Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHidayyah AT Mizi menyentuh potensi perpustakaan, khususnya Perpustakaan Negara Malaysia sebagai satu hab yang mampu memperkukuh dan merekayasa proses penganjuran dan pengurusan hadiah sastera peringkat nasional dan negeri.
Setakat ini, kebanyakan penganjur masih mewajibkan penghantaran semula oleh penulis atau penerbit sebagai bentuk penyertaan. Hal ini bukan sahaja mewujudkan kerja berganda, malah berpotensi mengecualikan karya bermutu yang tidak sempat menyertai secara manual …
Apabila membaca semula artikel Nisah Haron, saya melihat cadangan yang diberikan mempunyai potensi besar untuk dilaksanakan. Setiap kali senarai panjang atau senarai pendek sesebuah hadiah sastera diumumkan – sama ada peringkat negeri, institusi atau kebangsaan – saya menyambutnya dengan rasa ingin tahu: siapakah yang tersaring, apakah naskhah yang memikat juri dan bagaimana sastera tempatan ditafsirkan melalui pemilihan tersebut.
Namun dalam keterujaan itu, saya juga dihantui satu pertanyaan: adakah proses pencalonan, pemilihan dan promosi karya kita benar-benar setara dengan semangat keilmuan yang cuba kita julang?
Without libraries, what have we? We have no past and no future.
(Ray Bradbury, 1953)
Menerusi pengalaman sendiri sebagai penulis dan pemerhati medan sastera, saya mencadangkan satu reformasi kecil tetapi berpotensi besar, iaitu memperkukuh peranan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sebagai pusat pemprosesan dan penyelarasan pencalonan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (juga hadiah-hadiah peringkat negeri yang lain). Idea ini berakar daripada sistem yang telah pun wujud, tetapi belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Penyerahan Bahan Terbitan: Suatu Prosedur
Mengikut peruntukan di bawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331), setiap penerbit di Malaysia diwajibkan menyerahkan lima (5) naskhah bahan terbitan bercetak kepada PNM dan dua (2) naskhah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam tempoh 30 hari selepas penerbitan.
Penyerahan ini bukan sekadar formaliti. Penyerahan ini menjadi syarat pengeluaran ISBN atau ISSN, dan memainkan peranan penting dalam pengkatalogan, dokumentasi dan pemeliharaan warisan penerbitan negara.
Namun begitu, persoalannya, mengapakah naskhah yang telah pun dihantar ini tidak digunakan secara langsung dalam proses pencalonan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM)?
Setakat ini, kebanyakan penganjur masih mewajibkan penghantaran semula oleh penulis atau penerbit sebagai bentuk penyertaan. Hal ini bukan sahaja mewujudkan kerja berganda, malah berpotensi mengecualikan karya bermutu yang tidak sempat menyertai secara manual – sama ada kerana kekangan maklumat, sumber atau proses yang berulang.
Cadangan saya ialah, dengan menjadikan penyerahan ISBN kepada PNM sebagai asas pada pencalonan automatik bagi mana-mana hadiah sastera peringkat nasional. Untuk tujuan ini, saya mencadangkan agar penyerahan ditambah daripada 5 kepada 20 naskhah, dengan agihan seperti yang berikut:
Bagi penganjuran hadiah sastera negeri pula, cukup sekadar pihak penganjur menyelaraskan senarai penulis negeri dengan maklumat terkini secara berkala. Data ini boleh dibangunkan dengan menggunakan aplikasi ringkas yang menyimpan data para pengarang berdasarkan tempat lahir dan tempat tinggal semasa (sekurang-kurangnya menetap selama lima tahun di negeri terbabit).
Langkah ini dilakukan untuk menstrukturkan proses pencalonan dan penilaian karya secara berpusat, sistematik dan telus. Hal ini juga memastikan bahawa karya-karya yang terbit secara sah berserta ISBN diberi peluang setara untuk dinilai, dipromosikan dan dibincangkan di ruang awam.
Bahagian paling penting dalam cadangan ini ialah fungsi promosi yang dijalankan melalui PNM. Koleksi 10 naskhah yang tersedia kepada awam boleh dijadikan bahan promosi sastera sepanjang musim anugerah, sama ada melalui pameran buku, bual bicara penulis, diskusi terbuka, kerjasama dengan media, atau program bacaan awam.
Langkah ini penting kerana penganjuran hadiah sastera (negeri atau nasional) sering kali kelihatan eksklusif, dengan senarai pemenang diumumkan tetapi tanpa ruang awam untuk mendalami karya-karya tersebut. Jika perpustakaan dijadikan hab promosi dan pemudah cara, maka pembaca berpeluang menelusuri sendiri nilai karya tersebut dan membina wacana sendiri, sebelum dan selepas keputusan diumumkan.
Karya Eceran: Pengkatalogan, Metadata dan Penyertaan Adil
Kita tidak perlu meniru secara literal, tetapi kita boleh belajar daripada prinsip bahawa perpustakaan bukan hanya tempat menyimpan, tetapi nadi yang menyambung titik antara penerbitan, pembacaan, penghargaan, dengan pembentukan wacana budaya nasional.
Satu soalan yang wajar ditimbulkan ialah: bagaimana dengan karya eceran seperti cerpen, puisi dan esei yang diterbitkan dalam majalah, jurnal atau akhbar? Mungkin untuk HSPM, hal ini bukanlah sesuatu yang menjadi isu besar. Namun begitu, hal ini relevan jika kita melihat hadiah sastera secara amnya.
Maklumat ini diperlukan setiap kali hadiah sastera dianjurkan, maka data-data ini perlu dikumpulkan agar memudahkan urusan penilaian yang lebih adil.
