Diterbitkan pada 16 Julai 2025, 13:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kami siarkan kembali esei Orasi Muhammad Lutfi Ishak tentang pencarian strategi dan perancangan baharu untuk perjalanan hadiah sastera yang pernah tersiar dalam Dewan Sastera Bil. 6 2014.

Kita sedang berhadapan dengan satu dunia baharu. Sudah tentu, dalam konteks dunia penganugerahan dan hadiah sastera, mereka mesti beroperasi dengan menyedari pelbagai perubahan yang berlaku. Generasi muda kini bukan sahaja semakin jauh dengan pelbagai institusi sastera dan kebudayaan, malah mereka mempunyai pelbagai cara untuk melangsungkan kehidupan dan menyemarakkan minat mereka.

Dari satu sudut, kewujudan pelbagai anugerah dan hadiah sastera di Malaysia telah memeriahkan dan melangsungkan legasi sastera tanah air. Sesetengah hadiah dan anugerah itu mempunyai sejarah yang panjang dan kedudukannya agak utama. Sebagai contoh, Anugerah Sastera Negara, Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, telah menjadi anugerah dan hadiah sastera yang mempunyai tradisi dan sejarah yang tersendiri.

Beberapa tahun belakangan, dengan suntikan dana sebanyak RM 5 juta daripada kerajaan kepada Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional (PENA) – kedua-dua institusi sastera tersebut menganjurkan sayembara penulisan dengan kerjasama Berita Harian. Malah, tidak mustahil, dengan pelbagai perkembangan baharu dalam dunia sastera tanah air, akan ada hadiah sastera yang bertambah, termasuk yang lebih “runcitan” dan marginal.

Di sebalik senario tersebut, pelaksanaan pelbagai anugerah dan hadiah sastera kini memerlukan suntikan beberapa elemen baharu yang lebih kreatif dan inovatif. Tanpa berniat untuk menghukum, pelaksanaan pelbagai hadiah sastera seperti sudah setia dengan satu format, tanpa ada sebarang usaha yang gigih dan bermakna untuk menilai tahap keberkesanan format tersebut kepada pembangunan sastera tanah air yang lebih sihat.

Setiap tahun, apabila selesainya sesuatu anugerah dan hadiah sastera, jarang-jarang kedengaran hadiah dan anugerah itu diperkatakan secara meluas dalam masyarakat. Hasil tulisan yang diberikan anugerah atau hadiah tersebut juga sukar untuk ditemui atau tidak diterbitkan untuk tatapan awam. Justeru, pada peringkat ini, semua pihak harus bertanggungjawab untuk melakukan introspeksi akan kegagalan kebanyakan hadiah dan anugerah menjadi topik perbincangan masyarakat.

Secara peribadi, salah satu punca yang menyebabkan anugerah dan hadiah sastera tidak bermaya kerana formatnya yang tunggal dan klise. Klise, dalam penggunaan dunia sastera digunakan secara harfiah untuk membawa maksud yang negatif, iaitu sesuatu yang berulangan, tidak lagi menarik akibat sering dilakukan, dan menimbulkan kebosanan. Perkataan yang bertentangan dengan klise ialah inovatif dan mungkin “eksperimental” – yang merujuk sesuatu yang lebih segar, tidak pernah dilakukan atau ada beberapa elemen yang diperbaharui yang memberikan kesan tarikan. Walau bagaimanapun, dalam perbincangan yang lebih normatif, sesuatu yang klise tidak semestinya membawa unsur yang negatif, sebaliknya mendukung makna yang positif dan patut dipertahankan.

Sebagai contoh, suatu ketika dahulu, dalam Anugerah Sastera Negara, penerima akan menerima anugerah tersebut di Dewan Rakyat. Namun, akibat pelbagai kekangan, kini anugerah itu tidak lagi diadakan di sana, sebaliknya di hotel berprestij. Jika anugerah sastera diadakan di Dewan Rakyat, mungkin sahaja tindakan itu akan menjadi tindakan yang klise, tetapi “klise” yang baik.

Oleh itu, apakah ciri “klise” yang negatif tersebut dalam penganjuran hadiah dan anugerah sastera tanah air? Klise yang negatif merujuk kurangnya suntikan baharu dalam pelaksanaan, sehingga hadiah dan anugerah ini menjadi satu format yang beku dan tidak menarik, malah, pada tahap tertentu ditafsirkan oleh khalayak sastera sebagai “asal buat”. Untuk mengupas situasi itu, saya akan membahagikan pelaksanaan hadiah dan anugerah sastera kepada tiga fasa, iaitu fasa sebelum majlis penganugerahan, ketika majlis penganugerahan dan selepas majlis penganugerahan. Namun begitu, sebagai satu perbincangan yang lebih terbuka, pembahagian tersebut tidak akan mengikat kebebasan tulisan ini secara keseluruhannya.

