10 Oktober 2021, 19:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

George Orwell pernah menyatakan bahawa, hal pertama yang merangsangkan seseorang untuk menulis ialah keegoan. Penulis mahu tulisannya diperkata dan diingati. Keduanya, berkongsi rasa indah melalui tulisan yang puitis. Keinginan untuk berkongsi pengalaman puitis merupakan satu perasaan yang kuat dan mampu membentuk persona si penulis.

Ketiganya, faktor sejarah. Penulis mungkin akan menulis untuk mencatat serta merakamkan sejarah atau untuk melibatkan dirinya sendiri dalam lipatan sejarah. Keempat, adalah dengan bermoduskan politik. Menurut Saleeh Rahamad, sebab yang keempat inilah antara faktor yang besar dalam sejarah penulisan.

Saleeh Rahamad menyifatkan dirinya sebagai penulis yang menulis kerana ego. Perasaan yang menginginkan karyanya untuk diperkata dan diangkat menjadi satu faktor pendorong untuk beliau menulis dan utuh berkarya. Namun begitu, sebagai penulis yang juga manusia, keinginan untuk berkongsi keindahan puitis juga kuat menjalar. Di samping itu, beliau juga menulis dengan motif berwarna politik. Menurut Saleeh Rahamad lagi, sebenarnya, kedudukan beliau sebagai penulis ialah gaulan mesra kesemua faktor manusia menulis menurut teori George Orwell itu.

Siri Wacana PENA kembali lagi minggu ini, dengan Saleeh Rahamad kekal sebagai panel tetap dan Mohd Khair Ngadiron kembali menemui penonton dan pelayar internet sebagai pengemudi wacana. Dua pengarang yang baru diumumkan sebagai penerima SEA Write Award, Aminah Mokhtar (SEA Write Award 2020) dan Shamsudin Othman (SEA Write Award 2019), diundang sebagai bicarawan pada wacana berkenaan buat siri ke-12, pada 8 Oktober 2021 (Jumaat), jam 9.00 malam, dengan judul bicara “Mengapa Menulis: Demi Perjuangan atau Kepuasan Diri?”.

Aminah Mokhtar yang berkhidmat sebagai jururawat, tidak pernah menduduki kuliah atau kelas pengajian sastera secara formal. Kesanggupan untuk menjadi warga wad di hospital walaupun beliau sendiri secara peribadinya tidak selesa dengan darah dan jenazah membentuk satu sosok peribadi. Pada peringkat awal, dalam beliau cuba-cuba untuk menulis, karyanya menjadi perhatian orang sekelilingnya. Kata mereka, karya Aminah yang pemula (ketika itu) lebih hebat daripada sesetengah orang sastera.

Aminah yang memasukkan dunia hospital ke dalam karyanya juga menjadi perbualan dalam ranah penulisan. Sejarah kehidupan yang ditelusurinya, terutamanya dalam kehidupan jururawat menjadi faktor besar dalam membentuk peribadi penulisan dan sastera beliau hari ini. Kata beliau lagi, secara tidak langsung, beliau merawat pesakitnya melalui karya.

Aminah yang kadang-kadang diberi gelaran “penulis sayembara” kerana kerap kali memenangi sayembara sastera menjelaskan, pada permulaannya, beliau kerap kali meyakinkan diri bahawa untuk mempelajari ilmu sastera, dampingilah mereka yang pakar dalam bidangnya.

“Saya bukanlah orang yang datang dari latar sastera, namun saya yakin dengan kredibiliti juri-juri sayembara, saya masuk sayembara untuk mempelajari tentang pendirian saya dalam ranah sastera ini.

“Jika kita mendapat, walau sedikit pun pengiktirafan dalam satu acara sayembara, secara tidak langsung hal ini akan melahirkan satu momentum kuat untuk kita lebih berkarya. Sayembara ialah titik tolak untuk seseorang penulis itu pergi lebih jauh,” jelas Aminah Mokhtar.

Tidaklah dinafikan, persekitaran kitalah yang membentuk dan mencipta diri kita hari ini dan masa mendatang. Persekitaran Aminah Mokhtar yang dibaluti oleh rutin seorang jururawat, menjadikan beliau penulis yang hebat, bukan latar sasteranya. Begitu juga dengan Shamsudin Othman, seperti orang lain, sosok yang dikenali ramai sebagai penyair yang berkarya dengan unsur bibit-bibit Islami itu juga dibentuk melalui persekitaran berkenaan.

Shamsudin Othman bahkan merasakan, menulis ini hidup melalui asbab genetik. Latar belakang keluarga beliau yang ada sosok keagamaanlah yang memberikan beliau peluang untuk menemui gaya dan kaedah penulisannya.

“Keagamaan itu walau bagaimanapun menjadi sebati setelah ia hilang seketika, sebelum saya sendiri yang memasuki cahaya agama itu.

“Ketika saya telah sampai umur matang, saya semakin cenderung ke arah pemikiran keagamaan yang tinggi, dan itulah jati diri yang mengakar dalam diri saya,” jelas Shamsudin.

Menerusi wacana ini, Shamsudin Othman menegaskan, perihal menulis atas nama juang, konsep perjuangan itu sendiri memang ada dalam setiap diri manusia, cuma berbeza-beza takahnya. Jika seseorang itu ragu-ragu untuk mula menulis (dan hantar untuk diterbitkan), kunci untuk melawannya ialah berani. Mereka harus berani untuk melakukan sesuatu yang baharu, dan tentunya, sesuatu yang baharu itu memerlukan kelainan.

Beliau menyatakan bahawa, kecintaan beliau terhadap sastera dipupuk melalui pengalaman beliau yang berlatarbelakangkan pendidikan dan bahasa, serta ruang yang beliau tempuhi dalam pengalamannya menjadi guru. Sisi kerjaya beliau tidak dapat dinafikan, membantu mengembangkan minat dan kegiatan menulis itu sendiri.

“Kunci untuk kita mula menuls ialah berani,” tambah beliau.

Tonton wacana penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.