Karya-karya ini biasanya diikat pada ISSN, bukan ISBN. Walaupun penerbit masih perlu menyerahkan naskhah fizikal ke PNM, metadata karya (tajuk, nama penulis) tidak semestinya dipaparkan secara terperinci dalam katalog awam.
Cadangan saya ialah, setiap penerbit majalah dan jurnal sastera turut menghantar senarai kandungan penuh dalam format digital (sebagai lampiran penyerahan). Maklumat ini akan memudahkan pencalonan automatik karya eceran oleh pihak panel atau sekretariat hadiah sastera.
Langkah ini bukan sahaja menjamin pengesanan maklumat, malah membuka ruang pada penyelidikan kuantitatif dan bibliometrik untuk mengkaji pola terbitan dan kecenderungan sastera Malaysia secara lebih empirik.
Belajar Daripada Model Negara Lain
Di beberapa negara Skandinavia, kita melihat betapa perpustakaan menjadi tulang belakang dalam kerja menyaring dan menyokong karya sastera secara nasional. Di Norway, sebagai contoh, Norwegian Literature Abroad (NORLA) dan Arts Council Norway menilai ribuan naskhah setiap tahun, dan jika terpilih, sebanyak 1,000 naskhah buku dibeli oleh kerajaan untuk diagihkan ke seluruh perpustakaan negara.
Begitu juga di Sweden, sistem Legal Deposit digunakan untuk membantu Swedish Arts Council mengenal pasti buku-buku bernilai bagi subsidi pengedaran dan anugerah.
Kita tidak perlu meniru secara literal, tetapi kita boleh belajar daripada prinsip bahawa perpustakaan bukan hanya tempat menyimpan, tetapi nadi yang menyambung titik antara penerbitan, pembacaan, penghargaan, dengan pembentukan wacana budaya nasional.
Menambah bahan Esei Kritikan dari Model Wacana yang dianjurkan oleh PNM
Pada tahun ini, salah satu isu utama yang diketengahkan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman ialah jumlah penyerahan makalah ilmiah yang masih rendah.
Sebagai penyelesaian, cadangan Nisah Haron wajar dipertimbangkan. Beliau mencadangkan agar diadakan sesi perbincangan yang lebih terancang selepas pengumuman juri, senarai panjang dan senarai pendek. Melalui perbincangan ini, karya-karya tulisan para juri boleh dijadikan contoh dan rujukan. Dalam masa yang sama, karya-karya yang tersenarai turut boleh dibincangkan, diramalkan peluang kemenangannya dan diteliti kekuatan serta kelemahannya.
Perbincangan seperti ini bukan sahaja dapat mencetuskan minat dalam kalangan pembaca awam dan penulis, malah secara tidak langsung akan membantu mempromosikan buku-buku terbitan penulis dan juri yang terlibat. Promosi ini berlaku secara organik dan menambah hangat suasana menjelang acara utama.
Dengan adanya ruang dan budaya perbincangan yang sihat seperti ini, diharapkan lebih ramai penulis akan terdorong untuk menghasilkan dan menghantar karya ilmiah serta esei kritikan sastera dalam penganjuran yang akan datang.

Ke Arah Sebuah Ekosistem Hadiah Sastera Yang Terbuka dan Mapan
Cadangan untuk memperkukuh peranan PNM sebagai hab pencalonan dan promosi hadiah sastera merupakan satu langkah progresif ke arah membentuk ekosistem sastera yang lebih terbuka, adil dan mapan.
Pengiktirafan sastera bukanlah soal memberi hadiah semata-mata, tetapi membina ekosistem wacana dan penghargaan yang berkembang. Jika pencalonan hanya terbuka kepada mereka yang menghantar, kita akan terus kehilangan suara-suara penting yang mungkin tidak punya akses, maklumat atau sokongan logistik.
Dengan menjadikan PNM sebagai pusat rujukan dan pencalonan, kita bukan sahaja memperkemas sistem anugerah, malah menghidupkan kembali fungsi perpustakaan sebagai tapak awam yang menyuburkan wacana, sebagaimana yang ditegaskan oleh Cicero lebih 2000 tahun lalu; “If you have a garden and a library, you have everything you need.”
Cadangan untuk memperkukuh peranan PNM sebagai hab pencalonan dan promosi hadiah sastera merupakan satu langkah progresif ke arah membentuk ekosistem sastera yang lebih terbuka, adil dan mapan.
Dengan menyelaraskan penyerahan ISBN sebagai asas pencalonan automatik, memperluas akses karya melalui koleksi terbuka, serta mengaktifkan wacana umum melalui perbincangan awam dan dokumentasi digital, sistem ini bukan sahaja memudahkan pencalonan, tetapi turut meningkatkan keterlibatan pembaca dan penghargaan terhadap karya sastera tempatan. Dalam masa yang sama, penyertaan karya eceran turut diberi perhatian melalui pengurusan metadata yang lebih sistematik.
Secara keseluruhannya, idea ini mengangkat kembali fungsi perpustakaan sebagai nadi intelektual dan budaya masyarakat, bukan sekadar tempat menyimpan buku, tetapi sebagai ruang yang menghubungkan penulisan, pembacaan dan penghargaan sastera secara berterusan.
Sudah sampai masanya kita tidak hanya menanam benih-benih sastera, tetapi memastikan benih itu tumbuh dan berbunga di tempat yang terang, terbuka dan boleh dinikmati semua.
_________________________
Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya. Kumpulan puisi beliau, Dendam Perempuan Api kepada Bara (Kata-Pilar, 2025) berjaya mencapai Finalis Hadiah Puisi T. Alias Taib II 2025.