Dalam konteks yang diamalkan sekarang, pelaksanaan hadiah dan anugerah dapat dibahagikan kepada dua fasa sahaja, iaitu sebelum majlis penganugerahan dan ketika majlis penganugerahan. Fasa sebelum majlis penganugerahan merujuk dua tahap, iaitu tahap penghebahan dan tahap penilaian. Tahap penghebahan mungkin berlaku hampir setahun sebelum majlis penganugerahan berlangsung. Biasanya, ruang dalam media tertentu digunakan untuk hebahan. Namun tahap yang kedua, iaitu tahap penilaian menjadi sangat rahsia dan hanya diketahui oleh pihak penganjur. Fasa kedua pula ialah fasa ketika majlis penganugerahan. Pada fasa ini, pemenang akan diumumkan dan majlis penyampaian akan dilangsungkan, kebiasaannya di hotel yang berprestij. Selesai majlis penyampaian hadiah, maka, selesailah program secara keseluruhan. Fasa ketiga yang juga penting, iaitu pascamajlis penganugerahan, tidak ada, atau jika dilakukan, pelaksanaannya mungkin tidak begitu berkesan kerana hampir tidak diketahui.

Jika dilihat dalam tradisi hadiah sastera yang berprestij dan sentiasa mendapat perhatian masyakat, pelbagai elemen patut dimanfaatkan pada ketiga-tiga fasa pelaksanaan. Saya berpandangan, hadiah dan anugerah sastera kita memerlukan beberapa suntikan baharu supaya pelaksanaannya lebih berbudaya ilmu, membangunkan dunia sastera dan betul-betul hidup dalam masyarakat. Untuk itu, beberapa strategi yang sesuai perlu difikirkan, selain penambahbaikan program yang mengisi ketiga-tiga fasa tersebut.

Sebagai contoh, dalam tahap kedua sewaktu fasa sebelum majlis penganugerahan, hanya keputusan akhir yang patut dirahsiakan. Senarai awal yang telah dipilih patut didedahkan untuk memacu perbincangan khalayak sastera. Dalam amalan Booker Prize misalnya, pihak penganjur akan mendedahkan senarai akhir novel yang dinilai kepada khalayak. Tindakan itu bukan sahaja menyebabkan kuantiti jualan meningkat, malah menyuntik elemen yang “inklusif”, mencetuskan diskusi yang menarik dan melahirkan pelbagai bentuk apresiasi karya.

Amalan tersebut tidak sepatutnya dihadkan kepada anugerah yang seakan-akan “Booker Prize”, tetapi boleh juga untuk sayembara yang konvensional. Pengumuman karya yang dinilai untuk senarai pendek akan memberikan kesan yang sama, tetapi tindakan itu tidak pernah dilakukan oleh mana-mana penganjur sastera di negara ini. Akibatnya, perjalanan pada peringkat tersebut tidak diketahui, seterusnya membazirkan “bahan bakar” yang sangat bermanfaat untuk memeriahkan sayembara.

Di Thailand, penerima Anugerah SEA Write akan dibawa ke pelbagai daerah dan institusi untuk diraikan secara berbudaya. Mengapakah hal seperti ini tidak dapat dilakukan memandangkan kita mempunyai pelbagai infrastruktur dan institusi yang lebih memungkinkan?

Begitu juga dengan fasa ketika majlis penganugerahan. Jika dinilai secara keseluruhan, perjalanan majlis tidak pun memanifestasikan semangat kesusasteraan dan kesenian. Atur cara majlis penganugerahan juga dapat ditebak, iaitu jamuan makan, ucapan, penyampaian hadiah, kadang-kadang pelancaran buku, dan persembahan oleh artis-artis tertentu. Malah, kedatangan artis yang dibayar mahal tidak membantu memeriahkan majlis, sebaliknya sering menukar majlis penyampaian hadiah/anugerah kepada majlis minggu setiausaha.

Tanpa menafikan kepentingan ucapan oleh para penganjur, penaja dan perasmi – saya kira ucapan budaya patut diperkenalkan. Ucapan budaya merujuk ucapan yang disampaikan oleh tokoh-tokoh tertentu, yang mewakili pelbagai ranah kehidupan budaya dan keilmuan. Ucapan tersebut boleh sahaja satu ucapan yang kritikal, tetapi menyentuh hal-hal keilmuan, kebudayaan dan boleh dipertanggungjawabkan. Dengan adanya ucapan sebegitu, majlis penganugerahan akan menjadi lebih berbudaya dan introspektif. Aspek protokol juga perlu dinilai. Para pemenang, khususnya pemenang utama tidak sepatutnya diasingkan di satu meja khas tetapi mesti diletakkan di meja utama. Tindakan mengasingkan para pemenang di meja yang asing ialah satu tindakan feudal yang terus membina gaung antara orang sastera dengan bukan sastera. Jika tidak dapat dilaksanakan, alternatif lain patut difikirkan. Misalnya, sebelum majlis penganugerahan, para pemenang diberikan ruang dan peluang untuk berinteraksi dengan tamu kehormat. Para pemenang yang sesuai dengan “tahap prestij anugerah” patut diberikan ruang untuk bersarapan atau minum petang dengan individu berprofail tinggi, seperti Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

Baru-baru ini, Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 diadakan dengan sangat meriah dan gah di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya, malah diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek.

