Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSetiap penulis bebas menulis tanpa terikat dengan sebarang teori dan konsep yang ada, selagi tidak menyalahi undang-undang negara serta menyentuh isu agama, bangsa dan raja-raja. Walau bagaimanapun, Raja Yusoff Ariffin cuba membuka perbincangan mengenai gagasan “seni untuk seni” dan “seni untuk masyarakat” bagi para penulis.
Karya sastera seperti sajak, cerpen, novel, dan drama pentas harus mempunyai pesanan atau mesej. Jika tiada, sia-sialah karya yang dihasilkan itu.
Sejak sekian lama, karya sastera tidak dapat dipisahkan daripada dua aliran ekspresi seni yang amat popular, meskipun usaha perbandingannya seperti kian dilupakan, iaitu “seni untuk seni” dan “seni untuk masyarakat”.
Begitu pun, benarkah kedua-duanya semakin dilupakan, dan kalau benar, mengapa? Benarkah juga anggapan bahawa membincangkannya merupakan satu langkah yang ketinggalan zaman?
Jika benar kedua-dua perkara ini sedang berlaku, kesimpulannya tidak sepatutnya sedemikian. Saya fikir, perbincangan tentang kedua-dua gagasan seni ini amat perlu dilihat kembali untuk cuba menetapkan atau memilih konsep manakah yang lebih wajar diikuti oleh para penulis.
Karya sastera seperti sajak, cerpen, novel, dan drama pentas harus mempunyai pesanan atau mesej. Jika tiada, sia-sialah karya yang dihasilkan itu.
Berpegang pada konsep “seni untuk seni” bererti bahawa para penulis menghasilkan karya yang mengutamakan seni semampu mungkin dalam aspek bahasa, gaya, bentuk, susunan, dan struktur, sehingga mengabaikan perkara yang lebih penting, iaitu mesej.
Difahamkan, karya berkonsepkan “seni untuk seni” menolak gaya penulisan yang konvensional dan berkronologi. Antara aliran yang termasuk dalam konsep ini ialah surealisme, dadaisme, ekspresionisme, dan absurdisme.
Begitu pun, bukan semua karya “seni untuk seni” tiada mesej. Cuma, bolehkah sampai kepada para pembaca khususnya, dan masyarakat umumnya? Adakah pengkritik mampu menemui mesejnya walaupun karya tersebut kompleks dengan penerokaan keseniannya?
Antara sebab krisis kefahaman ini ialah kekaburan pembaca dan masyarakat terhadap keseluruhan karya. Masalah bermula daripada peringkat luaran lagi apabila pembaca tidak memahami makna kalimat, plot, perwatakan, persembahan, dan sebagainya.
Oleh sebab kesukaran dan kegagalan tersebut, memang payah pula untuk mengetahui adakah karya sebegini ada mesej atau tidak.
Masalah para pembaca tidak memahami atau sukar mendekati karya sastera, terutamanya sajak sudah menjadi masalah yang lapuk. Lebih parah, terdapat penulis sastera sendiri mengatakan karya-karya mereka tiada mesej.
Justeru, tidak keterlaluan kalau dikatakan yang karya-karya sedemikian terbentuk dengan konsep “seni untuk seni”, iaitu hanya mementingkan nilai seni sahaja, yang menjadi asas masalah atau ketidakfahaman ini.
Saya dapati, ada lima sebab lebih khusus, iaitu simbol yang kabur, bahasa yang bombastik, visual yang melampau, teknik sorot ke depan ke belakang yang tidak jelas, dan teknik penonjolan watak yang lari daripada kebiasaan.
Simbol yang kabur bererti perlambangan sesuatu perkara dalam karya, sama ada dianggap ataupun memang terlalu peribadi, sehingga hanya penulis itu sahaja yang mengetahui maksud sebenarnya.
Sementara itu, bahasa yang bombastik pula ialah bahasa yang mempunyai makna bukan selapis, atau maksudnya berlapis-lapis. Jika sedemikian halnya, tafsiran yang dibuat boleh jadi tidak tepat.
Visual yang melampau bererti bentuk atau lihatan yang terlalu dipentingkan, keterlaluan, malah tidak menentu. Dalam kata lain, karya sebegini hanya mengutamakan kecantikan visualnya. Adakah hal ini bermanfaat jika hanya mengutamakan luaran?
Bukan satu keanehan atau kesalahan untuk menggunakan teknik sorot depan dan sorot belakang dalam karya. Apa-apa yang salah dan memasalahkan ialah teknik itu membawa kepada kekaburan makna. Plot atau jalan ceritanya juga tidak sebagaimana yang biasa.
Penonjolan watak pula menggunakan teknik yang tidak klise. Watak pentingnya begitu ramai atau watak berseorangannya terlalu berfalsafah, serta pembinaan untuk perkembangan dan pertalian antara watak sangat rumit.
Seni untuk seni tidak perlu digalakkan dan diberikan ruang yang meluas …
Bukan hal aneh jika penulis mendakwa karya mereka ada mesej, walaupun disangkal oleh pembaca atau pengkritik. Lainlah halnya kalau mereka sendiri mengatakan tiada mesej.
Begitu juga andainya penulis membawa mesej atas kesedaran bahawa mereka ada peranan penting dalam masyarakat, atau sekadar mengucapkannya untuk mengelakkan daripada dianggap sebagai penulis yang tidak berperanan dan tidak bermanfaat.
Membincangkan “seni untuk seni” bukanlah tanda menolaknya. Konsep ini masih boleh diterima jika benar-benar bermanfaat, selain mewujudkan kepelbagaian. Bukan juga bermakna semua karya sedemikian tiada mesej. Cuma, mesejnya hendaklah jelas. Selain mesti baik dan membina, kewujudan dan kejelasan mesej karya amat penting.
Berdasarkan logik dan sedikit perbincangan sebelum ini, tidak keterlaluan dikatakan (kerana memang selalu diperkatakan) jika karya patuh “seni untuk seni” lebih baik disimpan atau diterbitkan sendiri. Usah dihantar ke mana-mana penerbitan umum, walaupun banyak juga karya sastera “seni untuk seni” tersiar dalam akhbar dan/atau majalah.
Saya fikir mungkin karya seperti itu disiarkan kerana penulisnya telah mapan, atau lama menulis sedemikian sehingga dikenali beridentitikan “seni untuk seni”. Barangkali juga kerana editor memberikan peluang kepada penulis baharu, tetapi dikesani dan difikirkan akan berkembang, ataupun berbakat untuk terus berkarya dengan konsep tersebut.
Mungkinkah pula editor memahami karya-karya sedemikian, dan percaya ada mesej penting dalam karya tersebut, selain membiarkan aliran tersebut berkembang.
Begitu pun, kalau berdasarkan dua sebab penting tadi, “seni untuk seni” tidak perlu digalakkan dan diberikan ruang yang meluas – tanpa menyebut mahupun menyelar mana-mana golongan penulis.
Pertama, penulis ada tanggungjawab dan amanah besar sebagai pembimbing masyarakat, iaitu menegur, mengkritik, menyuarakan harapan masyarakat, dan mencadangkan kebaikan untuk membentuk masyarakat menerusi karya. Justeru, setiap karya mesti mempunyai mesej yang positif dan jelas.
Kedua, meskipun penulis “seni untuk seni” mengatakan mereka membawa mesej, tetapi apabila pembaca atau masyarakat tidak nampak, penulis perlu mengatakan sendiri, atau pembaca bertanya, dan jika dijawab ada mesej, barangkali timbul pula kesangsian bahawa penulis sengaja mengada-adakannya untuk cuba menutup “malu” dan mempertahankan kewibawaan.
Tidak dinafikan, ada segelintir yang menganggap bahawa hanya karya “seni untuk seni” sahaja yang bernilai sastera. Sejak sekian lama cuma karya sastera yang bahasanya berbunga-bunga dan berbentuk seperti perenggan-perenggan visual yang kelihatan indah sahaja dianggap sebagai benar-benar bernilai sastera.
Tanggapan ini tidak semestinya betul atau mutlak, kerana ada unsur-unsur lain yang turut menentukan sesebuah karya itu bernilai sastera atau tidak.
Kita ambil puisi yang bahasanya terus terang sebagai contoh, masih bernilai sastera kalau ada unsur seperti jeda yang sesuai, ataupun dipersembahkan dalam bentuk enjambment.
Sedarilah bahawa karya sastera tidak hanya ada nilai estetika, kebenaran kreativiti, imaginasi, luapan rasa, permainan kata, serta bentuk. Dalam hal ini, karya-karya realisme adalah lebih baik dan terserlah konsep “seni untuk masyarakat”nya – tanpa mendakwanya sebagai terbaik.
Karya realisme tentulah baik kerana ada seni, mesej penting, berfaedah, serta mudah diikuti dan difahami. Aliran ini memang antara aliran karya sastera yang utama, seperti yang telah disebutkan tadi.
Namun demikian, tentulah kita tiada hak untuk meminta semua penulis memilih hanya konsep “seni untuk masyarakat”, kerana hal itu soal peribadi. Biarpun alasan dan penjelasan telah diberi, tetapi terpulanglah kepada masing-masing selepas memikirkannya dengan mendalam.
Dalam hal ini, dihimbau semula era 1940-an dan 1950-an, iaitu kewujudan sekumpulan penulis yang memotivasikan diri mereka menulis semata-mata dengan tujuan menuntut kemerdekaan tanah air, iaitu Angkatan Sasterawan 1950 (ASAS 50).
ASAS 50 dianggap mempelopori “seni untuk masyarakat”, meskipun tidak disenangi seorang dua yang bertindak keluar. Begitu pun, perjuangannya menerusi puisi dan cerpen dilihat hanya mengutamakan atau melebih-lebihkan matlamat, yang mungkin menjadi penyebab seorang dua “angkat kaki”.
Tidak dinafikan, kita tidak pula mahu mesej sahaja yang dipentingkan sehingga barangkali menghilangkan seni dan boleh menghalang “seni untuk masyarakat”. Tentulah karya yang tanpa nilai seni itu kurang terasa estetikanya, hanya pemaparan idea dengan kejelikan, bertentangan dengan diri peribadi, dan dalam bahasa atau gaya yang kasar.
Karya “seni untuk masyarakat” yang dihasilkan haruslah bertapak pada nilai murni dalam sesebuah hasil yang murni. Setiap penulis perlu menyedari hal ini agar “seni untuk masyarakat” dapat disempurnakan.
Kita mahu “seni untuk masyarakat” bermaksud sambil berkarya dengan mementingkan keindahan bahasa, bentuk dan sebagainya, malah mesej karya disampaikan dengan jelas.
Kredit Foto: Rob Curran/Unsplash
______________________________
Raja Yusoff Ariffin merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), mantan rakan Tajulmedia Melayu dan mantan ahli Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Raja Yusoff pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).