Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pengarang kelahiran Kelantan, Mohd Rosli Nik Mat atau lebih dikenali sebagai Rosli K. Matari diumumkan sebagai penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write) 2021.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dalam sidang media di DBP, sebentar tadi. Turut diumumkan secara rasmi ialah penerima SEA Write 2019 dan 2020, iaitu Dr. Shamsudin Othman dan Aminah Mokhtar.
YBhg. Datuk Abang Sallehuddin dalam sidang media itu berkata, pemilihan Rosli sebagai penerima terbaharu SEA Write dari Malaysia sudah dikemukakan kepada Sekretariat Tetap SEA Write di Bangkok pada 17 Disember tahu lalu.
“Sekretariat Tetap Thailand telah mengesahkan secara rasmi penerima S.E.A Write Award bagi tahun 2019, 2020 dan 2021 melalui surat bertarikh 28 Januari 2022.
“Bagaimanapun, majlis Penganugerahan Anugerah Penulis Asia Tenggara untuk penerima 2019, 2020 dan 2021 dijadualkan diadakan pada April 2022.
“Namun, tarikh dan masa itu belum dimuktamadkan dan tertakluk pada keputusan penganjur, prosedur dan peraturan kemasukan ke negara Thailand dalam situasi pandemik COVID-19,” katanya.
Rosli, 61 sebelum ini ialah penerima Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2019/2020. Berasal dari Kubang Kerian, beliau dikenali sebagai penyair sejak dekad lalu dan tidak lengkap jika memperkatakan perkembangan puisi di Kelantan tanpa menyebut namanya.
Beliau muncul dengan kumpulan puisi pertamanya, Nun Bulan pada tahun 2011, tetapi karyanya diakui oleh pengkritik sebagai himpunan puisi yang mantap merentas dekad. Naskhah seterusnya beliau ialah kumpulan puisi Anak Dusun (2014), Tidakkah Kita Berada di Sana (2014), Hanya Langit Meratap (2015), manakala Matahari Itu Jauh (2015) memenangi tempat kedua Sayembara Penulisan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)-PENA-BH 2.
SEA Write yang diwujudkan sejak tahun 1979 oleh kerajaan Thailand bertujuan untuk mengiktiraf tokoh penulis dari negara rantau ASEAN, yang terdiri dari Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.
Di Malaysia sebelum ini, kaedah pemilihannya berdasarkan penggiliran genre, iaitu cerpen, drama, puisi, dan novel. Walau bagaimanapun, sejak tahun 2016, kaedah itu diubah dengan diberikan merit berasaskan ketokohan dan kepengarangan seseorang calon.
Sidang media yang sama turut menampilkan dua pemenang SEA Write terdahulu tahun 2019 dan 2020, iaitu Dr. Shamsudin Othman dan Aminah Mokhtar.