Selain itu, majlis penganugerahan tidak semestinya dilakukan di hotel lima bintang. Lokasi-lokasi yang berprestij dan mempunyai nilai tertentu patut digunakan. Beberapa penyampaian hadiah sastera di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri beberapa waktu yang lalu harus diberikan pujian kerana usaha tersebut akan lebih bermakna, dan kosnya juga mungkin lebih rendah. Anugerah Sastera Negara misalnya, patut diadakan di Dewan Rakyat dan melibatkan para ahli parlimen. Malah, majlis penyampaian boleh diadakan di kedai buku yang berprestij, dalam suasana yang lebih santai tetapi bermakna. Dengan penganjuran di kediaman rasmi atau kedai buku, kos yang selama ini digunakan untuk menampung bayaran sewa dan makanan yang mahal dapat dialihkan untuk meningkatkan nilai hadiah atau mewujudkan beberapa insentif baharu kepada para pemenang. Selain insentif berbentuk wang tunai, insentif seperti penterjemahan karya, baucar buku, tajaan karyawan tamu di luar negara, dan geran kajian atau pengembaraan dapat diberikan kepada para pemenang. Insentif seperti itu tentunya akan membangunkan keperibadian dan kepengarangan para penulis, selain memberikan prestij yang tersendiri kepada anugerah dan hadiah sastera terbabit.

Salah satu cabaran utama kepada strategi baharu hadiah dan anugerah sastera ialah fasa pascapelaksanaan majlis penganugerahan. Dengan berakhirnya majlis penyampaian hadiah, maka berakhirlah tiap sayembara atau anugerah sastera. Jika pun hayatnya lebih panjang, beberapa laporan akhbar akan melaporkannya untuk sehari selepas itu. Di Thailand, penerima Anugerah SEA Write akan dibawa ke pelbagai daerah dan institusi untuk diraikan secara berbudaya. Mengapakah hal seperti ini tidak dapat dilakukan memandangkan kita mempunyai pelbagai infrastruktur dan institusi yang lebih memungkinkan?

Pascamajlis penyampaian ialah fasa yang patut diisi dengan pelbagai program yang menarik. Pelbagai diskusi patut dianjurkan di kedai buku tertentu, di kafe awam, di universiti, di stesen televisyen dan radio, malah di mana-mana sahaja yang dapat menyemarakkan apresiasi karya. Malangnya, aktiviti seperti ini hampir tidak ada.

Selesai majlis penyampaian, penganjur akan mencuci tangan dan beranggapan bahawa program mereka telah berjaya dilaksanakan. Memang, majlis telah dapat dilaksanakan, tetapi dengan majlis penyampaian hadiah dijadikan noktah pada anugerah dan hadiah sastera terbabit, adakah akan mewujudkan iklim yang sihat kepada dunia sastera tanah air? Adakah berbaloi kita membelanjakan beratus ribu ringgit, tetapi akhirnya kewujudan anugerah itu tidak disedari oleh masyarakat dan hasil karya yang menang tidak pun dibaca oleh khalayak?

Kita sedang berhadapan dengan satu dunia baharu. Sudah tentu, dalam konteks dunia penganugerahan dan hadiah sastera, mereka mesti beroperasi dengan menyedari pelbagai perubahan yang berlaku. Generasi muda kini bukan sahaja semakin jauh dengan pelbagai institusi sastera dan kebudayaan, malah mereka mempunyai pelbagai cara untuk melangsungkan kehidupan dan menyemarakkan minat mereka.

Inilah zaman kebanjiran maklumat dan hiburan. Ketika semuanya tenggelam timbul dalam arus yang dalam itu, hadiah dan anugerah sastera kita memerlukan strategi baharu dan pelaksanaan yang lebih kreatif. Jika tidak, arus yang dalam itu bukan sahaja akan menggulung dunia sastera yang kita cintai, tetapi mengapungkan sampah sarap yang akhirnya memberikan wajah baharu kepada dunia sastera tanah air. Oleh hal yang demikian, hadiah dan anugerah sastera perlu dilakukan bukan sahaja setakat “asal ada”, tetapi kewujudannya itu disedari dan semangatnya dikongsi oleh masyarakat.

Sudah tentu, untuk menjayakan anugerah seperti itu, pembabitan pelbagai pihak, khususnya kerjasama penganjur dengan golongan media, para pemimpin tertinggi negara, sektor swasta, dan pelbagai komuniti sastera dan buku merupakan satu kemestian. Namun terlebih dahulu, para penganjur hadiah dan anugerah sastera perlu mempunyai paradigma yang betul agar sebarang penganjuran hadiah dan anugerah dilihat sebagai suatu “perjuangan”, bukan lagi sebagai suatu “pekerjaan”. Dengan paradigma sebegitu sahaja, hadiah dan anugerah sastera kita akan sentiasa inovatif dan betul-betul hidup dalam masyarakat.

_________________________

Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Beliau ialah Sasterawan Muda MASTERA 2023.

Kredit Foto: Firus Fansuri dan Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi