Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Suara Suara Kita Raya: Pentas Kata dan Rupa berjaya menghimpunkan 11 penyair tanah air yang mendeklamasikan puisi yang bertemakan Hari Raya Aidilfitri, sekali gus menterjemahkannya dalam bentuk seni visual hingga menarik perhatian penonton.
Program yang berprestij ini merupakan anjuran Persatuan Seri Mayang dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Jabatan Seni dan Reka Bentuk (FSKIK) bertujuan untuk memartabatkan sastera kebangsaan melalui pendekatan inovatif. Melalui sinergi ini, elemen pendidikan dan pelestarian bahasa digabungkan bagi memastikan keindahan puisi Melayu terus menjadi relevan dan mampu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat dalam suasana sambutan Aidilfitri.
Program dimulakan dengan persembahan lagu puisi pembukaan oleh Moh Azam Rezali yang mendeklamasikan lagu puisi Mentera Semerah Padi nyanyian asal M. Nasir.

Antara penyair lain yang turut mengambil bahagian termasuklah Lin Haslinaz yang mendekalmasikan sajak bertajuk Kaya Jiwa di Hari Raya hasil nukilan Mejar Jeneral Dato’ Dr. Mohd Radzi, diikuti oleh Zieya Ziha yang menampilkan lagu Selamat Hari Raya.

Program ini juga menyaksikan keterlibatan generasi muda melalui penyertaan pelajar dari Sekolah Seni Perak, Nur Iman Danisha yang mendeklamasikan puisi “Kata Mencari Rupa” nukilan Dr. Syarina Che Ibrahim, manakala Andyka (Pemuisi Cilik) mendeklamasikan puisi “Hari Raya” karya Rose Merah.


Sisipan persembahan lagu puisi turut menyemarakkan suasana, dimulakan oleh Maslinah Yusof dengan lagu puisi Puisi Menidurkan Halini karya Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Zurinah Hassan, diikuti oleh Roslan Madun dengan dendangan lagu raya Seloka di Hari Raya dan Lemak Manis, serta Sani Sudin menyanyikan lagu raya Selamat Hari Raya oleh Datuk Ahmad Jais.
Dr. Ayudez Zuraina pula mendeklamasikan puisi “Ingatan kepada Kawan 28” daripada Kumpulan Puisi 77 Tuju oleh Zaen Kasturi, diikuti oleh Dr. Shahrina yang mendeklamasikan hasil ciptaannya, “Rumah yang Kita Abaikan, yang Tidak Pernah Pulang”, dan SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan menyampaikan syair “Suara Rasa Menyambut Raya”.

Pada masa yang sama, SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan turut menyampaikan cenderamata tajaan DBP kepada Persatuan Seri Wayang yang diwakili oleh Dr. Ayudez, diikuti oleh Pengarah Program daripada Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), Muhammad Haiqal Abd Wahab, serta Encik Zulhakeem Zamal yang mewakili pihak Sungei Wang Plaza.