja kalah untuk menebus duit insurans demi anak-anak dan isteri?

Setiap kerja seni ialah kerja yang serius, tetapi seniman tidak boleh mengambil diri mereka terlampau serius. Maka, wajarkah kita menghukum komik ini dengan tafahus tegas sampai mempersoalkan nilai dan moralnya? Pasti tidak. Mengapa? Adakah disebabkan genre dan medium penyampaiannya? Atau komik ini bukan ditulis untuk memenangi anugerah besar?

Dari sudut kemahiran, bahasa Zurinah memang ringan dan tidak berbunga. Hal ini sudah pun dijelaskan sebab-musababnya oleh beliau sendiri. Permasalahan yang dibangkitkan menuduh sajak SN itu tidak mempersoalkan ketidakadilan sistem dan tidak menganalisis etika kemenangan dalam sebuah pertandingan bagi saya agak tersasar. Hal berikut sudah pun disebut pada beberapa rangkap awal dan tengah:

……….Cuba kau bayangkan
……….bagaimana kalau aku menang
……….adakah kemenanganku dijulang
……….Aku pasti mereka akan ketawa

……….

……….Di mana harga kemenangan
……….Bersaing dengan yang lemah
……….Apa maknanya menjadi juara
……….Andai melawan yang tidak setara.

Kalau kritikan keras menyatakan sajak ini membawa sikap megah diri dan kemuliaan palsu, maka hal itu tidak begitu jauh terpesong, dan buktinya boleh dijumpai pada rangkap awal dan akhir:

……….Aku sengaja memilih kekalahan
……….Walau aku sedar aku akan diketawakan
……….

……….Sebenarnya aku sengaja membiarkan kura-kura
……….sampai dahulu ke garis penamat
……….supaya cerita ini diingat
……….dan lebih bermanfaat.

Jika penerokaan pemikiran baharu dalam bahasa mudahnya bermaksud “sudut pandang baharu”, maka sajak “Perlumbaan Arnab dengan Kura-kura” memenuhi ukuran tersebut dengan membawa elemen “bagaimana kalau…” yang barangkali mendapat tempat di hati para juri.

Adakah sajak ini sajak terbaik Zurinah? Cita rasa peribadi saya menyatakan tidak. Ini bukanlah kali pertama Zurinah menawarkan naratif alternatif dalam karyanya dan perbahasan kedua-duanya itu pasti ada ruang serta waktu yang lebih sesuai.

Ada Apa dengan Nama dan Gelaran?

Selama sedekad bergelumang dalam dunia puisi, saya tidak pernah berasa perlunya membandingkan diri dengan SN atau pemuisi mapan. Saya yakin bahawa usaha saya tidak akan mengkhianati diri dan karya saya akan menemui pembaca yang tahu membacanya. Saya juga yakin bahawa apa-apa yang menentukan sesebuah karya itu baik atau sebaliknya tidak ada satu pun jawapan yang hakiki.

Demikian, adakah pergelutan dalaman dan persoalan moral yang berlapis menjadi penentu hakiki sebuah karya? Bagi sesetengah orang, barangkali ya, terutama jika melibatkan penilaian pada peringkat perdana. Namun begitu, bagi peminat puisi sejati, kita harus sedar bahawa wujudnya bermacam gaya, suara dan kemahiran yang sukar untuk ditentukan yang mana satu—sekali lagi, meminjam istilah Gen-Z—boleh dianggap sebagai the GOAT (Greatest of All Time).

Puisi pendek seperti “The Red Wheelbarrow” oleh William Carlos Williams dan “Malam Lebaran” oleh Sitor Situmorang masih diperkatakan sampai hari ini. Adakah kedua-duanya lebih GOAT daripada puisi seperti “Howl” oleh Allen Ginsberg atau “Nyanyian Angsa” oleh W.S. Rendra—vice versa?

Seterusnya, beranggapan bahawa karya tidak dipandang kerana tidak ada nama dan gelaran juga saya fikir merupakan suatu bentuk falasi (appeal to fairness). Amat wajar untuk mengkritik sikap “cakap-tidak-serupa-bikin” yang mendesak suatu kelompok untuk menawarkan karya yang revolusioner, tetapi pada masa sama tidak membantu penumbuhan ke arah itu. Namun begitu, untuk memomokkan suatu kelompok—baik yang rebung mahupun yang buluh—sebagai punca tidak diraikan dalam medan seni hanya menampakkan tahap kematangan sebenar.

Selain itu, semua harus sedar—dan hal ini sebagai peringatan untuk diri saya terlebih dahulu—bahawa nilai karya bukan ditentukan oleh kedudukan, pertandingan mahupun anugerah. Perjalanan masih panjang. Ada seribu kemungkinan kecil dan besar masih belum diteroka. Percayakan proses. Kita semua masih dalam tempoh tumbuh.

Memang mudah untuk mengingati sebuah puisi daripada T. Alias Taib dan meratib rangkap “penulis tak berbakat/mudah mendapat tempat/di hati pembaca/yang tak tau membaca” apabila berasa seolah-olah kita telah dizalimi—hanya kerana karya orang lain diangkat dan karya kita tidak. Atau meyakini karya yang dijulang itu tidak layak dijulang berdasarkan penilaian peribadi yang terang-terang diwarnai oleh prasangka dan tanggapan tertentu. Sebaliknya, saya kira, dunia sastera tanah air akan lebih dinamik andai masing-masing memiliki kebesaran jiwa, keterangan hati dan menyedari apa-apa yang pernah Latiff Mohidin titipkan kepada Salleh Ben Joned dahulu benar-benar membuka mata:

……….kalau kau mau
……….ada langit biru yang lain birunya
……….ada awan putih yang lain putihnya
……….ada cara lain merenung purnama
……….matari ungu di musim kelima
……….pagi yang lain sinarnya
……….malam yang lebih pekat hitamnya.

_________________________

Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.

Kredit Foto: Firus Fansuri dan Jack Malik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi