Diterbitkan pada 10 Mac 2026, 07:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Za’im Yusoff membuka makna dalam lirik lagu Senyum Gugur di Penghujung Doa, lagu raya Malaysia tahun ini.

Di sinilah kesedihan berubah menjadi iman …

Tidak semua lagu dicipta untuk sekadar didengar. Ada lagu yang, sebaik sahaja baris pertamanya diucapkan, segera membuka ruang yang lebih luas daripada sekadar bunyi, bahkan turut menguak ruang tafakur, ruang ingatan, ruang yang perlahan-lahan memanggil manusia menimbang kembali makna hidup mereka sendiri.

Lagu Senyum Gugur di Penghujung Doa dinyanyikan oleh Dayang Nurfaizah dan diterbitkan oleh DN & AD Entertainment bersama-sama Rocketfuel Entertainment, tergolong dalam jenis karya yang demikian. Digubah oleh Hael Husaini dan Iqie Hugh dengan lirik oleh kedua-duanya, lagu ini tidak bergantung pada metafora yang rumit atau bahasa yang sukar. Sebaliknya, kekuatannya terletak pada kesederhanaan yang menanggung beban emosi yang amat besar.

Lagu ini bermula dengan pengakuan yang tampak mudah.

……….Raya ini
……….raya yang berbeza.

Dalam teori retorik klasik, pengulangan frasa seperti yang tertera dikenali sebagai anafora, satu teknik yang digunakan untuk menanamkan emosi secara berlapis melalui pengulangan. Namun pengulangan dalam lagu ini bukan sekadar alat dramatik tetapi turut menandakan satu kesedaran yang lebih dalam apabila Hari Raya bukan hanya perayaan kemenangan selepas Ramadan, tetapi juga hari pengiraan ingatan. Pada hari itulah, manusia menyedari bahawa masa tidak sekadar menambah usia, tetapi juga perlahan-lahan masa turut mencuit kesedaran kepada kita bagaimana telah berkurangnya wajah-wajah yang pernah memenuhi kehidupan.

Lirik itu kemudian menampilkan kesedihan melalui ketiadaan.

……….Sayu tanpa sahutan suara
……….Tiada tubuh memeluk
……….Bau harumnya tanganmu

Kesedihan di sini tidak diungkapkan melalui kata besar seperti “kehilangan” atau “kematian”. Sebaliknya, kesedihan muncul melalui imejan tubuh. Dalam fenomenologi, pengalaman manusia seperti yang dihuraikan oleh Maurice Merleau-Ponty, tubuh ialah pintu utama pada makna. Kita memahami dunia bukan melalui idea semata-mata, tetapi juga melalui pengalaman deria. Oleh itu, apabila lirik-lirik puitis menyebutkan hal suara, pelukan atau bau tangan seseorang, hal itu sebenarnya sedang mengaktifkan memori paling dalam di dalam jiwa manusia.

Bau khususnya mempunyai kedudukan istimewa dalam psikologi ingatan. Marcel Proust pernah menunjukkan bagaimana bau mampu membuka kembali dunia kenangan yang lama terkubur. Maka, apabila penyair menyebut “bau harumnya tanganmu”, yang hilang bukan sekadar bau, tetapi seluruh dunia kecil yang pernah melekat pada tangan itu. Tangan yang memasak, tangan yang menyuap, tangan yang memimpin kita berjalan ke masjid pada malam-malam Ramadan juga pagi Syawal.

Di sinilah lirik ini mencapai kehalusan estetiknya. Lirik ini tidak memberitahu kita siapa yang telah pergi. Oleh itu, setiap pendengar boleh mengisi kekosongan itu dengan wajah yang berbeza. Boleh jadi seorang ibu, seorang ayah, seorang nenek, seorang sahabat, bahkan seorang guru.

Demikian Ramadan kali ini, apabila lirik itu didengar, ramai yang tidak dapat mengelakkan diri daripada mengingati seorang tokoh besar ilmu dunia yang telah kembali ke rahmatullah, iaitu Almarhum Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Pemergiannya bukan sekadar kehilangan seorang sarjana. Bahkan, kehilangan sebuah mercu intelektual yang selama puluhan tahun memandu generasi umat memahami makna ilmu, adab dan pandangan alam Islam.

Lirik lagu itu seterusnya menyebut:

……….Tiada lagi terasa
……….suapan ikhlas jarimu.

Dalam budaya Melayu, menyuap makanan bukan sekadar tindakan fizikal, tetapi juga lambang kasih sayang yang paling asas. Perbuatan itu ialah buah kesantunan daripada pohon bahasa cinta yang tidak berhajat kepada retorik, tidak seperti kelaziman para pemain politik. Dalam dunia keilmuan, hubungan antara guru dengan murid sering digambarkan melalui metafora yang sama. Guru sejati bukan sekadar memberikan maklumat, bahkan sang guru juga menyuapkan hikmah, sedikit demi sedikit, kepada para muridnya.

Dalam sejarah intelektual Nusantara, metafora ini terasa sangat tepat apabila kita mengenang peranan Prof. Naquib al-Attas. Sepanjang hayatnya, Almarhum bukan sekadar menghasilkan buku atau kuliah. Beliau membentuk satu horizon pemikiran sembari mengorak tindakan. Dalam karya seperti Islam and Secularism dan Prolegomena to the Metaphysics of Islam, beliau menegaskan bahawa masalah terbesar tamadun moden bukanlah kekurangan maklumat, tetapi kekeliruan terhadap makna ilmu. Bagi Almarhum, ilmu yang benar tidak boleh dipisahkan daripada adab kerana tanpa adab, manusia akan kehilangan keupayaan untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Almarhum Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Lagu ini kemudian mencapai salah satu metafora paling indah dalam keseluruhan liriknya:

……….Raya ini
……….raya yang berbeza

……….Senyum gugur
……….di penghujung doa.

Metafora ini sangat halus. Senyum tidak pecah menjadi tangisan, sebaliknya hanya gugur, seperti daun yang jatuh perlahan-lahan dari ranting hayatnya. Dalam estetika tasawuf, doa ialah titik pertemuan antara dunia yang fana dengan alam yang kekal. Di situlah manusia menyerahkan sepenuhnya akan apa yang tidak mampu mereka kembalikan.

Di sinilah kesedihan berubah menjadi iman.

Dalam tradisi sufi yang diperdalam oleh Maulana Jalaluddin Rumi, kematian tidak dilihat sebagai kehancuran, tetapi sebagai kepulangan. Dalam Mathnawi, karya epik enam jilid yang sering digelar oleh sarjana sebagai “lautan makna”, Rumi menulis bahawa kematian bagi orang beriman bukanlah kehilangan, tetapi perubahan bentuk kehidupan. Dalam salah satu rangkapnya beliau menulis:

……….I died as mineral and became a plant,
……….I died as plant and rose to animal,
……….I died as animal and I was man.

Demikian bagi Rumi, kematian bukanlah penamat, tetapi satu perjalanan transformasi menuju kedekatan dengan Tuhan. Dalam tafsirannya terhadap hadis al-dunya sijn al-mu’min, dunia ialah penjara bagi orang beriman. Rumi memberikan satu gambaran yang sangat mendalam. Jangan kita sangka para nabi dan para wali sebagai tahanan yang terkurung dalam penjara dunia. Sebaliknya mereka orang yang masuk ke dalam penjara itu untuk membuka pintunya. Mereka datang ke dunia bukan untuk tinggal selama-lamanya, tetapi untuk membimbing manusia keluar daripada penjara kejahilan.

Makna ini terasa sangat dekat apabila kita merenungkan kehidupan al-Attas. Sepanjang hayatnya, beliau berusaha membuka pintu penjara intelektual yang dibina oleh kolonialisme epistemologi dan sekularisme moden. Melalui kajian tentang sejarah pemikiran Melayu-Islam dan tokoh seperti Hamzah Fansuri, beliau menunjukkan bahawa tradisi intelektual Nusantara sebenarnya memiliki akar metafizik yang jauh lebih dalam daripada yang sering difahami oleh dunia akademik moden.

Misalnya, dalam bahasa Melayu yang dipautkan pada pandangan alam Islam, kita jarang-jarang mengatakan seorang tokoh terhormat itu “mati”. Kita berkata dia “meninggal dunia”. Ungkapan ini bukan sekadar sopan santun bahasa. Ungkapan ini membawa satu pandangan metafizik apabila seseorang itu meninggalkan dunia ini untuk menuju ke alam yang lain, yakni alam yang lebih kekal, iaitu akhirat yang lama dinanti oleh orang yang beriman.

Lagu ini tidak menutup kesedihan manusia, tetapi juga tidak membiarkan kesedihan itu menjadi gelap sepenuhnya.

Demikian, tidaklah menjadi kehairanan andai bait syair al-Attas sendiri terasa begitu menyentuh apabila dikenang dan direnung ulang:

……….Di mana kekasih ada,
……….Di situ tempat terpuja;
……….Meskipun lamannya tersepit,
……….Kurasa seluas langit;
……….Jejak kekasih di tanah,
……….Kuanggap tempat bertuah;
……….Walaupun tanahnya hampa,
……….Di situ tempat bertapa.

Dalam bait ini, tanah yang sempit menjadi seluas langit kerana kehadiran kekasih. Dalam bahasa tasawuf, kekasih itu tidak lain adalah Tuhan sendiri. Maka bagi seorang hamba yang hidupnya dipenuhi pencarian ilmu dan makrifat, kepulangan kepada Tuhan bukanlah kehilangan, tetapi kepulangan kepada sumber makna yang sejati.

Lirik lagu ini akhirnya sampai kepada pertanyaan yang sangat lembut:

……….Andai syurga mendengar rinduku
……….Tembuskan salam rindu padamu
……….Pasti indah alunan
……….takbir rayamu di sana?

Pertanyaan ini membuka satu imaginasi yang sangat halus. Takbir raya yang kita dengar di dunia dibayangkan juga bergema di alam yang lain. Dalam bayangan itu, kita seakan-akan melihat seorang ulama besar yang telah kembali kepada Tuhan, berada dalam rahmat-Nya, sementara murid-muridnya di dunia terus mengenang namanya dengan doa.

Dan, di sinilah keindahan sebenar lagu ini.

Lagu ini tidak menutup kesedihan manusia, tetapi juga tidak membiarkan kesedihan itu menjadi gelap sepenuhnya. Seperti takbir yang beralun dari masjid ke masjid pada malam Syawal, seperti embun yang turun perlahan sebelum fajar, seperti doa yang naik tanpa bunyi ke langit, lirik ini mengingatkan bahawa kehilangan dalam kehidupan orang beriman tidak pernah benar-benar sunyi lantaran setiap rindu yang jujur akhirnya akan sampai getar bunyinya ke hadrat Tuhan.

Demikian, setiap ilmu yang pernah dinyalakan oleh seorang guru besar bangsa seperti Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas akan terus hidup. Bukan dalam tubuh, bukan dalam suara, tetapi dalam cahaya makna yang terus menerangi jalan umat.

Darihal itu, ayuh teladani antara kalam hikmah daripada anakanda sulung Almarhum, Datuk Dr. Syed Ali Tawfik usai mengimami solat jenazah buat Almarhum:

“Kita membaca, Innā lillāhi wa innā ilayhi rājiʿūn (‘Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nyalah kita akan kembali’) apabila kita ditimpa musibah besar. Memang kita berdukacita. Kita bersedih.

Namun kita juga tidak boleh lupa untuk meraikan (meneruskan) warisan pemikiran yang beliau tinggalkan. Jangan lupa untuk menghargai dan menghidupkan legasi beliau.”

Dengan demikian, sekalipun raya kita semua berbeza kali ini, dengan cara meneruskan legasi Almarhumlah, antara cara untuk “beraya dengannya”, seperti lirik lagu Senyum Gugur di Penghujung Doa berakhir dengan:

……….Hanya Tuhan yang tahu
……….aku terlalu rindu
……….beraya denganmu …

Allahummaghfirlahu.
Allahummaghfirlahum.
Bisirril Fatihah.

_________________________

Za’im Yusoff yang kini bertugas dalam dunia perbankan juga merupakan seorang penulis yang banyak menyumbangkan puisi dan esei, baik dalam media maya mahupun media bercetak.

Kredit Foto: Yatt Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi